Durian Oh Durian - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Durian Oh Durian

23 April 2015

Durian Oh Durian

#Entri 8

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Entri yang tertunggak. Sudah lama peram, hari ini baru dapat dikongsikan. Kisahnya, minggu lepas selepas pulang dari kerja, suami mengajak kami pusing-pusing kampung. Hendak bawa Adawiyah jalan-jalan katanya. Pusing punya pusing, hati terasa ingin masuk bandaraya Kuala Terengganu. Lalu, kami pun meredah kesibukan jalanraya  memasuki pusat bandaraya. Nasib baik waktu itu sudah jam 6 petang, keadaan jalanraya di pusat bandar sudah agak lengang kerana kebanyakan pekerja waktu pejabat sudah mulai pulang ke rumah masing-masing.

Ketika melalui Pasar Payang, deria hidung mulai menghidu bau durian dari gerai-gerai di tepi jalan. Alahai menggoda iman betul. Tapi disebabkan tiada parking, kami tak jadi beli. Sesampainya di rumah, encik suami masih terkenang-kenang akan buah durian.

Salah satu gerai buah durian di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Maka, pada petang keesokan harinya sekali lagi kami pergi ke Pasar Payang untuk membeli durian. Rata-rata gerai yang dikunjungi menjual durian dari Thailand. Pelbagai jenis nama durian yang ada seperti Musang King, Kancing Baju, Telur Buaya dan sebagainya yang sebelum ini tidak pernah didengari. Agak lucu nama-nama durian yang ada di situ. Kalau ikutkan, saya ini tahu makan saja durian, jika ditanya nama, memang tidak tahu. Asal rasanya sedap, tak kisah la namanya apa.

Setelah meninjau beberapa gerai dan dikenalpasti gerai yang paling murah dan isi durian nampak cantik, kami pun memilih 2 biji durian jenis Kancing Baju. Harga yang dipaparkan RM15 sekilogram. Bila ditimbang, 2 biji durian saiz sederhana yang kami pilih melebihi 2 kilogram. Harganya RM37. Alahai mahalnya, 2 biji RM37. Sangat berbeza harganya, tidak seperti tahun lepas, beberapa biji durian dibeli dengan harganya tidak sampai RM20. Tapi disebabkan si suami tersayang mahu makan pengat durian, terpaksa la membelinya walaupun harga tidak munasabah. Tambahan pula saya pun sudah lama tidak menjamah buah durian.

Dua biji durian saiz sederhana yang kami beli. Sebiji dibuat pengat, sebiji lagi masuk mulut terus selepas dikopek.

Pulang sahaja ke rumah, saya terus bergegas ke dapur. Lagi cepat masak, lagi cepat boleh makan pengat durian. Cara penyediaannya sangat mudah dan rasanya sudah pasti sedap, lemak manis tambah dimakan bersama pulut. Tidak kisah la pulut dimasak secara kukus atau ditanak. Siap memasak, encik suami terus makan. Jilat jari dibuatnya. Selebihnya disimpan dalam peti sejuk untuk disejukkan. Kata suami, lagi sedap dimakan apabila disejukkan.

Panjang la pula ceritanya. Jom la kita jengah resipinya.



PENGAT DURIAN BERSAMA PULUT

Bahan-bahan;

Untuk pulut:
- 1 gelas beras pulut - dibasuh 3 kali dan ditoskan
- 3/4 gelas air
- 2-3 titik minyak

Untuk pengat:
- 5-6 ulas buah durian
- santan
- nisan kerek/ gula melaka
- secubit garam
- gula (jika perlu - ikut tahap kemanisan diingini)
-  daun pandan (disimpul)

Cara penyediaan:
1) Untuk memasak pulut, tanak beras pulut bersama air dan masukkan 2-3 titis minyak. Minyak digunakan supaya nasi tidak melekat pada senduk ketika menceduk nanti. Tapi jangan terlalu banyak ya.
2) Untuk penyediaan pengat, satukan santan, nisan kerek, garam dan daun pandan. Masak sehingga nisan kerek hancur. Kemudian masukkan isi durian, kacau sehingga isi durian agak lembut dan kuah pekat sedikit (jika ingin sedikit manis, boleh tambahkan gula).
3) Tutup api dan hidangkan pengat bersama pulut.

*Sedap dimakan panas-panas mahupun disejukkan terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com