May 2015 - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: May 2015
Promosi Wall Deco Hijaiyyah

Promosi Wall Deco Hijaiyyah

#Entri 17

Teks dan foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Wall Deco Hijaiyyah boleh ditampal di dinding sebagai hiasan dinding sekaligus mendedahkan anak anda kepada pengenalan huruf-huruf Al-Quran.


Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar bagi guru-guru j-Qaf dan KAFA.
Material daripada felt; tidak mudah koyak, boleh dibasuh dan tahan lama.



5 kombinasi warna untuk Wall Deco Hijaiyyah.
- sky blue - Oren
- dark yellow - black
- sweet pink - ocean blue
- apple green - electric blue
- red chilli - off white

Promosi bersempena dengan 1st Anniversary My Baby Can Read.
Jualan Wall Deco Hijaiyyah dengan harga RM50 sahaja.
Harga asal RM60.Jimat RM10.

Promosi berlangsung selama sebulan dari 20 Mei sehingga 20 Jun 2015.

[Update] Maaf, Wall Deco Hijaiyah ini sudah tidak dikeluarkan lagi. Terima kasih. 
Homeschooling

Homeschooling

#Entri 16

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamu'alaikum. Hari ini saya ada terbaca perkongsian daripada seorang sahabat di laman sosial facebook berkenaan topik homeschooling. Terdetik di hati, menarik topik ini. Terus saya membuat sedikit kajiselidik tentang homeschooling. Memang niat saya dan suami untuk mendedahkan anak kami, Nur Rabi'atul Adawiyah dengan pendidikan seawal mungkin dari rumah. Cuma tidak pasti bagaimana pendekatan yang sebenarnya.

Jika diikutkan kami sudah mulakan pendidikan seawal sejak Adawiyah dalam kandungan lagi. Apabila saya disahkan hamil, suami sudah melarang saya memasang siaran radio di dalam kereta kecuali ikim.fm. Kemudian, suami belikan CD alunan bacaan surah Al-Quran untuk dipasang dalam kereta. Sejak itu, saya langsung tidak mendengar muzik selain bacaan Al-Quran dan lagu-lagu nasyid sahaja. Suami amat menekankan aspek hiburan islamik semasa saya hamil dahulu.

Selepas kelahiran, Adawiyah kami dedahkan dengan flash card hijaiyyah seawal usianya 3 bulan. Ketika itu, agak sukar untuk mendapatkan flash card hijaiyyah di kedai-kedai buku. Lantas, saya mengambil inisiatif membuat flash card sendiri dengan mencetak huruf  dan kemudian dilaminate. Alhamdulillah, Adawiyah menunjukkan minat terhadap flash card tersebut. Tetapi menjadi masalah apabila Adawiyah ingin memegang dan memasukkan flash card ke dalam mulut. Saya khuatir keselamatan Adawiyah kerana flash card yang telah dilaminate tersebut tajam pada hujung card.

Kemudian saya diperkenalkan dengan flash felt hijaiyyah. Pertama kali melihatnya, saya jatuh hati kerana sifat flash felt ini yang mesra bayi. Anak-anak kecil boleh mengenali huruf-huruf hiyaiyyah, secara tidak langsung boleh memegang serta memasukkan flash felt ke dalam mulut. Jadi, ia amat sesuai untuk bayi yang memang bersifat meneroka perkara baru dengan deria sentuhan. Adawiyah pun saya lihat suka dengan flash felt yang diberikan.

Flash felt hijaiyyah yang dihadiahkan kepada Adawiyah. Warna warni gitu. 

Flash felt Hijaiyyah diperbuat daripada kain felt. Ianya sesuai untuk anak-anak kecil.

Selain itu, di rumah saya juga menampal kad imbas di dinding rumah untuk merangsang penglihatan Adawiyah supaya sentiasa melihat huruf-huruf hijaiyyah. Suamilah yang selalu memainkan peranan mengajar Adawiyah mengenal huruf-huruf tersebut secara nyanyian lagu alif baa taa. Sekarang saya dapat lihat perkembangannya. Adawiyah akan berpaling ke arah huruf-huruf pada dinding apabila kami menyanyikan lagu alif baa taa. 

Dinding ruangan sudut pembelajaran Adawiyah. Huruf-huruf kami tampal pada ketinggian yang sesuai yang boleh dicapai oleh Adawiyah yang sedang merangkak. Hal ini supaya Adawiyah dapat menyentuh kad-kad tersebut.

Selain kad imbas, boleh juga menggunakan pendekatan home deco hijaiyyah yang berwarna-warni untuk menarik minat anak-anak. Dekorasi yang menarik boleh merangsang imaginasi anak-anak. Lagi menarik jika ada penglibatan anak-anak dalam mendekorasikan hiasan dinding bilik masing-masing. 

  Hiasan dinding daripada dekorasi Wall Deco Hijaiyyah menjadi lagi menarik apabila ditambah dengan hiasan tambahan pelangi dan kumbang. Menarik perhatian dan imaginasi kanak-kanak.

P/S: Berminat dengan Flash Felt dan Wall Deco Hijaiyyah [update: Wall Deco Hijaiyyah ini sudah tidak dikeluarkan lagi], boleh hubungi saya di talian 010-5511909 (aplikasi Whatsapp/Telegram). 


Kisahku Di Sabasun

Kisahku Di Sabasun

#Entri 14

Teks dan Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Beberapa hari yang lepas saya, suami serta anak kami singgah di Sabasun HyperRuncit, Kuala Terengganu untuk membeli belah keperluan dapur. Niat asalnya ingin mencari air zamzam untuk diberikan kepada anakanda, Adawiyah. Namun, tidak ditemui pula air zamzam tersebut di Sabasun.

Mungkin sudah habis stok agaknya. Alang-alang sudah menjejakkan kaki di Sabasun ini, apa salahnya terus membeli keperluan dapur mana-mana yang sudah hampir habis kan? Si suami pula mendapat apa yang dihajatinya iaitu sotong. Katanya mahu dibuat Ketupat Sotong.



Sebenarnya saya suka membeli belah di Sabasun ini kerana suasananya yang tenang dan damai. Sabasun merupakan salah satu pasaraya milik bumiputera Melayu sepenuhnya, anak jati Terengganu. Pekerja-pekerjanya pula semuanya Melayu Islam, tiada seorang pun bangla mahupun warga asing. Tidak seperti kebanyakan pusat beli belah lain yang dipenuhi warga asing yang diambil bekerja.

Menurut sumber laman web Sabasun, secara ringkasnya Sabasun ditubuhkan pada 2 April 1995 dengan nama Sabasun Sdn Bhd. Pada awal operasi, hanya 8 orang pekerja yang bertugas dan terdiri daripada ahli keluarga terdekat. Namun kini, Sabasun sudah mempunyai cawangan baru dan pekerjanya melebihi 200 orang. Satu pencapaian yang sangat baik bagi peniaga Bumiputera, Melayu Muslim yang berniaga berkonsepkan islamik.

 Sabasun HyperRuncit Kuala Terengganu


Gambar kedai Sabasun sebelum berkembang menjadi HyperRuncit. 

 Menjengah masuk ke dalam Sabasun, hati terasa sungguh tenang dek alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan alunan zikir memuji kebesaran Allah. Sedikit sebanyak bibir ini turut sama berzikir. Itulah kelebihan Sabasun HyperRuncit berbanding pasaraya atau pusat beli belah lain.

Teringat lagi di awal usia perkahwinan kami dahulu, kami pernah singgah di Sabasun untuk membeli sedikit barangan di waktu lewat petang. Sudah hendak masuk waktu Maghrib sebenarnya. Saya dan suami baru selesai aktiviti jogging di Bukit Panorama berhampiran Sabasun HyperRuncit dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Sudah alang-alang, kami singgah membeli sedikit barang keperluan. Melangkah masuk ke dalam pasaraya, azan Maghrib berkumandang. Kaki tiba-tiba terasa berat untuk melangkah masuk kerana pasaraya lengang, cuma terdapat beberapa orang pembeli sahaja. Jelas kelihatan pekerja lebih ramai berbanding pengunjung. Tidak seperti waktu-waktu lain yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

Serta merta malu menghimpit kami. Malu kepada pekerja Sabasun kerana memikirkan di waktu azan Maghrib berkumandang, kami masih di jalanan (di dalam pasaraya beli belah sebenarnya). Kami tidak menunggu lama, cepat-cepat kami mengambil apa-apa barangan yang diperlukan dan terus membuat pembayaran. Semasa di kaunter pembayaran, jelas kami lihat pekerja-pekerja di kaunter bangun bergilir-gilir menuju ke ruang surau untuk solat. Lagi sekali kami merasa malu.

Semasa di kaunter pembayaran, sempat juga saya melihat terdapat nota yang dilekatkan di setiap kaunter yang menyatakan hadis tentang kewajipan bersolat. Mungkin pesanan itu daripada pemilik atau pengurus pasaraya untuk peringatan pekerja-pekerja. Subhanallah, indahnya apabila berniaga mengikut syariat Islam.

Waktu-waktu  begini berbeza suasananya jika dilihat di pasaraya atau pusat beli belah lain. Kebanyakkannya dipenuhi pengunjung terutamanya di waktu Maghrib. Tidak dinafikan, di pusat membeli belah kebiasaannya terdapat surau untuk kemudahan bersolat. Namun, belum tentu ianya dimanfaatkan oleh semua orang.

Sejak dari peristiwa malu di waktu Maghrib itu, kami tidak lagi menjejakkan kaki di Sabasun pada waktu Maghrib. Kami akan pergi pada siang hari ataupun selepas Isyak.
Selamat Hai Guru

Selamat Hai Guru

#Entri 13

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image



Tema sambutan Hari Guru tahun 2015: Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. Tema yang menyentuh naluri kecilku.

Apabila disebut mengenai Hari Guru, ramai di kalangan kita, (termasuk saya) yang mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru yang mengajar kita di sekolah. Namun, sedarkah kita bahawa guru pertama kita adalah ibu bapa atau penjaga kita.

Justeru, sempena Hari Guru ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Guru terutamanya kepada ibu dan bapa saya yang merupakan insan pertama yang mendidik saya dan adik-beradik. Tanpa mereka, siapalah kami hari ini. Tidak lupa juga dititipkan bacaan Al-Fatihah kepada guru mengaji saya iaitu datuk saya, Almarhum Mat bin Ali. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama insan soleh.

Selamat Hari Guru juga diucapkan buat semua guru-guru yang pernah mengajar dan mendidik saya sejak Tadika KEMAS Gelugor Kedai, Sekolah Kebangsaan Gelugor, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin dan Pusat Pengajian Yayasan Islam Terengganu.

Tidak lupa juga Selamat Hari Pendidik buat semua pensyarah yang merupakan guru saya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Selamat Hari Guru juga buat kakak ipar saya yang cantik manis, Ustazah Mazlina Abdul Wahab serta semua rakan-rakan di bidang perguruan.

Dan tidak dilupakan insan yang paling penting dalam hidup saya, Selamat Hari Guru diucapkan buat suami tercinta, Cikgu Mohd Azizan Mohamad Pawi. Semoga menjadi guru yang dapat mencurahkan ilmu dan menyempurnakan akhlak anak didikmu. Dan yang paling penting semoga berjaya menjadi guru dan memberi didikan yang terbaik untuk anakanda tersayang. Eh, terlupa pula. Selamat Hari Guru juga buat diri sendiri yang kini menjadi guru sepenuh masa mendidik anakanda buah hati pengarang jantung.

SELAMAT HARI GURU.

Tabung Subuh

Tabung Subuh

#Entri 12

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar / Carian Google


Assalamu'alaikum.

The Power of Sedekah. Pernahkah anda mendengar ayat ini?. Bagi yang pernah membaca buku daripada Dr. Azizan Osman bertajuk '21 Formula Hidup Luar Biasa' pasti tahu mengenai ayat tersebut. Untuk entri ini saya tidak mahu mengulas mengenai isi kandungan buku tersebut, tetapi saya ingin berkongsi satu cara yang boleh kita praktikkan untuk menjadikan kita 'ringan tangan' untuk bersedekah. InsyaAllah ulasan buku tersebut akan saya bincangkan pada entri yang akan datang. Atau sesiapa yang berminat untuk memiliki buku tersebut boleh dapatkannya di sini.



Mari kita ingat-ingat kembali berapa ringgitkah duit yang selalu kita sumbangkan kepada tabung masjid setiap kali kita bersolat di masjid? Atau berapakah jumlah duit yang kita berikan kepada peminta sedekah yang meminta di tepi jalan? Kebiasaannya tidak lebih RM10, bukan? Malah, kadang kala kita merasakan menderma RM1 sudah cukup. Mengapa tidak kita sedekahkan RM50 atau RM100 setiap kali bersolat di masjid? Jawapannya, kita rasa sayang akan duit tersebut. Kita merasakan bahawa kita akan kehabisan duit apabila kita menderma sejumlah besar duit. Sedangkan Allah telah menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda kepada yang bersedekah.

Salah satu cara membuatkan kita tidak lokek bersedekah adalah dengan mewujudkan Tabung Subuh. Tahukah anda apa itu Tabung Subuh? Tabung Subuh adalah tabung yang kita sediakan khas untuk menyimpan duit untuk disedekahkan, dan ianya dikumpul pada waktu subuh.

Kenapa waktu Subuh? Bukan Zohor, Asar, Maghrib atau Isyak?











Tips Surirumah Profesional

Tips Surirumah Profesional

#Entri 12

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Carian Google


Sejak bergelar surirumah, baru saya tahu betapa susahnya menjadi seorang surirumah.
Ramai yang beranggapan surirumah jarang keluar rumah, tidak bekerja 8 pagi hingga 5 petang dan mempunyai banyak masa terluang seharian. Ada yang berkata surirumah hanya goyang kaki, tunggu hujung bulan suami bagi duit, kemudian shopping.

Hakikat sebenarnya, menjadi surirumah bukan semudah yang disangka. Bermula bangun pagi, celik mata terus ada sahaja tugasan perlu disiapkan dan tugasan akan berakhir apabila pejam mata untuk tidur di waktu malam. Itu pun belum tentu tugasan dapat disiapkan sepenuhnya. Dan tugasan yang sama akan kembali semula keesokannya, hari berikutnya, minggu seterusnya selama 365 hari setahun. Rutin ini akan berulang untuk tahun seterusnya.

Tambahan lagi jika surirumah yang berbisnes. Lagi la haru biru jadinya. Semasa saya baru mula berjinak-jinak dalam bisnes menjual pakaian kanak-kanak online beberapa bulan dahulu, saya pernah mengalami situasi yang amat memenatkan bagi seorang surirumah. Rumah sudah seperti kapal pecah. Dengan keadaan longgokan kain di dalam bakul yang tidak berlipat, pinggan mangkuk di sinki, pakaian belum bergosok dan sebagainya. Tambahan anak yang masih kecil dan bisnes online yang perlu diuruskan. Terasa sangat penat dan tidak cukup rehat.

Kemudian, saya mula terfikir bagaimana surirumah lain menjalankan bisnes tetapi rumahtangga tetap terjaga. Rupanya sebagai seorang surirumah pun kita perlu bersikap profesional. Istilah profesional bukan hanya di pejabat, malah ianya turut digalakkan untuk dipraktikkan di rumah. Cuba kita bayangkan seharian kita berada di rumah, kerja rumah sentiasa ada. Jika kita tidak profesional, sudah tentu kelam kabut jadinya.

Jawatan suri rumah ini saya lebih gemar gelarkan sebagai jawatan Pengurus Rumahtangga. Bunyinya lebih baik dan hebat kan.

Bagaimana mahu jadi Pengurus Rumahtangga yang profesional? (Wah, macam best sahaja bunyinya kan).

1) Pengurusan Masa Yang Bijak

Untuk menjadi Pengurus Rumahtangga yang profesional memerlukan pengurusan masa yang sangat bijak. Sangat perlu untuk kita tetapkan waktu untuk melakukan sesuatu pekerjaan walaupun ianya sekecil-kecil kerja. Tetapkan tempoh waktu untuk membersihkan sesuatu kawasan rumah. Jika tempoh waktu yang kita tetapkan itu telah habis, jangan cuba tangguhkan waktu itu. Beralih ke pekerjaan yang lain pula, mengikut keutamaan pekerjaan. Contohnya, jika kita tetapkan waktu 5-10 minit waktu untuk melipat kain baju, gunakan waktu 5-10 minit tersebut dengan semaksima mungkin. Jika masa sudah tamat, tapi belum siap melipat baju, hentikan dahulu pekerjaan itu dan teruskan dengan pekerjaan lain. tetapkan waktu lain untuk sambung melipat pakaian tersebut. Hal ini adalah untuk mengelakkan kita tertumpu hanya pada melipat pakaian itu sehingga boleh memakan waktu sehingga 1 jam. Kan membazir waktu namanya tu.    

2) Perlunya Ada Senarai Perjalanan Aktiviti Harian.

Untuk mendisiplinkan diri kita menguruskan masa dengan  bijak, kita perlu ada senarai aktiviti harian kita. Senarai ini boleh dicatat dalam bentuk jadual (atau mengikut kesesuaian masing-masing) dan ia sebagai rekod catatan untuk kita lebih tumpu pekerjaan mana yang lebih utama dan perlu didahulukan dan yang mana boleh dikemudiankan. Catat setiap aktiviti pekerjaan harian rumah yang perlu diselesaikan dan kemudian buat senarai keutamaan. Lakukan pekerjaan tersebut mengikut senarai keutamaan. Jangan lupa tetapkan tempoh masa melakukan setiap pekerjaan (seperti di tips no. 1), agar tiada pekerjaan yang tercicir mahupun 'tercuri' masa mana-mana pekerjaan.

3) Menggunakan media sosial Dengan Sebaiknya.

Bagi Pengurus Rumahtangga yang juga menceburi bidang bisnes secara online, tentu sekali anda perlu sentiasa memaparkan iklan pada laman sosial seperti facebook dan instagram bukan? Apabila anda online untuk berbisnes, anda perlu ingat yang anda harus disiplinkan diri supaya tetapkan hati buka laman sosial hanya untuk berbisnes dan share ilmu sahaja. Jangan terlalu leka dalam scroll wall page laman sosial anda dan ambil masa yang lama membaca posting sahabat-sahabat anda. Saya bukan bertujuan untuk menyekat anda bersosial dengan rakan laman sosial. Tetapi anda harus ingat, anda telah memperuntukkan tempoh masa tersebut untuk berbisnes di online. Jika anda mahu melihat perkembangan rakan-rakan anda, peruntukkan tempoh masa lain yang tidak menganggu masa pekerjaan seharian anda sebagai Pengurus Rumahtangga. Anda boleh bertanya khabar rakan-rakan anda semasa berehat atau selepas selesai semua pekerjaan.

Baiklah, rasanya sekadar itu dahulu tips untuk hari ini. Tips-tips seterusnya insya Allah akan datang kita kongsikan lagi ya. Semoga kita menjadi surirumah a.k.a Pengurus Rumahtangga yang profesional dan hebat. Aminn.





Istikharah: Allah Tempat Memohon Petunjuk

Istikharah: Allah Tempat Memohon Petunjuk

#Entri 11

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar (sumber: buku 'Istikharah Cinta')
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar



Tanggal 20 Rejab 1436H, genap 2 tahun usia perkahwinan kami. Masih terkenang akan detik ijab dan kabul itu. Pejam celik pejam celik sudah 2 tahun berlalu. Rasanya cepat benar putaran masa. Dari hidup bujang, kemudian berdua, kini sudah bertiga. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah mengurniakan seorang cahaya mata penyeri alam rumahtangga.

Ketika sedang mengemas bilik tadi, saya terjumpa sebuah buku karangan Ummu Anas bertajuk 'Istikharah Cinta'. Buku ini saya beli 3 tahun lepas sejurus sebelum perkenalan dengan encik suami. Buku yang banyak membantu saya dalam memahami erti sebenar istikharah. Jika sebelum ini saya tahu mengenai solat istikharah ini dilakukan untuk membuat keputusan dalam hal berkaitan jodoh sahaja. Sebenarnya saya salah.

Solat istikharah bukan hanya bertujuan dalam hal jodoh, malahan ianya sepatutnya dilakukan dalam setiap keadaan yang memerlukan kita membuat keputusan dalam hidup seharian. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai topik istikharah.


APA ITU ISTIKHARAH

Istikharah bermaksud memohon petunjuk daripada Allah bagi menentukan pilihan dan keputusan yang terbaik. Kita perlu mendirikan solat sunat istikharah apabila berada dalam keadaan buntu untuk membuat keputusan.

Lazimnya, solat istikharah dilakukan dalam urusan menentukan jodoh. Namun sebenarnya solat istikharah perlu ditunaikan merangkumi apa sahaja urusan penting dalam kehidupan kita seperti berpindah kolej atau bertukar tempat kerja. Jika diteliti, dalam apa juga urusan hidup  pun memerlukan kita untuk membuat pilihan yang terbaik dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Kita tidak mengetahui sebenar-benarnya apa yang terbaik untuk kita. Mungkin apa yang kita fikir baik, belum tentu terbaik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Justeru, dalam hal ini memohon petunjuk Allah adalah jalan terbaik. Dengan menunaikan solat istikharah, Allah akan melimpahkan petunjuk, ketenangan dan kesejahteraan kepada kita. Hati kita akan menjadi tabah dan teguh dalam menghadapi apa sahaja cabaran hidup. Kita akan rasa kehadiran Allah bersama-sama kita, walaupun di mana kita berada dan dalam apa jua situasi yang kita hadapi.


WAKTU SOLAT SUNAT ISTIKHARAH

Solat sunat istikharah boleh ditunaikan pada bila-bila masa sahaja yang diharuskan  bersolat, sama ada pada waktu siang atau malam. Namun, masa yang terbaik adalah pada dua per tiga malam. Sekiranya tidak berupaya untuk tunaikan pada lewat malam, kita boleh mendirikannya selepas solat maghrib atau solat isyak.
JUALAN BUKU: BIG BAD WOLF

JUALAN BUKU: BIG BAD WOLF

#Entri 10

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Semalam beberapa orang rakan di laman sosial facebook ada menceritakan tentang satu jualan buku "The Big Bad Wolf Book Sale Terengganu" yang diadakan di Pusat Gymnasium Unisza Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu. Rasa hati ingin juga pergi meninjau-ninjau. Mana la tahu kalau-kalau ada buku yang diingini. 

Petang tadi, selepas suami pulang dari mengajar, kami terus ke jualan buku tersebut. Boleh tahan juga ramai pengunjung yang hadir. Suasana pun meriah, banyak buku yang dijual. Namun, agak mendukacitakan kerana tiada buku yang berkenan di hati untuk dibawa pulang. Cuma dapat membeli satu set buku My First Learning Library untuk Adawiyah. Terdapat 3 buah buku asas ABC, 123, dan Words. Tidak mengapalah. sekurang-kurangnya ada juga buah tangan yang boleh dibawa pulang untuk si manja Adawiyah ini.


Satu set buku untuk Adawiyah. Salah satu cara untuk mendekatkan Adawiyah kepada buku.

 Kisah Pertunangan Ringkas Tapi Bersyariat

Kisah Pertunangan Ringkas Tapi Bersyariat

#Entri 9

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image

"Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau merebut yang empunya agama nescaya kamu berhajat padanya (agama)". (Muttafaq'alaih)


Tarikh 1 Mei pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis kenduri sementelah cuti umum di hujung minggu. Hari ini, dua orang sepupu saya melangsungkan majlis pertunangan di dua majlis berbeza. Seorang sepupu saya sebelah emak dan seorang lagi sepupu suami. Kedua-duanya melangsungkan majlis selepas solat Jumaat. Hajat di hati hendak meraikan majlis sepupu sendiri tapi disebabkan suami sudah berjanji dengan ibu mertua, kami menghadirkan diri ke majlis pertunangan sepupunya di Kg Bukit Bading, HuluTerengganu.

Di sini saya ingin kongsikan sedikit coretan tentang majlis pertunangan tersebut. Majlis berlangsung secara sangat sederhana, sekadar mengikut adat tanpa melanggar syariat. Sepupunya yang dipanggil dengan gelaran kak long mengenakan persalinan pertunangan jubah berwarna krim yang dibeli sendiri (mungkin selepas ini jubah tersebut boleh dipakai lagi) dan wajah dicalit sedikit solekan hasil tangan sepupunya (sekadar untuk elok dipandang). Semasa sedang disolek, sempat juga ditanyakan kepada kak long mengenai bakal tunangannya. Kak long baru berumur 21 tahun manakala bakal tunangnya berumur 24 tahun. Usia yang sesuai (produktif bagi wanita) untuk melayari rumahtangga.

Terdapat sedikit hiasan dinding di ruang tamu yang akan dijadikan ruang menyarung cincin. Hiasan dinding ini digubah oleh ibu mertua saya sehari sebelum majlis. Terdetik di hati bagaimana sesi sarung cincin nanti, kerana bapa saudara suami seorang yang kuat pegangan agama. Tentu sahaja ada mata-mata lelaki bukan muhrim yang akan memandang semasa sesi sarung cincin nanti.

Majlis bermula dengan perbincangan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan. Usai perbincangan, majlis disudahi dengan bacaan doa daripada bapa saudara suami. Hadirin lelaki dijemput makan di ruang halaman rumah, manakala hadirin perempuan meneruskan sesi sarungan cincin. Setelah semua hadirin lelaki turun untuk makan, kak long pun keluar untuk disarungkan cincin di ruangan tersebut disaksikan oleh hadirin wanita sahaja.

Kemudian, sedikit sesi bergambar kenangan kak long dan saudara mara. Kemudian, tetamu wanita dijemput makan di ruang tamu rumah sambil berkenalan dengan tuan rumah. Kak long kemudian masuk semula ke bilik. Usai makan, tetamu pun pulang, majlis pertunangan pun selesai.

Pertama kali saya melihat majlis pertunangan yang dijalankan secara terbuka (cincin disarung di khalayak ramai) tetapi ringkas dan tidak melanggar syariat (tetamu lelaki tidak terlibat semasa sarung cincin yang mana boleh mendatangkan fitnah). Majlis berlangsung dengan lancar

Subhanallah, indahnya Islam. Persiapan majlis pun diadakan dalam tempoh yang singkat iaitu seminggu. Pihak lelaki telah datang merisik 2 minggu yang lepas dan menyatakan hajat untuk datang meminang pada hari ini.

Melihatkan majlis pertunangan kak long itu tadi, teringat kembali detik pertunangan saya dahulu. Dua majlis pertunangan dalam satu hari. Juga pada hari Jumaat. Majlis pertunangan adik saya pada sebelah pagi manakala majlis saya pada petang hari, selepas solat Jumaat. Majlis menggunakan 'pelamin' pertunangan, pakaian persalinan dan mekap yang disewa. Apabila difikirkan, terasa membazir pula menyewa set majlis pertunangan, memakan kos sedangkan ianya boleh diringkaskan. Namun, perkara yang lepas jadikan pengajaran.

Sempat juga saya rakamkan beberapa keping gambar kenangan pada majlis kak long itu tadi. Namun, maaf ya, gambar-gambar majlis tersebut tidak dapat dikongsikan di sini.Tapi insyaAllah konsep dan cara majlis kak long itu boleh dijadikan inspirasi untuk dipraktikkan pada mana-mana majlis pertunangan akan datang. InsyaAllah..
Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com