Resipi Tempe Goreng Bersama Kentang - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Resipi Tempe Goreng Bersama Kentang

20 April 2015

Resipi Tempe Goreng Bersama Kentang

#Entri 6

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Selepas beberapa bulan, akhirnya Adawiyah dapat bertemu sepupunya, Zahra yang pulang bercuti di kampung. Pertama kali bertemu Zahra selepas pantang dahulu tapi ketika itu Adawiyah dan Zahra kecil lagi. Tak pandai nak main-main lagi. Sekarang Adawiyah sudah 7 bulan lebih, dan Zahra pun sudah 6 bulan. Boleh la main cuit-cuit, tepuk-tepuk, mandi dalam besen sama-sama. Seronok Adawiyah ada kawan bermain.


Mama Zahra pun ada membawa pulang tempe dari Johor. Agaknya apa la nak dimasak dengan tempe ni ya? Sudah agak lama tidak makan tempe. Pertama kali makan semasa belajar di universiti dahulu. Itupun selepas kawan yang kenalkan dengan makanan yang bernama tempe ini, dibeli di cafe asrama. Rasa tidak sedap langsung. Tidak kena dengan selera tekak. Kemudian, apabila kerap kali makan, terasa sedap la pula hai tempe ni. Dan sekarang tempe ni dah jadi makanan kegemaran pula.

Teringat pula pada masakan tempe yang pernah dimakan sewaktu belajar dahulu. Hari ini kita masak Tempe Goreng Kering bersama Kentang la. Makan dengan nasi putih panas-panas memang sedap. Jom kita terus ke resipinya.

Terlupa pula nak snap gambar selepas siap memasak. Yang ni sahaja yang tinggal dan sempat dirakam gambarnya. 


TEMPE GORENG KERING BERSAMA KENTANG

Bahan-bahan:
1 paket tempe (dipotong panjang kira-kira 4cm)
2 biji ubi kentang (dihiris nipis)
Semangkuk kecil ikan bilis (dibasuh dan toskan)
3 sudu cili kisar
3 biji bawang merah - ditumbuk halus
2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa

Cara Penyediaan:
1) Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ubi kentang hingga garing. Angkat dan toskan minyak. Kemudian, goreng Tempe hingga garing dan toskan. Kemudian goreng ikan bilis sehingga garing dan toskan.
2) Kurangkan kuantiti minyak dalam kuali dan tumis cili kisar hingga masak. Kemudian masukkan bahan yang ditumbuk halus. Tumis sehingga wangi.
3) Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian masukkan semua bahan yang digoreng tadi (tempe, ubi kentang dan ikan bilis). Kacau sebati.
4) Angkat dan hidangkan. Enak dimakan panas-panas kerana rangup.

Tips:
* Untuk mengelakkan ubi tentang menjadi hitam selepas dipotong, segera rendam ubi kentang di dalam air selepas dikupas.

~SELAMAT MENCUBA~

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com