Tips Ibu Hamil dan Menyusu di Bulan Puasa - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Tips Ibu Hamil dan Menyusu di Bulan Puasa

10 June 2015

Tips Ibu Hamil dan Menyusu di Bulan Puasa

#Entri 

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Carian Google



Assalamu'alaikum. Kurang lebih tinggal 8 hari lagi kita akan menyambut bulan penuh keberkatan Ramadhan Al Mubarak. Ya Allah, cepat betul masa berlalu. Sudah setahun Ramadhan meninggalkan kita, kini 'dia' datang kembali. Eh, jangan salah faham. Saya bukan ingin menidakkan kedatangan Ramadhan tetapi ingin mengenangkan betapa cepatnya masa berlalu sehinggakan tidak terasa sudah setahun lamanya.

 Bersediakah kita untuk menjadi tetamunya Ramadhan?

Alhamdulillah jika dipanjangkan usia, tahun ini saya akan menyambut Ramadhan sebagai seorang ibu. Pada tahun lepas, Ramadhan dilalui sebagai bakal ibu, yakni semasa saya sedang 7 bulan mengandungkan anak sulung saya, Nur Rabi'atul Adawiyah.

Pertama kali berpuasa ketika hamil, sungguh mencabar rasanya. Tetapi alhamdulillah Allah kuatkan semangat saya untuk meneruskan ibadat puasa. Masih lagi saya ingat, 2 hari saya terpaksa mengorbankan puasa di waktu lewat petang, sudah hampir waktu berbuka sebenar akibat terlalu lapar dan letih. Saya terpaksa berbuka pada pukul 5 petang dan satu hari lagi berbuka pada pukul 6 petang. Jika diikutkan, terasa sayang untuk menyentuh makanan ke mulut, tetapi apabila difikirkan tentang anak di dalam kandungan, terpaksalah dikorbankan. Lebur niat hati ingin berpuasa penuh pada tahun lepas.

Pada tahun ini, saya sekali lagi akan diuji dengan berpuasa sebagai seorang ibu yang menyusukan bayi. Di hati mula terasa risau, mampukah saya menghadapi hari-hari berpuasa sambil menyusukan anak. Saya mulai risau akan penghasilan susu  Masih ingat lagi, beberapa bulan lepas ketika sedang berpuasa ganti, menjelang petang, perut mula terasa amat lapar sehinggakan badan menggigil. Namun digagahi jua sehingga masuk waktu berbuka. Baru saya sedar rupanya sukar juga berpuasa bagi seorang ibu yang menyusukan anak. Pada hari kedua berpuasa ganti, tidak terasa lapar sangat kerana saya telah membuat persediaan pada malam sebelumnya dengan meminum air secukupnya serta memakan kurma ketika sahur. Semoga Allah kuatkan semangat saya lagi untuk berpuasa penuh pada tahun ini. InsyaAllah.

Anda pula bagaimana? Sudahkah anda bersedia untuk menerima kehadiran Ramadhan?

Disebabkan risau akan kesukaran berpuasa sebagai seorang ibu yang menyusukan bayi, saya ada membuat sedikit carian tentang persediaan ibu hamil dan ibu menyusu supaya bertenaga ketika berpuasa. Di sini saya kongsikan juga secara ringkas perkongsian daripada Coretan Ros Ahmad dan Mothers First Choice.

Ibu hamil dan menyusu perlu mengambil makanan yang seimbang dan sihat semasa berpuasa. Bagi ibu hamil, anda tidak semestinya perlu makan berlebihan (dengan kata lain makan untuk dua orang). Jika anda makan dalam kuantiti yang betul, anda akan dapat bertahan hingga ke petang.

Jika anda ibu menyusu pula, pemakanan yang betul dapat memberikan anda tenaga dan dapat memastikan penghasilan susu tidak terjejas. Walau bagaimanapun, rutin mengepam hendaklah dilakukan seperti biasa.

Tips Ibu Hamil dan Menyusu di bulan puasa

1) Minum air secukupnya

Minum air yang secukupnya ketika sahur dan berbuka bagi mengelakkan dehidrasi yang boleh menjejaskan penghasilan susu. Seeloknya minum dua liter atau lebih air sehari (bersamaan dengan lapan gelas air atau lebih).

2) Jangan Abaikan Sahur

Jangan sesekali meninggalkan waktu sahur. Namun, anda digalakkan untuk melambatkan makan sahur.  

3) Makan kurma ketika bersahur dan berbuka

Seperti yang disarankan oleh nabi, ibu hamil dan ibu menyusu digalakkan makan kurma untuk tenaga berterusan semasa berpuasa. Bersahur dan berbukalah dengan memakan kurma terlebih dahulu sekurang-kurangnya 3 biji. Amalan ini dapat membekalkan tenaga segera sepanjang hari.

Kurma juga antara milkbooster terbaik untuk ibu menyusu dalam memastikan kuantiti susu tetap seperti biasa walaupun berpuasa.

Hari pertama puasa, kuantiti susu mungkin akan berkurang sedikit. Kebiasaannya hari kedua dan seterusnya hasil perahan akan jadi seperti biasa.

4) Makanan berprotein tinggi

Makanan berprotein tinggi seperti ayam, daging, kekacang dan telur dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama berbanding karbohidrat. Oleh itu, lebihkan pengambilan makanan berprotein berbanding nasi dan mee semasa berbuka dan bersahur.

5) Makanan berserat

Makanan berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan turut memberi rasa kenyang yang lebih lama. Ia juga bagus untuk mengelakkan sembelit yang kerap dialami oleh ibu hamil.

6) Makanan berkarbohidrat

Makanan berkarbohidrat seperti nasi, mee dan bihun hendaklah diambil dalam kuantiti yang sederhana.

Makan dengan berlebihan akan menyebabkan anda rasa mengantuk ketika terawih dan juga selepas bersahur.

7) Ambil lebih lemak sihat

Jumlah lemak di dalam susu ibu berkurangan apabila anda berpuasa. Untuk itu, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi lemak sihat yang mencukupi. Lemak sihat boleh diperolehi dengan mengambil susu dan produk tenusu seperti keju, susu dan sebagainya.

8) Kurangkan pengambilan makanan bergoreng dan berminyak

Pengambilan makanan bergoreng dan berminyak boleh mengurangkan nutrisi makanan yang dimakan. Oleh itu, anda perlu kurangkan pengambilannya.

Lebihkan makanan yang kaya dengan protein dan apa sahaja makanan berbentuk sup.

9) Amalkan Madu

Anda sangat digalakkan untuk memakan madu setiap hari sepanjang berpuasa kerana ia merupakan sumber tenaga semula jadi. Selain daripada menambah stamina, ia mampu meningkatkan kadar serapan kalsium dalam tubuh.

10) Elakkan minuman bikarbonat

Anda memang digalakkan untuk minum banyak air ketika berpuasa tetapi hindari pengambilan minuman yang mengandungi banyak gula seperti air bikarbonat. Sama juga halnya dengan minuman berkafein. Kandungan gula dan kafein boleh mengganggu penghasilan susu ibu jika diambil berlebihan.

~SELAMAT BERPUASA~




No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com