April 2015 - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: April 2015
Durian Oh Durian

Durian Oh Durian

#Entri 8

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Entri yang tertunggak. Sudah lama peram, hari ini baru dapat dikongsikan. Kisahnya, minggu lepas selepas pulang dari kerja, suami mengajak kami pusing-pusing kampung. Hendak bawa Adawiyah jalan-jalan katanya. Pusing punya pusing, hati terasa ingin masuk bandaraya Kuala Terengganu. Lalu, kami pun meredah kesibukan jalanraya  memasuki pusat bandaraya. Nasib baik waktu itu sudah jam 6 petang, keadaan jalanraya di pusat bandar sudah agak lengang kerana kebanyakan pekerja waktu pejabat sudah mulai pulang ke rumah masing-masing.

Ketika melalui Pasar Payang, deria hidung mulai menghidu bau durian dari gerai-gerai di tepi jalan. Alahai menggoda iman betul. Tapi disebabkan tiada parking, kami tak jadi beli. Sesampainya di rumah, encik suami masih terkenang-kenang akan buah durian.

Salah satu gerai buah durian di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Maka, pada petang keesokan harinya sekali lagi kami pergi ke Pasar Payang untuk membeli durian. Rata-rata gerai yang dikunjungi menjual durian dari Thailand. Pelbagai jenis nama durian yang ada seperti Musang King, Kancing Baju, Telur Buaya dan sebagainya yang sebelum ini tidak pernah didengari. Agak lucu nama-nama durian yang ada di situ. Kalau ikutkan, saya ini tahu makan saja durian, jika ditanya nama, memang tidak tahu. Asal rasanya sedap, tak kisah la namanya apa.

Setelah meninjau beberapa gerai dan dikenalpasti gerai yang paling murah dan isi durian nampak cantik, kami pun memilih 2 biji durian jenis Kancing Baju. Harga yang dipaparkan RM15 sekilogram. Bila ditimbang, 2 biji durian saiz sederhana yang kami pilih melebihi 2 kilogram. Harganya RM37. Alahai mahalnya, 2 biji RM37. Sangat berbeza harganya, tidak seperti tahun lepas, beberapa biji durian dibeli dengan harganya tidak sampai RM20. Tapi disebabkan si suami tersayang mahu makan pengat durian, terpaksa la membelinya walaupun harga tidak munasabah. Tambahan pula saya pun sudah lama tidak menjamah buah durian.

Dua biji durian saiz sederhana yang kami beli. Sebiji dibuat pengat, sebiji lagi masuk mulut terus selepas dikopek.

Pulang sahaja ke rumah, saya terus bergegas ke dapur. Lagi cepat masak, lagi cepat boleh makan pengat durian. Cara penyediaannya sangat mudah dan rasanya sudah pasti sedap, lemak manis tambah dimakan bersama pulut. Tidak kisah la pulut dimasak secara kukus atau ditanak. Siap memasak, encik suami terus makan. Jilat jari dibuatnya. Selebihnya disimpan dalam peti sejuk untuk disejukkan. Kata suami, lagi sedap dimakan apabila disejukkan.

Panjang la pula ceritanya. Jom la kita jengah resipinya.



PENGAT DURIAN BERSAMA PULUT

Bahan-bahan;

Untuk pulut:
- 1 gelas beras pulut - dibasuh 3 kali dan ditoskan
- 3/4 gelas air
- 2-3 titik minyak

Untuk pengat:
- 5-6 ulas buah durian
- santan
- nisan kerek/ gula melaka
- secubit garam
- gula (jika perlu - ikut tahap kemanisan diingini)
-  daun pandan (disimpul)

Cara penyediaan:
1) Untuk memasak pulut, tanak beras pulut bersama air dan masukkan 2-3 titis minyak. Minyak digunakan supaya nasi tidak melekat pada senduk ketika menceduk nanti. Tapi jangan terlalu banyak ya.
2) Untuk penyediaan pengat, satukan santan, nisan kerek, garam dan daun pandan. Masak sehingga nisan kerek hancur. Kemudian masukkan isi durian, kacau sehingga isi durian agak lembut dan kuah pekat sedikit (jika ingin sedikit manis, boleh tambahkan gula).
3) Tutup api dan hidangkan pengat bersama pulut.

*Sedap dimakan panas-panas mahupun disejukkan terlebih dahulu.
Tips Untuk Sihat: Minum Air Putih

Tips Untuk Sihat: Minum Air Putih

#Entri 7

Teks:Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image

Setiap manusia terutamanya kaum wanita ingin kelihatan cantik kan?. Pernah atau tidak anda dengar ungkapan kecantikan seorang wanita bermula dari dalaman, bukan sekadar kecantikan luaran, yang kebanyakannya diselaputi mekap tebal. Hari ini saya ingin kongsikan salah satu tips untuk cantik dan sihat. 

Dalam cuaca yang tersangat panas sekarang, badan kita mudah untuk kehilangan bendalir dalam badan. Kehilangan bendalir badan menyebabkan kulit cepat kering dan badan kita menjadi lesu. Justeru, kita perlu untuk top up bendalir dalam badan dengan minum air bagi menggantikan air yang telah hilang.


Tahukah anda keperluan air seseorang bergantung kepada berat badan seseorang individu. Namun, kebiasaannya seorang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Tetapi, bagi sesetengah individu, boleh jadi sesuatu yang mustahil untuk minum air sebanyak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Lagi-lagi bagi mereka yang bekerja di dalam pejabat yang mana tidak menggunakan kudrat 4 kerat yang kuat.

Sebenarnya terdapat beberapa cara yang boleh dipraktikkan untuk memastikan kita dapat minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Di sini saya kongsikan bagaimana cara yang saya gunakan setiap hari.

1) Kenalpasti berapa gelas atau berapa liter air yang diperlukan oleh badan kita setiap hari.

2) Mulakan minum segelas air putih selepas bangun tidur iaitu sebelum ke bilik air untuk cuci muka dan berus gigi.

Jika difikirkan memang terasa agak menggelikan untuk minum air sebelum menggosok gigi. Namun, hakikatnya ia baik untuk sistem perkumuhan badan kita.

3) Amalkan minum segelas air setiap jam iaitu lebih kurang 300ml. Secara automatik, dalam masa 8 jam kita sudah minum sekurang-kurangnya 8 gelas air bersamaan 2.4 liter air;

4) Atau kita boleh juga menggunakan botol air besar. Biasakan diri dengan membawa botol air besar 1 liter atau 2 liter dan habiskan air tersebut dalam sehari. Jika anda menggunakan botol air 1 liter, pastikan anda menambah kuantiti air dalam botol tersebut yakni bersamaan sekurang-kurangnya 2 botol tersebut setiap hari.

5) Biasakan diri untuk tidak terus minum air sejurus selepas makan. Tunggu sekurang-kurangnya 30 minit selepas makan barulah minum air untuk memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan rasa mengantuk selepas makan. Apabila kita minum air sejurus selepas makan, perut akan penuh dan sukar untuk kita minum air pada jam berikutnya.

6) Amalkan minum segelas atau dua gelas air putih sebelum tidur untuk proses pembuangan toksin semasa tidur.

** Ibu yang menyusukan bayi dengan susu badan (ASI) perlu mengambil air putih sekurang-kurangnya 3 liter sehari.

Jika anda rasa air putih itu tawar dan tiada rasa, apa kata kita cuba maniskan air tersebut tanpa menggunakan gula yang mana kita tahu bahaya untuk badan. Jom saya kongsikan bagaimana mahu sedapkan air putih tanpa kalori.

Titiskan satu atau dua titik pemanis stevia ke dalam air putih dan minum. Pemanis stevia ini estrak daripada daun stevia. Bukan campuran bahan-bahan kimia. ia tiada kalori dan bebas dari unsur gula. Daun stevia itu sendiri memamg sudah manis rasanya.

Sihat itu cantik.
Cantik tapi tidak sihat itu penyakit.

Kalau ada yang ingin mencuba pemanis stevia ini, jangan segan silu boleh hubungi saya 012-9636285.

Resipi Tempe Goreng Bersama Kentang

Resipi Tempe Goreng Bersama Kentang

#Entri 6

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Selepas beberapa bulan, akhirnya Adawiyah dapat bertemu sepupunya, Zahra yang pulang bercuti di kampung. Pertama kali bertemu Zahra selepas pantang dahulu tapi ketika itu Adawiyah dan Zahra kecil lagi. Tak pandai nak main-main lagi. Sekarang Adawiyah sudah 7 bulan lebih, dan Zahra pun sudah 6 bulan. Boleh la main cuit-cuit, tepuk-tepuk, mandi dalam besen sama-sama. Seronok Adawiyah ada kawan bermain.


Mama Zahra pun ada membawa pulang tempe dari Johor. Agaknya apa la nak dimasak dengan tempe ni ya? Sudah agak lama tidak makan tempe. Pertama kali makan semasa belajar di universiti dahulu. Itupun selepas kawan yang kenalkan dengan makanan yang bernama tempe ini, dibeli di cafe asrama. Rasa tidak sedap langsung. Tidak kena dengan selera tekak. Kemudian, apabila kerap kali makan, terasa sedap la pula hai tempe ni. Dan sekarang tempe ni dah jadi makanan kegemaran pula.

Teringat pula pada masakan tempe yang pernah dimakan sewaktu belajar dahulu. Hari ini kita masak Tempe Goreng Kering bersama Kentang la. Makan dengan nasi putih panas-panas memang sedap. Jom kita terus ke resipinya.

Terlupa pula nak snap gambar selepas siap memasak. Yang ni sahaja yang tinggal dan sempat dirakam gambarnya. 


TEMPE GORENG KERING BERSAMA KENTANG

Bahan-bahan:
1 paket tempe (dipotong panjang kira-kira 4cm)
2 biji ubi kentang (dihiris nipis)
Semangkuk kecil ikan bilis (dibasuh dan toskan)
3 sudu cili kisar
3 biji bawang merah - ditumbuk halus
2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa

Cara Penyediaan:
1) Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ubi kentang hingga garing. Angkat dan toskan minyak. Kemudian, goreng Tempe hingga garing dan toskan. Kemudian goreng ikan bilis sehingga garing dan toskan.
2) Kurangkan kuantiti minyak dalam kuali dan tumis cili kisar hingga masak. Kemudian masukkan bahan yang ditumbuk halus. Tumis sehingga wangi.
3) Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian masukkan semua bahan yang digoreng tadi (tempe, ubi kentang dan ikan bilis). Kacau sebati.
4) Angkat dan hidangkan. Enak dimakan panas-panas kerana rangup.

Tips:
* Untuk mengelakkan ubi tentang menjadi hitam selepas dipotong, segera rendam ubi kentang di dalam air selepas dikupas.

~SELAMAT MENCUBA~
Stress - Manfaat dan Mudarat

Stress - Manfaat dan Mudarat

#Entri 5

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
(Sumber - Majalah Solusi Isu No 39)

Foto: Siti Rahinah Abu Bakar


Setiap manusia yang waras akal fikiran pernah mengalami stres. Cuma bezanya tingkat stres yang dihadapi dan bagaimana mereka mengatasi stres tersebut.

Stres adalah fitrah manusia. Ia merupakan reaksi tabii tubuh badan kita terhadap rangsangan fizikal dan emosi. Stres bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus. Stres boleh memberi manfaat dan juga mudarat. Dalam beberapa keadaan, manusia memerlukan stres. Sedikit stres diperlukan untuk menghasilkan kerja yang berkualiti dan produktif. Namun, stres tidak boleh berlebihan kerana boleh mengundang pelbagai masalah.

Jom kita selidik apa manfaat dan mudarat stress kepada manusia.


MANFAAT STRES

1) Stres akibat takut gagal, menyebabkan kita bangun berusaha dengan lebih gigih.

2) Stres akibat hubungan yang tidak mesra dengan manusia lain terutamanya ibu bapa, menyebabkan kita bertindak meminta maaf, berterus terang dan melakukan tindakan-tindakan positif bagi membetulkan keadaan.

3) Stres kerana jahil, akan mendorong kita untuk bangun menimba ilmu bagi mengatasi kekurangan yang ada.

4) Stres kerana merasakan diri berdosa, akan mendorong orang yang masih mempunyai sekelumit iman untuk beristighfar dan bertaubat di atas kesilapan diri.

5) Stres kerana merasakan diri tiada pencapaian, akan memotivasikan diri untuk berusaha meraih kejayaan dalam hidup.

6) Stres kerana melihat perbuatan mungkar, akan menyebabkan jiwa memberontak ingin melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

7) Stres kerana masalah kesihatan, akan menyebabkan pesakit lebih kuat dan berusaha menjaga diri dalam usaha untuk menyembuhkan.


MUDARAT STRES

1) Apabila stres yang dialami sudah mencapai tahap melampau akan menimbulkan keletihan bagi jiwa. Jiwa yang letih tetapi tidak dirawat dengan istirehat, akan menyebabkan jiwa lemah dan kemudian mati. Pada tahap ini, manusia yang hilang pedoman boleh melakukan perkara di luar kewarasan akal seperti mengambil dadah, arak, dan pelbagai cara penyelesaian yang menyimpang yang mungkin boleh mencederakan diri.

2) Akibat stres yang berlebihan, manusia bertukar dari ceria, bertenaga dan bersemangat menjadi individu yang lemah, murung, dan putus asa. Hinggalah pada tahap yang kronik boleh membawa kepada sakit jiwa, malah ada yang membunuh diri. Na'uzubillah.

3) Stres penyebab penyakit kronik. 70% pesakit yang mengunjungi hospital berpunca daripada stres.
Masalah stres adalah masalah biasa. Setiap orang pernah menghadapinya. Saya pun sama, stres akan datang apabila banyak pekerjaan yang perlu diselesaikan dalam satu masa dan berlaku konflik untuk menyiapkan tugasan pekerjaan tersebut. Namun, masalah stres boleh diatasi sekiranya kita pandai menggunakan akal fikiran dan panduan agama sebagai asasnya.


Di sini, saya kongsikan sedikit tips bagaimana saya menghadapi stres seharian.

1) Dekatkan diri dengan sang Pencipta

Fitrah manusia, memerlukan tuhan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang terdesak. Kita perlu sentiasa tanamkan dalam diri bahawa Allah itu sentiasa ada dan mendengar rintihan hambaNya.
Apabila stres, minda kita akan rasa serabut dan gelisah. Apabila berada dalam keadaan ini, berwuduklah dan solat. Dalam solat, biasanya semasa sujud berdoalah kepada Allah. Saat yang paling dekat manusia dengan Allah adalah ketika waktu sujud di dalam solatnya. Begitu juga selepas solat, angkatlah tangan berdoa, merintih dan luahkan segala perasaan duka kepada Allah. Sebagaimana firmanNya, "Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang".
Allah rindukan hambaNya dan inginkan kita supaya mengingatiNya.

2) Ambil iktibar kisah-kisah nabi dan para sahabat atau kisah insan yang lebih susah dari kita.

Setelah solat, insyaAllah hati kita akan lebih tenang. Dalam keadaan ini, bayangkan situasi orang yang lebih susah yang mendapat ujian yang lebih hebat dari kita. Dengan itu, kita akan rasa lebih bersyukur dan berusaha untuk mengatasi masalah stres tersebut.

3) Stres merupakan tanda ujian Allah. Yakinkan diri dan bersangka baik kepada Allah.

Allah menguji hambaNya mengikut kadar kemampuan manusia.
Firman Allah;
" Allah tidak menguji manusia melainkan sepadan dengan keupayaan mereka menghadapinya". (surah Al-Baqarah, 2:286)

4) Rehatkan diri.

Semasa dalam keadaan stres yang melampau, minda kita berada dalam keadaan celaru dan letih. Apa jua pekerjaan yang dilakukan pasti tidak akan membuahkan hasil yang diingini. Apa kata, kita rehatkan minda kita. Salah satu caranya adalah dengan tidur, walaupun sekejap tapi puas. Apabila bangun tidur, minda akan lebih segar.
Selain itu, keluar sebentar dari persekitaran stres dengan menghirup udara segar boleh mengurangkan stres. Contohnya, bersiar-siar di pesisir pantai, berehat atau jogging di taman rekreasi, atau melakukan aktiviti luar yang kita gemari.

5) Hiburan Islam

Hiburan sangat diperlukan oleh jiwa untuk kembali segar dan bertenaga. Dalam Islam, erti hiburan itu sangat luas, bukan sekadar apa yang dikategorikan seperti lagu, muzik, filem dan sebagainya. Tetapi apa-apa sahaja aktiviti yang dapat mententeramkan hati dan fikiran boleh dianggap hiburan. Sebagai contoh, riadah, zikir, rehlah, melancong dan sebagainya. 
Anakku Demam - Bahagian 2

Anakku Demam - Bahagian 2

#Entri 4

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum w.b.t.. Entri yang lepas saya ada menceritakan tentang pengalaman pertama menghadapi situasi anak demam. Entri kali ini saya akan sambung lagi kisahnya. Selepas demam Adawiyah kebah pada hari ketiga, hati saya lega memikirkan si anak sudah sihat. Tapi, timbul pula bintik-bintik merah pada mukanya. Risau kalau timbul penyakit berbahaya, lantas saya segera bertanya kepada 'doktor goggle' (yakni sumber paling cepat). Setelah membuat carian maklumat menerusi beberapa laman hasil carian goggle, daripada tanda-tanda pada badan Adawiyah, didapati kebanyakkannya berkisar tentang penyakit cacar air.

Apabila ditanya kepada emak saya, dia juga berpendapat sedemikian, katanya kemungkinan demam campak atau cacar air yang biasa dialami oleh anak-anak kecil. Emak juga memberi petua supaya memandikan anak dengan air kelapa setelah semua 'buah' (bintik) campak tersebut timbul di seluruh badan sehingga tapak kaki. Selain itu, boleh juga memandikan anak dengan daun campak yang biasanya boleh diperolehi di sekitar kampung. Sebenarnya saya pun tidak kenal dengan daun campak ini.


Inilah dia daun campak yang diberitahu oleh emak saya.


Tunggu punya tunggu punya tunggu, dua tiga hari tapi bintik-bintik merah ni tidak pula timbul pada seluruh badan Adawiyah. Ianya ada sekitar muka, dada dan belakang badan. Itupun sekadar ruam merah biasa sahaja, tidak timbul bintik air seperti yang dibaca hasil carian dari google.

Tidak lama kemudian, selepas hari keempat, ruam merah itu pun beransur hilang. Tapi emak tetap berpesan supaya mandikan anak dengan air kelapa atau air daun campak supaya ruam itu betul-betul 'pergi' dari tubuh anak kecil saya ini.

Risau juga kerana kulit Adawiyah sensitif. Ia akan meninggalkan parut hitam jika digigit sesuatu, kebiasaanya nyamuk. Inikan pula jika naik ruam atau bintik cacar air, alahai nanti mesti tak cantik la anak ummi kalau bintik cacar air tinggalkan kesan parut hitam tu.

Tapi alhamdulillah, kini Adawiyah sudah sihat sepenuhnya tanpa kesan parut. Ruam merah tu hilang dengan sendirinya. Saya agak mungkin ruam merah tersebut hasil daripada keadaan badan Adawiyah yang panas semasa demam sebelum ini.


Anakku Demam - Bahagian 1

Anakku Demam - Bahagian 1

#Entri 3

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum w.b.t.. Untuk entri kali ini, saya ingin menceritakan mengenai pengalaman pertama saya menghadapi situasi anak demam panas. Hendak dijadikan cerita, di hari Jumaat penuh barokah ini, buat pertama kalinya si comel Adawiyah demam panas. Agak kalut juga kami memikirkan apa yang harus dilakukan. Almaklumlah, pertama kali berada dalam situasi ini sejak 6 bulan setengah Adawiyah dilahirkan. Patut la malam tadi Adawiyah tidur tidak lena. Asyik terbangun dan seolah-olah merengek saja.

Apabila bangun pagi tadi, saya dapati suhu badannya agak panas. Lantas dicapai termometer yang sememangnya telah disediakan sejak Adawiyah dilahirkan (termometer ini sebenarnya milik adik ipar saya dan dipinjamkan kepada kami untuk persediaan sekiranya demam). Saya meletakkan termometer di celah ketiak Adawiyah. Suhu 36.8°C. Macam tinggi je suhu ini.

Termometer untuk sukat suhu badan anak.

Pernah saya baca menerusi laman sosial facebook mengenai tips apabila anak demam. Walaupun demam, bayi tetap perlu dimandikan sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Justeru, saya mandikan Adawiyah kira-kira jam 8 pagi. Dia kelihatan masih ceria dan aktif. Saya tinggalkan Adawiyah bermain bersama abinya. Saya terus ke dapur menyiapkan hidangan makan tengahari. Saya jeling-jeling Adawiyah dari dapur. Risau akan tahap kesihatannya. Dia kelihatan makin kuat merengek. Apabila diperiksa, suhu badannya naik lagi, 37.5°C. Risau pula jadinya tapi saya tenangkan hati, berusaha untuk berfikir positif supaya tidak panik. Usai urusan di dapur, saya mandikan Adawiyah sekali lagi jam 11 pagi. Bila diperiksa, suhunya naik lagi 38.1°C.

Encik suami mulai risau dan mula bertanya rakan-rakan yang lebih berpengalaman, dan dinasihatkan supaya dirujuk ke klinik. Lantas, kemudian kami mengambil keputusan membawa Adawiyah ke Pusat Perubatan Intan, Kuala Terengganu memandangkan klinik yang berdekatan dengan rumah saya semuanya tutup pada hari ini, hari Jumaat. Untuk pengetahuan pembaca, kebanyakan pejabat, kedai-kedai dan klinik-klinik di Terengganu tidak beroperasi pada hari Jumaat. Jadi, agak sukar la jika ingin mendapatkan barangan dan perkhidmatan pada hari Jumaat melainkan ke pasaraya.

Apabila sampai di Pusat Perubatan Intan, kelihatan agak ramai pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Mungkin disebabkan kesukaran mendapatkan rawatan di klinik lain pada hari Jumaat, mereka ke sini seperti saya juga. Setelah menunggu giliran selama 1 jam lebih, akhirnya tiba giliran Adawiyah menerima rawatan. Doktor memeriksa Adawiyah, didapati suhu badan tinggi (38°C). Adawiyah diberikan ubat menerusi punggung. Kata doktor, ubat tersebut akan larut apabila masuk ke dalam badan.

Doktor memberi nasihat supaya memandikan anak sekerap yang mungkin dan tidak memakaikan pakaian kepada Adawiyah melainkan pampers atau sekadar pakaian nipis (jika perlu). Setelah selesai berurusan dengan doktor, suami mengambil ubat di kaunter farmasi. Bayaran dikenakan sebanyak RM27 sahaja. Berbaloi sangat la dengan rawatan yang diterima. Adawiyah diberikan ubat demam (paracetamol) dalam bentuk syrup dan ubat yang dimasukkan melalui dubur (bertujuan mempercepatkan penurunan suhu) sekiranya suhu badan terlalu tinggi.

Preskripsi ubat yang diberikan. Adawiyah tidak gemar ubat jenis syrup. Asyik muntahkan balik selepas minum. Kesian anak ummi.

Alhmdulillah, pulang ke rumah suhu badan Adawiyah beransur turun. Lega rasa hati. Saya memberikan ubat kepada Adawiyah sepertimana nasihat doktor. Di samping itu, saya juga sentiasa memastikan badannya sejuk dengan mengelap badannya dengan tuala basah dan menjerlung bahagian kepala Adawiyah dengan air daun bunga raya yang telah diramas. Ini merupakan petua tradisional orang tua-tua dahulu yang sering digunakan oleh ibu saya sejak dahulu. Alhamdulillah, suhu badan Adawiyah turun.

Pada malamnya, Adawiyah tidur tanpa pakaian melainkan pampers. Suhu badannya tidaklah terlalu panas. Namun, apabila menjelang awal pagi kira-kira pukul 4.00 pagi, didapati suhu badannya kembali panas. Sepanjang hari kedua, suhunya naik turun. Namun, dalam keadaan tidak bermaya kerana demam, Adawiyah cuba gagahkan diri bermain dan tersenyum. Sempat dia meniarap dan mengangkat punggung seolah-olah pumping. Saya agak kemungkinan dia demam nak dapat lutut (merangkak) agaknya.

Saya sentiasa pastikan Adawiyah kerap dimandikan dan dilapkan badannya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, pada malam keduanya, kelihatan suhu badan Adawiyah kembali normal. Pada hari ketiga, suhu kembali tidak stabil, naik turun. Saya sentiasa memantau keadaan suhu badannya dari semasa ke semasa. Sehinggalah pada sebelah petangnya, kemuncaknya suhu naik mendadak hingga 38.5°C dan terpaksa dimasukkan ubat melalui punggung.

Alhamdulillah, kemudian suhu kembali normal dan demamnya kebah. Keesokannya muncul pula bintik-bintik merah pada mukanya. Alahai, kenapa pula naik bintik-bintik merah ni..?

..bersambung bahagian 2
BUBUR NASI DENGAN LABU MANIS

BUBUR NASI DENGAN LABU MANIS

# Entri 2

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum w.b.t.

Bagi entri kali ini, saya ingin kongsikan cara penyediaan bubur nasi dengan labu manis yang saya hidangkan untuk si manja saya hari ini. Sebelum kita ke resipinya, ingin saya kongsikan peristiwa di sebalik resipi ini. Hendak dijadikan cerita, rumah saya telah terputus bekalan elektrik. Begitu juga dengan rumah jiran-jiran sebelah. Mungkin disebabkan terdapat kerosakan di mana-mana pencawang dan dalam proses baikpulih. Saya fikir tidak mengapalah jika bekalan terputus seketika.

Namun, kemudian baru saya teringatkan bayi comel saya perlu makanan untuk dimakan. Sedangkan kebiasaannya saya menggunakan pengisar makanan untuk mengisar bubur nasinya. Lalu, teringatlah saya akan satu tips daripada Kak Ros, bekas kawan pejabat saya dahulu iaitu dengan mengisar beras terlebih dahulu sebelum dimasak.

Tetapi masalahnya sekarang, tiada bekalan elektrik untuk mengisar beras. Apa nak buat, saya mengambil inisiatif menumbuk beras sehingga lumat menggunakan lesung batu. Malas hendak membebel panjang, jom kita terus ke resipinya.

BUBUR NASI DENGAN LABU MANIS

Bahan-bahan:

- Segenggam beras
- Labu manis (dipotong dadu)
- Air secukupnya


Cara penyediaan:

1) Beras ditumbuk lumat (disebabkan pengisar tidak dapat digunakan). Kemudian dibasuh bersih. Toskan airnya.
2) Masakkan beras hancur tadi bersama labu manis dan air secukupnya.
3) Masak sehingga beras sudah betul-betul kembang menjadi nasi dan labu sudah empuk.
4) Sebelum dihidaangkan kepada bayi, penyek-penyekkan labu dahulu hingga hancur dan gaul bersama nasi.

Anakanda saya suka betul dengan bubur nasi labu manis ni. Mungkin kerana rasa manis daripada labu itu sendiri.

Selamat mencuba ya.
Salam Perkenalan

Salam Perkenalan

# Entri 1

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum w.b.t.



Salam perkenalan. Nama saya Siti Rahimah binti Abu Bakar. Berumur 30 tahun dan merupakan anak ketiga daripada 7 adik beradik (3 lelaki 4 perempuan). Bila ditanya mengenai bilangan adik beradik, saya selalu teringatkan lagu kanak-kanak yang selalu didendangkan sewaktu zaman kanak-kanak dahulu iaitu lagu 'Anak Nabi Kita'.. (Anak nabi kita ada tujuh orang, tiga lelaki empat perempuan..). Saya merupakan isteri kepada seorang suami mithali (insya Allah) dan ummi kepada seorang puteri yang kini berusia 6 bulan setengah.

Saya lahir dan dibesarkan di Terengganu. Saya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Terengganu. Tamat persekolahan, saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selepas tamat pengajian di UMT, saya memasuki Terengganu Graduate Attachment Scheme (T-GAS) iaitu satu skim latihan yang dikhaskan untuk graduan lepasan diploma atau ijazah, di bawah program pembangunan kemahiran kerajaan negeri Terengganu. Menerusi skim latihan ini, saya ditempatkan di kedai serbaneka (24 jam), T'shoppe iaitu kedai di bawah pemantauan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu. Dari sini sedikit demi sedikit saya mula menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang perniagaan.

Setelah tamat latihan, saya mula bekerja sebagai pembantu akademik di sebuah pusat tahfiz swasta. Di sini saya menimba satu lagi cabang ilmu dan pengalaman dalam bidang pengurusan taska dan tadika. Kemudian, saya bekerja sebagai kerani akaun/jualan di sebuah kedai/butik batik, sebelum mendapat tawaran pekerjaan sebagai Pekerja Sambilan Harian di Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu.

Jika dihitung kembali, saya boleh dikatakan sebagai anak jati Terengganu kerana selama 30 tahun bernafas, saya tidak pernah berhijrah keluar dari Terengganu. Sesekali ada juga melawat negeri orang, itu pun sekadar berkunjung melawat saudara mara dan kawan-kawan serta makan angin.

Walaupun setiap pekerjaan yang pernah saya lakukan mempunyai skop bidang yang berbeza daripada bidang pengajian saya dahulu, namun saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Ternyata, Allah sebaik-baik perancang. Jika difikirkan semula, saya banyak menimba ilmu dan pengalaman tentang pengurusan perniagaan selama ini yang boleh saya gunakan sekarang. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

Saya mendirikan rumahtangga pada tahun 2013 dengan seorang guru maahad tahfiz. Walaupun tempoh perkenalan yang singkat, hanya beberapa bulan, kami disatukan. Semuanya ketentuan Tuhan, jodoh datang tanpa diduga. Selepas beberapa bulan melayari bahtera rumahtangga, saya disahkan hamil. Setelah beristikharah dan berbincang dengan suami, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya tekad untuk memegang jawatan surirumah sepenuh masa apabila memikirkan tentang kualiti masa bersama suami dan anak. Tambahan pula status jawatan pekerjaan sedia ada hanyalah kontrak singkat.

Walaupun hati berat untuk meninggalkan pejabat, kawan-kawan sekerja yang sangat baik, namun saya tekad demi keluarga. Kini saya sudah menjadi Work At Home Mom (WAHM) dan  baru memulakan perniagaan pakaian kanak-kanak secara online. Jemput la berkunjung ke fanpage saya https://m.facebook.com/ummiadawiyahkidswear.

Alhamdulillah, saya bersyukur Allah izinkan saya menjaga anak sepenuh masa. Saya rasa bertuah kerana dapat melihat setiap perkembangannya dengan mata sendiri. Malah anak membesar di bawah didikan umminya. Walaupun sesekali perasaan rindu pada suasana kerja dan kawan-kawan sekerja itu datang menjelma.

Sebenarnya keinginan saya untuk berniaga telah lama terpendam di hati. Namun, baru kini hajat tersebut dapat dikotakan. Itu pun selepas saya melahirkan anak, saya sedar saya perlu lakukan sesuatu pekerjaan sampingan bagi membantu suami. Tambahan pula kos sara hidup sekarang yang makin meningkat.

Pada asalnya, saya tidak tahu perniagaan apa yang patut saya lakukan. Pelbagai bidang bisnes berlegar di dalam minda saya. Sehinggalah saya melihat status seorang rakan facebook yang menjual pakaian kanak-kanak terpakai (bundle). Terdetik di hati apalah salahnya mencuba bisnes pakaian bundle kanak-kanak. Kos modalnya pun tidaklah terlalu besar. Justeru, saya mula mencari pembekal pakaian bundle kanak-kanak. Setelah terlibat dengan perniagaan ini beberapa ketika, barulah saya sedar yang sebenarnya banyak cabang bisnes yang boleh saya ceburi yang berkaitan dengan produk kanak-kanak. Begitulah kisahnya saya dan perniagaan buat masa ini. Banyak lagi ilmu perniagaan yang perlu saya timba.

Saya bertemu dengan kelas ABDR ini pun secara tidak sengaja. Detik mulanya adalah semasa saya membuat carian google mengenai tips penyusuan semasa pantang. Saya terbaca satu blog yang mana penulisnya ada menyebut mengenai WAHM. Saya rasa berminat ingin mengetahui lebih lanjut mengenai WAHM. Bermula dari situ saya mula menyelidik dan menjejak maklumat mengenai WAHM sehinggalah saya menjumpai fanpages WAHM dan like fanpages tersebut. Melalui fanpagesWAHM, saya mula mengenali dan mengikuti perkembangan insan-insan hebat termasuk Puan Masayu Ahmad dan Puan Anys Idayu Zakaria. Dan kemudian saya sedar akan kewujudan kelas ABDR. Pada awalnya saya masih ragu-ragu untuk menyertai kelas ABDR ini. Namun, apabila memikirkan yang saya perlu lakukan sesuatu untuk meningkatkan kaedah promosi produk saya, saya nekad menyertai kelas ABDR ini. Dengan penerangan daripada cikgu Anys Idayu Zakaria medorong saya mengorak langkah pertama ini.

Dengan memasuki kelas ABDR ini, saya berharap matlamat saya melalui penulisan blog ini dapat dimanfaatkan oleh pembaca di samping matlamat asal untuk mempromosikan perniagaan saya. Sekian dahulu coretan pertama saya. Insya Allah entri selanjutnya akan menyusul nanti.
Wassalam.
Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com