2016 - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: 2016
Kejayaan Misi Diet

Kejayaan Misi Diet

#entri 66

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum. Selamat pagi semua. Alhamdulillah masih diberi kesempatan hidup di pagi nan indah ini. Syukur Alhamdulillah.

Pejam celik, pejam celik sudah dekat sebulan Kak Imah tak kemaskini blog ni rupanya. Sekejap benar masa berlalu. Dah masuk sebulan lepas Kak Imah join group diet tu tapi masih tak berkesempatan kongsi lagi kan.

Ni nak cerita la sikit, lepas 2 minggu join group diet tu, pada 26 Oktober lepas tibalah hari penimbangan. Jurulatih cakap sebaik-baik waktu untuk timbang adalah pada waktu pagi selepas bangun tidur.

Untuk sesi penimbangan hari itu, punya la semangat, sehari sebelum itu Kak Imah beli la satu alat penimbang kat kedai Mr D.I.Y kat sini. Bangun je tidur pagi tu, lepas solat Subuh, segera Kak Imah ambil alat tu dan timbang.

Sukanya hati bila tengok ada penurunan berat Kak Imah sebanyak 3.7 kg. Alhamdulillah, banyak juga tu.
Jadi, hari seterusnya jurulatih minta kami reward diri kami. Boleh makan apa sahaja, sebab dah berjaya tempuhi misi diet selama 2 minggu. Diet untuk kurus dan sihat. Diet senaman dan jaga pemakanan, tanpa sebarang suplemen.

Okey la, nanti ada masa Kak Imah kongsi sedikit demi sedikit tips diet tu ya.
Sampai di sini dulu ya, nanti sambung lagi. Bye.
Misi Dietku

Misi Dietku

#entri 65

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Semalam sedang asyik berfacebook, Kak Imah ada terbaca satu post tentang misi diet seorang rakan facebook. Kak Imah baca perkongsian beliau. Rupanya beliau merupakan seorang yang sudah banyak kehilangan berat badan hasil daripada rutin dietnya, dan sekarang masih dalam proses penurunan 5kg berat badannya. Bukan itu sahaja, beliau juga ada membuka tawaran kelas diet melalui aplikasi whatsapp. Jadi, boleh sangat la kalau nak berdiet.

Kebetulan Kak Imah memang sedang dalam mood diet. Berat badan naik mendadak semasa mengandung, dan lepas bersalin tidak turun-turun juga. Cuma Kak Imah tidak tahu cara yang betul. 

Jadi, apa lagi, Kak Imah pun join la. Hari ni Kak Imah dah daftar dah dalam group whatsapp diet itu. Group Diet Mokcikss namanya. Kelasnya akan bermula 13.10.2016. Buat masa sekarang ni, kumpul-kumpul tips pemakanan saja dahulu.

Setakat sampai saat ni, dah banyak info-info berkaitan gaya pemakanan diet yang Kak Imah dapat. InsyaAllah nanti jikan berkesempatan, Kak Imah kongsikan serba sedikit ya.

Semoga niat dan usaha Siti hendak diet untuk sihat dan kurus ini berhasil. Semoga urusan Kak Imah dipermudahkan-Nya. Amiinn.
Salam 10 Muharam 1438H

Salam 10 Muharam 1438H

#entri 64

Teks: Perkongsian laman Facebook

Hari ini 11 Oktober 2016 bersamaan 10 muharram 1438  H merupakan Hari Asyura iaitu hari ke-10 pada bulan Muharram 1438 H

Antara 15 perkara-perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura ini adalah seperti berikut : –

1. Melapangkan masa dan berbelanja untuk anak & isteri.

2. Memuliakan fakir miskin.

3. Menahan marah.

4. Menunjukkan orang sesat.

5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim.

6. Bersedekah.

7. Memelihara kehormatan diri.

8. Mandi Sunat.
Lafaz niat: “Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala”.

9. Bercelak.

10. Membaca surah Al Ikhlas (Qulhuwallah) hingga akhir 1,000X.

11. Sembahyang sunat empat rakaat.
Fadilatnya – Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
Lafaz niat: “Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala”. Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.

12. Membaca “حسبي الله ونعم الوكيل نعم المولى ونعم النصير ... ٧٠  كالي

13. Menjamu orang berbuka puasa.
Fadilat – Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

14. Puasa Sunat.
Lafaz niat – “Sahaja aku berpuasa sunat hari Asyura esok hari  kerana Allah Taala”.

15- Menziarahi orang sakit dan menziarahi alim ulama'

Wallahu'alamubissawab.

#copypaste #DelaAhmad
#UmmmiAdawiyahKidsShoppe
#PemanisStevia
#0129636285

Hari Sukan Negara

Hari Sukan Negara

#entri 63

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Hari ni hari sukan negara ya? Siti ingatkan hari sukan sekolah saja. He,he,he.

Pagi tadi Siti bersama suami dan anak keluar bersarapan di kedai makan dalam bandar Kuala Terengganu. Dalam perjalanan Siti perasan banyak kenderaan di setiap sekolah. Kalau diikutkan hari ini cuti hari minggu. Kakak ipar dan adik ipar Siti ada beritahu bahawa hari ini Hari Sukan. Siti ingatkan Hari Sukan Sekolah sahaja. Rupanya ia Hari Sukan Negara.

Patutlah sini sana ada saja orang bersukan. Di setiap sekolah penuh padang dengan aktiviti sukan pelajar-pelajar. Apabila melalui depan balai polis pun rasa pelik, anggota-anggota polis sedang bersukan di padang. Apabila kami melaui pantai Batu Burok semasa dalam perjalanan pulang, jalan di hadapan dataran ditutup kerana ada aktiviti sukan. Melepasi jalan ke Kuala Ibai pun polis trafik jaga jalan kerana ada larian.

Siti ingatkan kawasan bandar saja yang ada aktiviti bersukan. Rupanya di kawasan kampung pun tidak kurang juga. Kami melalui jalan kampung di Kampung Sungai Derhaka (kampung sebelah) pun belia-belia dan orang kampung sedang bermain bola di padang. Mungkin di peringkat JKKK. Meriah betul suasana perjalanan pagi ini. Kita yang hanya melihat suasananya pun turut sama rasa sihat.

Rupanya Siti ini sudah ketinggalan dalam info semasa. Almaklumlah, sudah lama tidak menonton siaran berita di televisyen. Bermedia sosial pun sekadar mengemaskini status dan berbisnes sahaja.

Tengah hari tadi kami ke Pasaraya Nirwana untuk membeli barangan keperluan. Semasa mencari barang, suami bertanya tentang tali 'skipping'. Sudah lama Siti berniat hendak membelinya tapi selalu lupa. Alang-alang suami dah bertanya dan kebetulan hari ini Hari Sukan Negara, apa kata belikan sajalah. Jika ada masa bolehlah lompat-lompat tali skipping tu dalam rumah. Nak main di luar rumah, rasanya jauh sekali. Malu pula, melompat-lompat dengan badan yang 'sado' ni. He, he, he. Tapi masalahnya bilalah boleh dimulakan lompatan tali 'skipping' itu. Badan terasa berat untuk melompat. Agak lama sudah tidak bersenam.

Apa-apa pun, Siti nak ucapkan Selamat Hari Sukan untuk semua..

Majulah Sukan Untuk Sihat..😁😁😂

Sambutan Hari Lahir Adawiyah

Sambutan Hari Lahir Adawiyah

#entri 62

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Selamat hari lahir Nur Rabi'atul Adawiyah bt Mohd Azizan. Lepas seminggu baru dapat sambut. Pertama kali Adawiyah sambut hari lahir. Bukan senang nak ambil gambar dia pegang pisau potong kek. Nasib baik sepupunya, Thaqeef Al Isymal (abang lom) dan Thaniya Nur Iman (kak niya) ada datang. Jadi, kita ajak abang lom dan kak niya potong kek sama-sama.

Suka betul Adawiyah tengok kek ada gambar dia bersama kartun Didi & Friends. Terima kasih kepada sahabat, Kak Wan Hamidah untuk gambar (edible image) yang sangat cantik tu. Kalau ada siapa-siapa nak tempah kek dengan gambar-gambar lawa-lawa, boleh tempah dengan kak wan ni tau. Kalau nak buat 'topper' untuk kek pun boleh.

Kek yang gebu pula dari kak Linda (facebook: Just PieTart). Terima kasih kak Linda buatkan kek yang cantik-cantik untuk Adawiyah walaupun tengah sibuk dengan kelas kek. Kak Linda ni juga deorang guru masakan roti dan kek tau. Jadi, siapa-siapa yang tinggal di Terengganu, nak belajar buat kek, boleh hubungi Kak Linda ni. Siapa yang nak tempah kek, boleh pergi je ke kedai dia kat Pasar Batu 6, Kuala Nerus (Kedai kek Al-Baroqah kalau tak silap saya).

Terima kasih juga utk cik bin dan acik lia yang belikan kek Doraemon comel untuk Adawiyah.

Terima kasih juga  abang lom dan kak niya serta ibu abahnya yang bagi hadiah comel dan bermanfaat kepada Adawiyah. 😘😘😃

Dan yang paling penting, terima kasih kepada tok (nenek Adawiyah) yang bersusah payah sediakan makanan, bihun goreng hari ini.

Terima kasih semua.

Adawiyah sudah besar. Alhamdulillah..

Selamat Hari Ulangtahun Puteriku

Selamat Hari Ulangtahun Puteriku

#entri 61

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum.

Salam 28 September. Alhamdulillah, anakanda Nur Rabi'atul Adawiyah binti Mohd Azizan sudah masuk 2 tahun. Rasanya sekejap sahaja masa berlalu. Sudah besar rupanya puteri ummi abi ni.

Masih teringat-ingat lagi genap tarikh ini 2 tahun yang lepas, detik 01.24 pagi, ummi berhempas pulas melahirkanmu wahai puteriku. Ditemani abi yang setia menenangkan dan memberi kata-kata semangat kepada ummi yang kepenatan, walaupun abi sebenarnya sedang menahan airmata melihat kesakitan ummi. Terima kasih suamiku.

Keperitan yang tidak dapar digambarkan dengan kata-kata. Setelah merasai sendiri pengalaman melahirkan anak, barulah daku sedar, betapa besar pengorbanan seorang ibu dalam melahirkan seorang anak. Sungguh mulia dirimu wahai ibu. Terima kasih emak.

Buat anakku, Nur Rabi'atul Adawiyah, ummi doakan Adawiyah tumbuh membesar dengan sihat dan menjadi anak yang solehah serta berjaya dunia akhirat. Amiinn. Ummi sentiasa doakan yang baik-baik untuk Adawiyah.

Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke-2 tahun anakku.

#birthdaygirl
#2yo
#nurrabi'atuladawiyah

Alhamdulillah, terima kasih

Alhamdulillah, terima kasih

#entri 60

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana masih memberi kesempatan untuk diri ini bernafas di dunia ini. Hari ini 19 September 2016, usia Siti menjejak 31 tahun (Masihi). Kalau dihitung tahun Hijriah, tambah lagi lebih kurang 2 tahun, jadinya 33 tahun (Hijriah) usia Siti. Alahai, dah masuk '3 series' dah orang kata. Sudah patut sedar yang diri ini sudah makin berumur. Hu,hu,hu.

Namun, Siti bersyukur Allah masih memberi nikmat kesihatan yang baik dan nikmat yang paling berharga iaitu nikmat nyawa dan nafas. Kalaulah sekaya mana pun kira, tapi kesihatan terjejas, tidak ke mana juga.

Alhamdulillah, Siti ucapkan terima kasih tak terhingga kepada kedua ibu bapa yang banyak berkorban mengandung, melahirkan, mendidik, menjaga dan membesarkan  Siti sehingga sekarang. Tanpa mereka, siapalah Siti.

Terima kasih juga kepada semua saudara, jiran, rakan taulan di alam realiti mahupun alam maya yang masih mengingati dan memberi ucapan serta doa pada tarikh keramat ulangtahun kelahiran Siti ini.

Bila usia sudah makin berumur ini, rasa hati sudah tidak begitu teruja mahu menyambut ulangtahun hari lahir. Tidak seperti semasa zaman bujang dahulu. Namun, Siti sangat-sangat menghargai setiap ucapan dan ingatan semua kenalan samada ucapan di media sosial facebook, whatsapp, mahupu secara bersemuka. Terima kasih semua.

Oh ya, tidak pernah sesekali dilupakan ucapan terima kasih sayang dihulurkan kepada sang suami yang sanggup menerima diri ini sebagai teman hidup, walaupun diri ini banyak kekurangan. Terima kasih juga atas sambutan hari lahir yang ringkas tapi bermakna (ada sikit rasa berbunga-bunga dalam hati). Senyum.

Terima kasih semua.

Salam Eidul Adha

Salam Eidul Adha

#entri 59

ASSALAMUALAIKUM🕌

Selamat datang 10 Zulhijjah...

Ketulusan hati sering terlukai dengan keegoan. Keikhlasan penghambaan sering terguris dengan keangkuhan.

Marilah berqurban sebagai ikhtiar dan ikhlas sebagai tawakal. Belajarlah dari Ibrahim yang rela mengorbankan anaknya, dan jadilah seperti Ismail yang ikhlas menerima kehendak Allah. Pengorbanan dan keikhlasan adalah inti dari Idul Adha.

Orang yang lemah tidak mampu memaafkan, karena memaafkan hanyalah milik orang orang yang kuat.

Mohon maaf zahir dan batin.

Selamat Hari Raya Idul Adha

#salamiduladha
#qurbansatuibadah
#hayatiertipengorbanan
#qurbanharta #qurbanmasa #qurbanjiwa #qurbanapasaja
#ummiadawiyahkidsshoppe

Selesai sudah

Selesai sudah

# Entri 58

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Alhamdulillah, selesai sudah Majlis Penyampaian Sijil Kursus Jahitan Baju Melayu dan Seluar Slek anjuran bersama Pejabat Pembangunan Wanita Terengganu dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI).

Minggu lepas, Kak Siti telah menyertai kursus ini selama 2 hari. Jika diikutkan, sepatutnya Kak Siti perlu menyertai kursus ini selama 3 hari. Tetapi disebabkan sedikit kesilapan maklumat tarikh kursus, Kak Siti terlewat sehari tarikh kursus tersebut. Kak Siti dan beberapa orang lagi peserta telah ketinggalan sehari dalam slot pertama kursus.

Namun setelah bertungkus lumus, Alhamdulillah Kak Siti berjaya juga menyiapkan sepasang baju melayu.

Hari ini semua hasil jahitan peserta dikumpulkan dan dipersembahkan di majlis penyampaian sijil bagi kursus tersebut.

Terima kasih kepada semua tenaga pengajar dan kawan-kawan peserta kursus yang telah memberi tunjuk ajar bagi menyiapkan sepasang baju melayu.

Orang kata kalau ilmu yang diperoleh tapi tidak diamalkan dan dikongsi,  lambat laun ilmu tersebut akan luput dari ingatan. Justeru, perancangan Kak Siti selepas ini Kak Siti akan gunakan ilmu jahitan baju melayu tersebut untuk Kak Siti jahit baju melayu kanak-kanak. Walaupun ilmu yang dipelajari adalah berkaitan baju melayu dewasa, tapi apa salahnya kalau kita guna untuk jahit baju melayu kanak-kanak kan. Kadang-kadang ada juga pelanggan yang bertanya mengenai baju melayu kanak-kanak.

Oh ya, semasa di majlis penyampaian sijil itu tadi sempat juga kak Siti bergambar kenangan bersama bekas Pengetua Kanan sekolah Kak Siti dahulu. Rupanya beliau merupakan Pengerusi LKPI Terengganu. Beliau masih lagi aktif berpesatuan walaupun sudah lama pencen daripada bidang pendidikan.

Lama betul tidak bertemu muka dengan beliau. Sungguh gembira rasanya dapat berjumpa bekas pengetua kesayangan kak Siti ini. Beliau juga merupakan salah seorang idola kak Siti. Pengetua yang sangat berdedikasi dan proaktif. Semasa beliau menjadi Pengetua dahulu, banyak pingat dan anugerah yang dirangkul oleh sekolah dan juga pelajar dalam pertandingan-pertandingan. Antaranya Sekolah Cemerlang, Sekolah Ceria, Anugerah Sekolah Berkualiti, Pasukan Hoki Terbaik dan sebagainya. Alhamdulillah kak Siti sangat berbangga mempunyai pengetua seperti beliau. Semoga beliau sentiasa sukses dalam kehidupannya, dunia akhirat. Aminn.

Salam kemerdekaan

Salam kemerdekaan

#entri 57

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum. Selamat pagi dunia. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke- 59. Semoga Malaysia aman sentosa selalu, jauh dari kemungkaran.  Malaysia Negaraku.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sebut tentang hari kemerdekaan, teringat kembali sewaktu zaman persekolahan dahulu. Kak Imah pernah menyertai perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan. Berpanas di bawah sinaran mentari semasa latihan kawad kaki.

Jurulatih pula anggota askar wataniah dari Kem Rejimen bersebelahan sekolah Kak Imah. Punyalah tegas orangnya, masih terngiang-ngiang lagi suara garaunya melatih kami.

Kak Imah masih teringat bagaimana beliau meminta kami menguatkan suara kami semasa kawad kaki. Beliau meminta kami kuatkan suara mengatasi suara kawad kaki dari pasukan askar di sebelah pagar kem. Kami tidak dibenarkan berhenti selagi tidak menepati apa yang dikehendaki.  Hentakan kaki mestilah sama, tidak mahu ada bunyi seperti 'tahi lembu jatuh' katanya. Tegas betul beliau.

Dan hasilnya, semasa tiba Hari Kebangsaan 31 Ogos 2003, kami menyertai perbarisan dengan kawad kaki yang sekata. Bangga apabila kami berjaya menghabiskan perbarisan dengan begitu baik. Walaupun tempoh latihan perbarisan yang singkat, namun kami dapat mempersembahkan kawad kaki yang baik.

Alhamdulillah. Terima kasih tuan anggota askar tersebut (Kak Imah sudah lupa namanya). Baru-baru ini Kak Imah ternampak seseorang mirip beliau, di tengah-tengah persimpangan 'traficc light'. Beliau sedang mengawal lalulintas, dengan berpakaian polis trafik. Kak Imah agak mungkin beliau adalah anggota yang sama. Mungkin beliau sudah pencen sebagai anggota wataniah dan berkhidmat sebagai anggota trafik pula.

Terima kasih tuan kerana telah memberi Kak Imah satu pengalaman berharga. Kak Imah pernah hampir menangis semasa latihan tersebut, kerana tidak tahan ditengking dan dimarah. Tetapi tetap bertahan. Dan hasilnya, memori yang pahit sewaktu itu kini telah menjadi kenangan yang manis.

Terima kasih.

Selamat Hari Kemerdekaan yang Ke-59.

#sehatisejiwa
#ayatpatriotiksikithariini
#Merdekanegaramerdekarakyat
Dari DIA Kita Datang, Kepada Dia Kita Kembali

Dari DIA Kita Datang, Kepada Dia Kita Kembali

#entri 56

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Sesungguhnya diri kita ini milik Allah. Jasad dan nyawa kita di dunia ini hanya pinjaman sementara sahaja.

Malam tadi kira-kira jam 11 malam ketika Kak Siti sedang lena diulit tidur, encik suami kejutkan dan beritahu perkhabaran kematian seorang jiran di kampung. Arwah merupakan sahabat baik tokma (mak mertua) yang Kak Siti kenali dengan nama Mok Yah.

Innalillahi wa innailaihirojiun. Serta merta cerah biji mata Kak Siti, terkejut dengan perkhabaran itu. Manakan tidak, baru minggu lepas Kak Siti bertemu arwah semasa tokma mengadakan majlis kesyukuran. Kak Siti sempat juga berbual dan bergurau dengan Mok Yah. Ketika itu arwah kelihatan agak kurang sihat. Mungkin itu salah satu tanda beliau akan pergi meninggalkan dunia.

Mok Yah merupakan sahabat tokma pertama yang Kak Siti kenali, sebelum Kak Siti mendirikan rumahtangga lagi. Kak Siti mengenali beliau ketika sama-sama dalam satu rombongan lawatan ke Melaka 4 tahun yang lepas.

Tidak disangka, beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Jumaat yang penuh barokah. Semoga rohnya dicucuri rahmat, dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Aminn.

Kelahiran itu sesuatu yang tidak diduga tarikhnya. Kematian itu pula tidak dapat ditunda tarikhnya. Ianya akan menjemput kita tepat pada masanya. Tidak awal atau lewat walau sesaat. Sama-samalah kita beringat dan saling berbuat kebaikan sebagai bekalan kita di sana nanti.

Selamat Pagi Selasa

Selamat Pagi Selasa

#Entri 55

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Mulakan hari dengan senyuman. Senyum itu sedekah.

Dari Abdullah bin Harith,

"Aku tidak pernah menemui seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW".

(Hadis riwayat At-Tarmizi)

SELAMAT PAGI.

#selamatpagiselasa
#senyumselalu
#senyumlahwalaupahit
#21formulahidupluarbiasa
#ummiadawiyahkidsshoppe

Jom Solat Dhuha

Jom Solat Dhuha

#Entri 53

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum. Alhamdulillah masih diberi peluang bernafas di muka bumi Allah ini. Terima kasih ya Allah.

Anda dah solat dhuha ke belum pagi ini?

Kalau belum, cepat-cepat solat dhuha dulu, kejap saja. Tak lama pun, tak sampai pun 10 minit. Masih sempat lagi ini. Lepas tu, boleh sambung balik kerja yang tengah diusahakan itu.

Rugi tau tak solat dhuha. Allah dah bagi peluang untuk kita bernafas. Sepatutnya kita sujud bersyukur. Insya Allah nanti Allah beri lagi ganjaran, rezeki yang melimpah ruah.

Jom berdhuha dulu. Kemudian jom kita jemput rezeki masing-masing.

Salam Jumaat

Salam Jumaat

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto:

Assalamualaikum. Salam Jumaat, penghulu segala hari. Semoga di hari Jumaat penuh barokah ini kita dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan harian serta diberi keberkatan.

Aminn Ya Rabbal Alamin.

Pelajari Ilmu Bisnes sebelum Berhenti Kerja

Pelajari Ilmu Bisnes sebelum Berhenti Kerja

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto:

Hari ini kak Siti berbisnes 'offline' di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Kak Siti menjual pakaian kanak-kanak. Kalau secara 'online', kak Siti jual melalui medium media sosial facebook dan instagram. Anda boleh lawati facebook dan instagram kak Siti ya, kat sini https://m.facebook.com/ummiadawiyahkidsshoppe/ dan ummiadawiyah_kidsshope (instagram).

Okey, bukan itu topiknya ya. Itu sekadar selingan. He, he, he.

Tengah berniaga tadi, datang seorang kakak promoter bank, untuk edar risalah dan promosikan perkhidmatan bank tersebut. Sambil-sambil berbual, kakak itu (lupa pula hendak menanyakan namanya) meneliti pakaian kanak-kanak yang kak Siti jual.

Kemudian, kakak itu mula bertanya topik yang lari sikit dari tujuan asalnya iaitu promosi barang. Kakak tersebut bertanya tentang sumber dari mana pakaian yang kak Siti jual. Katanya dia rasa berminat untuk berniaga. Sudah bosan bekerja makan gaji katanya.

Anak-anaknya pun sudah makin membesar. Suami sudah meninggal. Jadi, anak-anak sedikit terabai akibat daripada kurang masa bersama anak-anak. Kakak itu bertanya pendapat kak Siti tentang hasratnya berhenti kerja dan mula berniaga. Sekurang-kurangnya dengan berniaga, dapat menambah masa bersama anak-anak. Tapi kakak itu zero ilmu tentang bisnes.

Kak Siti yang sebelum ini pernah bekerja makan gaji, kemudian berhenti kerja dan menceburi bidang perniagaan ini pun rasa terpanggil untuk memberi sedikit kata nasihat dan perangsang kepada kakak itu.

Rancak juga kami berbual. Bertanya dan bercerita itu ini. Secara ringkasnya, kak Siti berpesan kepada kakak itu supaya fikir betul-betul niat dan pelajari dulu cara berniaga yang betul sebelum berhenti kerja.

Untuk lebih mudah faham, cuba dahulu berniaga barangan dalam kuantiti yang kecil. Berjual beli dahulu dengan saudara mara dan jiran tetangga atau berurusniaga secara 'online' untuk mendapatkan permulaan pengalaman berniaga.

Jika tidak yakin untuk berniaga dengan barangan sendiri, cuba untuk berniaga barangan orang lain dahulu seperti menjadi agen dropship atau affiliate. Ini adalah salah satu cara jana pendapatan secara mudah tanpa perlu mengeluarkan modal besar dan menyimpan stok barangan. Di samping boleh mempelajari selok belok dunia bisnes.

Kak Siti juga berpesan kepada kakak itu supaya tidak tergesa-gesa untuk berhenti kerja semata-mata untuk menceburi bidang perniagaan. Lakukan bisnes secara sambilan di samping pekerjaan hakiki di bank tersebut. Bisnes boleh dilakukan ketika waktu rehat dan selepas habis waktu bekerja.

Teh O manis tanpa gula

Teh O manis tanpa gula

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum. Selamat pagi. Sudah sarapan belum? Apa menu anda pagi ini? Pagi ini kak Siti bersarapan dengan bihun goreng dan teh o panas sahaja.

Bihun goreng biasa-biasa saja. Tapi nak cerita sikit apa yang special sikit tentang teh o panas kak Siti ini. Hendak tahu tak,  teh O ini tidak guna gula tau tapi tetap manis. Rasanya tak ubah seperti ada gula malah lebih 'sweet' gitu. Hendak tahu apa rahsianya?

Ni haa, kak Siti guna pemanis stevia. Titiskan beberapa titik pemanis stevia ini kat dalam gelas teh o, kacau-kacau sikit sudah boleh minum dan nikmati keenakannya.

"Bahaya tak pemanis stevia ini?"

Jangan risau, pemanis stevia ini daripada ekstrak daun stevia. Daun stevia itu sendiri sudah manis tau. Jadi, ia tanpa gula dan tiada kolesterol tau. Kalau minum, tak perlu risau tentang kenaikan kandungan gula dan kolesterol dalam badan.

Kalau anda yang ada penyakit kencing manis tapi teringin nak minum teh o atau minuman lain yang manis-manis, boleh gunakan pemanis stevia tanpa was-was.

Hendak cuba pemanis stevia ini, boleh hubungi talian 011-25449849 atau 012-9636285 ya.

Cuba dulu baru tahu. Tak cuba tak tahu, betul tak?

Ogos tiba lagi

Ogos tiba lagi

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Pejam celik pejam celik sudah masuk bulan Ogos. Kita sudah pun berada di penghujung Syawal rupanya. Sekejap saja masa berlalu. Lama betul tak bersiaran di blog ini. Sudah bersarang sawang agaknya.

Jika entri-entri yang lepas, saya bahasakan kata diri 'saya', bila sudah lama tak ber'blog' ni, hendak menulis balik, terasa janggal pulak nak bahasakan 'saya'. Apa kata kalau kata ganti diri 'saya' tu ditukar ke 'kak Imah'? Okey tak? Rasa lebih mesra kan.

Memandangkan bulan Julai adalah bulan honeymoon, masing-masing masih lagi dalam mood raya, belum ada mood shopping, jadi kak Imah kurangkan sikit aktiviti bisnes dan boleh la rehat-rehat sikit.
Apabila sudah masuk bulan Ogos ni, banyak juga perancangannya.

Tambahan pula mood raya pun dah hujung-hujung. Sudah boleh panaskan 'enjin' untuk pecut berbisnes online dan offline.

Semalam aktiviti bisnes di hari pertama bulan Ogos adalah berjualan di satu program bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu (PPWNT) yakni pejabat lama kak Imah.

Sudah lama tidak ber'program', sesekali join rasa seronok pula. Walaupun bidang lain-lain. Jika dahulu, kak Imah jadi emcee program, sekarang kak Imah jadi usahawan pula. Bila melihat kawan-kawan lama sibuk menguruskan aktiviti program, teringat saat-saat suka duka semasa bersama mereka dahulu.

Sambil-sambil berjualan, sempat juga Timbalan Pengarah, Puan Rafiah Sulaiman berbisik mengajak kak Imah kembali semula bekerja di pejabat. Kak Imah tolak secara baik kerana hati ini sudah suka dengan kerjaya sekarang iaitu bisnes walaupun masih bertatih. Jerih perit dalam bisnes adalah adat.

Sambil berjualan, sempat juga kak Imah buat pemeriksaan kesihatan di booth LPPKN. Kak Imah buat pemeriksaan tekanan darah, ujian kencing manis dan kadar kolesterol dalam badan. Alhamdulillah, keputusannya bibir boleh terukir senyum. Semua masih terkawal. Cumanya BMI badan sahaja terlebih berat.

Perlu kawal diet pemakanan. Kebetulan sebelum itu kak Imah memang sudah berazam mahu berdiet bermula Ogos ini. Semoga Allah beri kekuatan untuk terus istiqamah dan dapatkan kurangkan beberapa kg dalam sebulan. Aminn. 

Okey, cukup dulu setakat ini. Nanti ada kesempatan kita bercerita lagi tentang perkembangan diet kak Imah ni ya.
Salam 4 Ramadhan

Salam 4 Ramadhan

Assalamualaikum. Alhamdulillah dah masuk hari ke 4 kita berpuasa. Didoakan agar puasa kita diterima dan setiap amalan kita diberkati-Nya. Aminn.. Salam sahur dan salam subuh..

Sebelum subuh, jom solat sunat fajar dulu.. Solat sunat yg jarang sgt org buat tapi banyak fadilatnya.

#salamsahur
#islamisfirstclass
#Ramadhanbulankegembiraan
#subuhwarrior

Salam 1 Ramadhan

Salam 1 Ramadhan

Assalamualaikum. Salam 1 Ramadhan.

Alhamdulillah masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan berada dalam bulan Ramadhan Kareem.. Tahniah untuk kita semua. Semoga segala amal ibadah kita dalam bulan Ramadhan ini diterima sebagai amalan yg baik dan diberkati.

Dah masuk 1 Ramadhan ni, saya dengan rendah hati nak mohon maaf zahir dan batin kepada semua sahabat-sahabat maya jika ada yang terguris jiwa, tersakit hati, tersalah bicara.  Mohon diampuni.

Biar permulaan 1 Ramadhan ini dimulai dengan amalan positif tanpa prejudis.

Perbanyakkan amalan mulia terutama sedekah di bulan Ramadhan Kareem ini. Semoga setiap amalan kita dihitung sebagai amalan mulia. Amiinn.

Selamat berpuasa. Puasa makan, puasa mata, puasa mulut, puasa telinga dan jangan lupa yang paling penting puasa hati.

Selamat pagi..

#islamisfirstclass
#ramadhankareem
#selamatberpuasa
#BazarRamadhanKedaiBuluh
#jumpadisana

Bazar Ramadhan

Bazar Ramadhan

Alhamdulillah selesai sudah urusan penetapan tapak jualan Bazar Ramadhan.
Untuk sepanjang Ramadhan tahun ini, buat pertama kalinya UmmiAdawiyah Kids Shoppe akan beroperasi di Bazar Ramadhan iaitu di Bazar Ramadhan Kg Kedai Buluh, Kuala Terengganu. Semoga Allah permudahkan urusan jual beli serta murahkan rezeki kami.
Amin.
Bazar Ramadhan

Bazar Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim..

Tak sampai 2 jam je lagi nak masuk bulan Ramadhan.. Bersediakah kita??? Bersediakah kita utk menerima tetamu agung..?? Semoga Allah panjangkan  umur kita supaya dapat bertemu Ramadhan sehingga ke akhirnya. Amiinn..

Welcome Ramadhan.. Kami mengalu-alukan kedatanganmu

Selamat pagi

Selamat pagi

Assalamualaikum. Selamat pagi semua sahabat maya. Alhamdulillah Allah masih memberi kesempatan mencelikkan mata di pagi ini.

Meskipun betapa banyak dosa yang dilakukan, berkali-kali diulang. Tanpa sedar mahupun dalam kesedaran. Namun Allah tetap Maha Penyayang. Masih memberi kesempatan untuk kita bernafas. Masih cukup anggota badan setiap hari. Justeru, bagaimana selayaknya kita sebagai hamba yang hina mensyukuri nikmat pemberianNya?

Marilah kita mulakan dengan solat dhuha di awal pagi ini. Mulakan pagi dengan bersyukur atas segala nikmat Allah beri.  Dah ucap terima kasih, barulah minta lagi dimurahkan rezeki. Betul ke betul?

Ini tidak. Asyik minta, minta dimurahkan rezeki tapi yang dah ada, tak pula disyukuri.

Jom bersyukur..

ALHAMDULILLAH..

Sejuk perut ummi

Sejuk perut ummi

Alkisahnya, petang semalam, kami dalam perjalanan ke rumah emak menaiki kereta. Sambil-sambil berbual, kami memasang siaran radio ikim.fm. Saya memangku Adawiyah yang sedang menyusu badan manakala suami memandu kereta.

Sedang asyik berbual, tiba-tiba Adawiyah yang sedang menyusu mengangkat sebelah tangan (sebelah tangan lagi diselit di belakang badan saya ketika menyusu) seolah-olah sedang berdoa. Rupanya dalam siaran radio tersebut ustaz sedang membaca doa penutup slot rancangan. Saya tergamam, terkesima dengan reaksi spontan Adawiyah. Saya segera turut menadah tangan  mengaminkan doa sambil siku tangan menyiku lengan suami.

Suami yang baru perasan, secara automatik turut menadah sebelah tangan mengaminkan doa juga. Sebelah tangan lagi memegang stereng. Terdiam kami menahan malu (dengan senyum terukir di bibir) apabila melihat reaksi spontan anak solehah kami yang dengan sendirinya menadah doa tanpa disuruh.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. 

Malu kami dibuatnya. Asyik sangat berbual sehingga tidak sedar ustaz sedang membaca doa. Sudah menjadi kebiasaan kami mengajar Adawiyah menadah tangan berdoa tiap kali ingin melakukan sesuatu. Contohnya, doa makan, doa masuk tandas, doa keluar tandas, doa naik kenderaan, memberi salam lalui kawasan perkuburan (rumah kami berhampiran tanah perkuburan) dan sebagainya untuk mendidik tabiatnya. Alhamdulillah, Adawiyah nampaknya sudah semakin biasa.

Sejuk hati ummi bila tengok adik (Adawiyah) sudah faham apa itu doa ketika baru berusia 1 tahun 7 bulan. Ummi dan Abi berharap adik akan terus mendoakan ummi dan abi. In syaa Allah kami akan cuba sebaik yang mungkin dalam mendidikmu sayang. Moga Allah permudahkan urusan kami mendidik anak taat pada perintahNya. Aminn.

Kesian Adawiyah - Kudis Kenan

Kesian Adawiyah - Kudis Kenan

Sudah hampir masuk minggu ke-3 ada kudis kenan kat kepala anakanda Adawiyah. Sejak beberapa hari lepas nampak dah makin surut. Tapi bangun tidur pagi tadi keluar pula benjol-benjol merah bernanah pada kepala. Mungkin cuaca panas sekarang ni merangsang penghasilannya kot. Ibu kenan tu masih ada lagi di belakang kepala, tapi dah makin mengecil. Orang tua-tua cakap, selagi ada ibu kenan tu, selagi itu la kudis kenan akan ada.

Kesian anak ummi. Mesti sakit dan gatal kan. Sebelum ni saya tak pernah tahu tentang kudis kenan ni. Ingatkan kenan akibat daripada terkejut pada sesuatu semasa mengandung dan jadi kenan pada anak. Rupanya ni sekadar nama kudis kenan  tiada kaitan dengan kenan yang satu lagi tu. 

Dulu-dulu emak selalu pesan, jika ada biji kecil kat kulit belakang kepala anak, cepat-cepat gentel dengan air liur yang kat lelangit selepas bangun tidur menggunakan ibu jari. Gentel sampai biji tu hilang.

Sebelum ni saya selalu juga buat, tapi banyak juga terlupa. He,he,he. Akibatnya biji tu makin membesar. Patut la saya perasan sebelum keluar kudis kenan tu, Adawiyah selalu pegang-pegang kat belakang kepala dia. Mungkin dia rasa tidak selesa. Masa itu Adawiyah belum pandai cakap, belum dapat beritahu perasaan dia. Ummi pula tak faham apa yang anakanda rasa. Maafkan ummi ya anakku sayang.

Bila diimbas balik, kudis kenan ini terjadi lebih kurang 3 minggu lepas.  Kebetulan sekarang musim panas Elnino. Badan dan dahi Adawiyah naik ruam peluh. Kemudian tiba-tiba keluar benjol besar kat kepala bahagian depan. Saya ingatkan kesan daripada ruam peluh (orang Terengganu panggil 'cemar peluh'). Tapi bila ditanya dan tunjuk kat ma dan abah (mertua), mereka cakap tu nak jadi kudis kenan. Baunya pun dah mula hanyir.

Keesokan harinya, saya terus ajak emak ke rumah ustaz Haji Ngah untuk mendapatkan rawatan secara perubatan Islam. Rumah ustaz ni bersebelahan rumah emak sahaja. Keluarga kami pun sudah mesra dengan ustaz. Ustaz Haji Ngah ini juga merupakan jurunikah (tok kadi) masa saya kahwin dulu. He,he,he. Beliau juga pengamal perubatan Islam Darussyifa' dan turut mengiring jemaah haji dan umrah ke tanah suci Mekah. Amboi, panjang pula huraian.

Ustaz Haji Ngah membacakan ayat suci Al-Quran dan ditiup ke dalam air, bedak sejuk dan kepala Adawiyah. Beliau meminta untuk rendam bedak sejuk dengan air bacaan ayat tadi (juga dikenali dengan nama air tawar) dan disapu kat kudis kenan Adawiyah pada pagi dan petang. Nasib baik masa itu kudis masih lagi baru. Tidak la rumit untuk disapu kat kepala anakanda. Alhamdulillah, beberapa hari lepas, kudis makin kering dan surut.

Tapi sekarang timbul lagi kudis kenan yang baru. Nampaknya saya perlu lebih kerap menyapu bedak sejuk dan air tawar pada kepala Adawiyah supaya cepat kering dan pulih seperti sedia kala.

Ya Allah, Engkau permudahkanlah dan hilangkanlah kesakitan yang dihadapi oleh anakku. Berikanlah kesembuhan kepadanya Ya Allah.
Jejak kasih sahabat

Jejak kasih sahabat

Alhamdulillah. Setelah sekian lama, dapat juga bertemu sahabat-sahabat zaman belajar dahulu.

Sudah agak lama tidak bertemu. Masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Majlis bacaan yasin di rumah adik anis mempertemukan kami. Walaupun hanya kami bertiga, namun terubat sedikit kerinduan pada kawan-kawan.

Begitu la kehidupan. Apabila sudah berumahtangga, tanggungjawab makin berat. Tahap kesibukan pun makin bertambah.

Rindunya pada kawan-kawan yang lain. Bila lagi dapat ketemu?

Jom perbetulkan niat dhuha

Jom perbetulkan niat dhuha

Alhamdulillah, syukur Allah masih memberi kesempatan untuk bernafas hari ini. Jom kita mulakan awal pagi dengan solat dhuha sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan-Nya.

Baru-baru ini ummi ada menonton kuliah agama di televisyen berkaitan solat dhuha. Baru ummi sedar rupanya selama ini ummi silap dalam menetapkan tujuan solat dhuha. Sebelum ini ummi niat solat dhuha tujuan supaya Allah murahkan rezeki ummi.

Ustaz (lupa pula nama ustaz tu) cakap dhuha ni tujuannya untuk kita bersyukur di atas nikmat Allah berikan kepada kita untuk hari ini.

Nikmat apa?

Jika kita perhatikan sebelah tangan kita ada 5 jari. Dan kita perhatikan lagi pada satu jari kita ada 3 'ruas'. Cuba kita lihat pada 'ruas' paling hujung (dekat kuku). Sepanjang masa lepas kita bangun pagi sehinggalah waktu dhuha, banyak mana dah jasa hujung jari tu pada kita kan. Bayangkan sepanjang hari, lagi banyak kita guna hujung jari tu. Tu baru nikmat hujung jari. Kalau sekujur badan kita ni, banyak mana dah nikmat Allah bagi kat kita kan.

Andai kata kita bangun pagi, satu jari kita kebas, tidak dapat digerakkan. Bayangkan apa yang kita rasa? Banyak mana kerja kita tidak dapat buat?

Allahuakbar. Allah Maha Besar.

Jadi, dengan solat dhuha ini la kita sujud, bersyukur dengan nikmat Allah bagi. Alangkah sombongnya kita, jika tidak solat dhuha. Betapa banyak nikmat Allah bagi tapi kita tidak tunjuk yang kita bersyukur pada-Nya.

Bila kita bersyukur dengan nikmatNya, insyaAllah DIA akan bagi rezeki yang melimpah ruah.

Carilah Redha Allah Dalam Berbisnes

Carilah Redha Allah Dalam Berbisnes

Peringatan untuk kita sebagai usahawan   😊😊

Ingin berBISNES, silakan.

Tapi pastikan gambar yang anda post ialah gambar yang menutup aurat dengan sempurna.
Jika tidak nanti BERAT nak kena tanggung tu.

Ingat,
Walaupun kita sebagai DROPSHIP dan gambar yang disediakan TIDAK menutup aurat dengan sempurna, mintalah gambar yang tutup aurat.

Jika tiada, berurusanlah dengan orang lain yang dapat menyediakan gambar yang elok.
REZEKI Allah yang sediakan.JANGAN TAKUT.

Lebih baik miskinnya kita tapi DALAM PANDANGAN Allah dari kayanya kita tapi DILUPAKAN Allah.

Tapi kebiasaannya orang yang dalam pandangan Allah ni tidak akan pernah miskin.Allah  SENTIASA BANTU :)

Bisnes, bisnes juga,
Redha Allah harus dijaga 😘😘😘

(C&P sheridan@tudungpastel)
.
Credit to Puan Anys Idayu Zakaria

Yeayy 'loyalty card' dah tiba

Yeayy 'loyalty card' dah tiba

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Alhamdulillah syukur kepada Allah. Akhirnya yang ditunggu- tunggu sudah tiba. Posmen datang bagi hon. Barang yang dinanti-nantikan sudah sampai. Tempahan 'loyalty card' UmmiAdawiyah Kids Shoppe sudah sampai jauh dari Kedah.

Cantik sangat kadnya tu. Terima kasih kepada Hafizzy Aziz http://www.fizgraphic.com/search?updated-max=2016-02-28T10:43:00-08:00&max-results=1&reverse-paginate=true&m=0 yang dah buat kad yang sangat cantik ni.

Masuk bulan Mac 2016 ni dah boleh guna dah kad baru. Kepada pelanggan tetap dan bakal pelanggan kami, jom setia dengan kami dan dapatkan 'free gift' daripada kami.

Tak sabar nak edar kad baru. Wah, saya suka, saya suka (bak kata Mei Mei daripada animasi kartun upin ipin)

Selamat Ulangtahun UmmiAdawiyah Kidswear

Selamat Ulangtahun UmmiAdawiyah Kidswear

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, masih diberi kesempatan dan kekuatan mencari rezeki melalui bidang perniagaan.

Pejam celik, pejam celik rupanya sudah melewati setahun usia perniagaanku, UmmiAdawiyah Kidswear.

Bak kata otai, bisnes belum boleh dikatakan berjaya jika baru setahun jagung. Tapi syukur Alhamdulillah, masih dapat bertahan. Dalam tempoh setahun berkecimpung dalam bisnes pakaian kanak-kanak dan dropship flashfelt hijaiyah, banyak pengalaman dan ilmu-ilmu perniagaan baru yang diperoleh. Banyak juga cabang-cabang bisnes boleh diterokai. Perniagaan yang berkaitan dengan kanak-kanak sahaja pun sudah cukup banyak.

Setelah masuk bidang perniagaan ini, saya dapati pelbagai produk kanak-kanak boleh diterokai.
Oleh itu, sempena setahun usianya, perniagaan UmmiAdawiyah Kidswear bakal bertukar nama kepada UmmiAdawiyah Kids Shoppe (UAKS). Yeayy.! Saya suka! Saya suka! (Bak kata Mei Mei dalam cerita kartun upin ipin).

Terasa lebih 'best' dan rasa 'besar' nama itu. Tambahan jika ada produk bukan pakaian nanti, bolehlah juga diselitkan sekali. InsyaAllah nama yang baru ini akan kekal lama.

Satu lagi hadiah sempena setahun usia UAKS, kami akan menyediakan kad loyalti kepada setiap pelanggan kami. Bagi setiap pembelian, pelanggan akan mendapat satu cop setem. Bagi pembelian kali ke-5, kami akan memberikan 1 hadiah (1 'free gift') sebagai penghargaan kepada pelanggan yang kami sayangi. Suka tak? Suka tak? He,he,he.

Suka kan? Oleh itu, kepada pelanggan-pelanggan tetap, yang baru serta bakal pelanggan UAKS, jom jadi pelanggan tetap kami. Jangan malu, jangan segan jemputlah jenguk dan like fanpage UmmiAdawiyah Kids Shoppe serta follow instagram @UmmiAdawiyah_kidsshoppe ya.

Selamat menjenguk.

Surat oh surat

Surat oh surat

Bismillahirrahmanirrahim.

Agak lama tidak menaip surat. Semenjak melepaskan jawatan 2 tahun yang lepas, boleh dikira dengan jari berapa kali saya menaip surat. Hari ini diberi tanggungjawab menyediakan surat rasmi kepada Exco Kerajaan Negeri. Alahai, otak sudah beku. Nasib baik masih lagi ingat sedikit sebanyak cara penulisan surat rasmi kerajaan. Bolehlah dimanfaatkan.

Anak syurga ummi awal-awal lagi sudah tidur. Macam tahu-tahu saja ummi nak buat kerja. Anak dah tidur, bolehlah ummi draf surat dan buat kerja rutin di pejabat kecil ummi.

Alhamdulillah, setelah lebih kurang 2 jam berhempas pulas memerah otak, siap sudah suratnya. Moga-moga tiada kesilapan ketara pada surat dan diterima la hendaknya.

Pahit Getir Penutup 2015

Pahit Getir Penutup 2015

Alhamdulillah.

Syukur masih diberi kesempatan untuk bernafas di tahun 2016. Beberapa minggu yang getir di akhir tahun 2015 telah berlalu. Mencabar betul pengakhiran tahun 2015. Mana tidaknya, ummi dan anak syurga Adawiyah bergilir-gilir demam. Bak kata abi, demam penutup tahun. Ha,ha,ha.

Masih lagi teringat Khamis minggu pertama bulan Disember, tiba-tiba Ummi demam. Tidur malam terasa sejuk yang amat hinggakan terpaksa memakai jaket dan kemudian berselimut disebabkan terlalu sejuk. Kepala pula terasa berdenyut-denyut. Tapi tidak pula selsema dan batuk seperti kebiasaan demam.

Selepas 4 hari, demam masih belum kebah. Hampir seminggu demam, sakit kepala mulai hilang. Lega. Tapi datang pula gatal-gatal badan dan timbul ruam-ruam merah. Ummi mulai risau, terus tanya Dr Google. Nampak seperti tanda-tanda denggi. Risau pula jadinya. Berkira-kira mahu ke klinik @ hospital atau tidak?

Untuk kepastian, lebih baik rujuk pada yang pakar. Di hari Jumaat, abi dan Adawiyah temankan Ummi ke hospital disebabkan klinik-klinik tidak beroperasi. Kali kedua Ummi ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Pertama kali semasa ditahan wad kerana 'gapping' selepas bersalin dahulu, dan kini kali kedua.

Tunggu punya tunggu lebih kurang 2 jam dari waktu tiba, nama Ummi dipanggil. Selepas diperiksa, doktor mengesahkan bahawa ruam pada kulit Ummi muncul disebabkan alergik. Terfikir juga, alergik apa ya? Bila diingatkan, sebelum ini tidak ada apa-apa alahan @ alergik pun.

Ummi diberikan suntikan ubat alergik di tangan. Pertama kali proses pencarian salur darah di belakang tapak tangan yang amat menyakitkan. Semasa berada di wad bersalin dahulu, mudah saja pencarian salur darah di tangan Ummi. Tidaklah sakit sebegini. Sabar saja la.

Selepas disuntik, Ummi diminta berehat sebentar. Kemudian doktor periksa keadaan ruam pada lengan Ummi. Setelah yakin keadaan ok, doktor benarkan pulang. Walaupun doktor telah nyatakan bahawa Ummi alergik, namun Ummi masih was-was. Risau jika denggi. Pulang dari hospital, kami terus ke pasaraya, mencari ketam untuk dibuat sup. (He,he,he tidak percaya cakap doktor).

Baik rawat sebelum kena. Tidak salah makan sup ketam kan, walaupun tidak suspek denggi. Sebagai langkah berjaga-jaga.

Disebabkan Ummi tidak biasa dengan masakan ketam, makanya emak la yang masak sup ketam. He,he,he. Dah alang-alang ada ketam, sebahagian buat sup, sebahagian lagi masak gulai. Sebabnya ada orang yang tak makan sup, boleh la makan gulai.

Rupanya sedap juga sup ketam ni. Pertama kali Ummi makan sup ketam. Itu satu episod demam Ummi.

Episod demam ni belum tamat lagi. Ada lagi sambungannya. Nanti Ummi sambung lagi ya..

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com