August 2016 - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: August 2016
Salam kemerdekaan

Salam kemerdekaan

#entri 57

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum. Selamat pagi dunia. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke- 59. Semoga Malaysia aman sentosa selalu, jauh dari kemungkaran.  Malaysia Negaraku.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sebut tentang hari kemerdekaan, teringat kembali sewaktu zaman persekolahan dahulu. Kak Imah pernah menyertai perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan. Berpanas di bawah sinaran mentari semasa latihan kawad kaki.

Jurulatih pula anggota askar wataniah dari Kem Rejimen bersebelahan sekolah Kak Imah. Punyalah tegas orangnya, masih terngiang-ngiang lagi suara garaunya melatih kami.

Kak Imah masih teringat bagaimana beliau meminta kami menguatkan suara kami semasa kawad kaki. Beliau meminta kami kuatkan suara mengatasi suara kawad kaki dari pasukan askar di sebelah pagar kem. Kami tidak dibenarkan berhenti selagi tidak menepati apa yang dikehendaki.  Hentakan kaki mestilah sama, tidak mahu ada bunyi seperti 'tahi lembu jatuh' katanya. Tegas betul beliau.

Dan hasilnya, semasa tiba Hari Kebangsaan 31 Ogos 2003, kami menyertai perbarisan dengan kawad kaki yang sekata. Bangga apabila kami berjaya menghabiskan perbarisan dengan begitu baik. Walaupun tempoh latihan perbarisan yang singkat, namun kami dapat mempersembahkan kawad kaki yang baik.

Alhamdulillah. Terima kasih tuan anggota askar tersebut (Kak Imah sudah lupa namanya). Baru-baru ini Kak Imah ternampak seseorang mirip beliau, di tengah-tengah persimpangan 'traficc light'. Beliau sedang mengawal lalulintas, dengan berpakaian polis trafik. Kak Imah agak mungkin beliau adalah anggota yang sama. Mungkin beliau sudah pencen sebagai anggota wataniah dan berkhidmat sebagai anggota trafik pula.

Terima kasih tuan kerana telah memberi Kak Imah satu pengalaman berharga. Kak Imah pernah hampir menangis semasa latihan tersebut, kerana tidak tahan ditengking dan dimarah. Tetapi tetap bertahan. Dan hasilnya, memori yang pahit sewaktu itu kini telah menjadi kenangan yang manis.

Terima kasih.

Selamat Hari Kemerdekaan yang Ke-59.

#sehatisejiwa
#ayatpatriotiksikithariini
#Merdekanegaramerdekarakyat
Dari DIA Kita Datang, Kepada Dia Kita Kembali

Dari DIA Kita Datang, Kepada Dia Kita Kembali

#entri 56

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Sesungguhnya diri kita ini milik Allah. Jasad dan nyawa kita di dunia ini hanya pinjaman sementara sahaja.

Malam tadi kira-kira jam 11 malam ketika Kak Siti sedang lena diulit tidur, encik suami kejutkan dan beritahu perkhabaran kematian seorang jiran di kampung. Arwah merupakan sahabat baik tokma (mak mertua) yang Kak Siti kenali dengan nama Mok Yah.

Innalillahi wa innailaihirojiun. Serta merta cerah biji mata Kak Siti, terkejut dengan perkhabaran itu. Manakan tidak, baru minggu lepas Kak Siti bertemu arwah semasa tokma mengadakan majlis kesyukuran. Kak Siti sempat juga berbual dan bergurau dengan Mok Yah. Ketika itu arwah kelihatan agak kurang sihat. Mungkin itu salah satu tanda beliau akan pergi meninggalkan dunia.

Mok Yah merupakan sahabat tokma pertama yang Kak Siti kenali, sebelum Kak Siti mendirikan rumahtangga lagi. Kak Siti mengenali beliau ketika sama-sama dalam satu rombongan lawatan ke Melaka 4 tahun yang lepas.

Tidak disangka, beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Jumaat yang penuh barokah. Semoga rohnya dicucuri rahmat, dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Aminn.

Kelahiran itu sesuatu yang tidak diduga tarikhnya. Kematian itu pula tidak dapat ditunda tarikhnya. Ianya akan menjemput kita tepat pada masanya. Tidak awal atau lewat walau sesaat. Sama-samalah kita beringat dan saling berbuat kebaikan sebagai bekalan kita di sana nanti.

Selamat Pagi Selasa

Selamat Pagi Selasa

#Entri 55

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Mulakan hari dengan senyuman. Senyum itu sedekah.

Dari Abdullah bin Harith,

"Aku tidak pernah menemui seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW".

(Hadis riwayat At-Tarmizi)

SELAMAT PAGI.

#selamatpagiselasa
#senyumselalu
#senyumlahwalaupahit
#21formulahidupluarbiasa
#ummiadawiyahkidsshoppe

Jom Solat Dhuha

Jom Solat Dhuha

#Entri 53

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum. Alhamdulillah masih diberi peluang bernafas di muka bumi Allah ini. Terima kasih ya Allah.

Anda dah solat dhuha ke belum pagi ini?

Kalau belum, cepat-cepat solat dhuha dulu, kejap saja. Tak lama pun, tak sampai pun 10 minit. Masih sempat lagi ini. Lepas tu, boleh sambung balik kerja yang tengah diusahakan itu.

Rugi tau tak solat dhuha. Allah dah bagi peluang untuk kita bernafas. Sepatutnya kita sujud bersyukur. Insya Allah nanti Allah beri lagi ganjaran, rezeki yang melimpah ruah.

Jom berdhuha dulu. Kemudian jom kita jemput rezeki masing-masing.

Salam Jumaat

Salam Jumaat

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto:

Assalamualaikum. Salam Jumaat, penghulu segala hari. Semoga di hari Jumaat penuh barokah ini kita dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan harian serta diberi keberkatan.

Aminn Ya Rabbal Alamin.

Pelajari Ilmu Bisnes sebelum Berhenti Kerja

Pelajari Ilmu Bisnes sebelum Berhenti Kerja

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto:

Hari ini kak Siti berbisnes 'offline' di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Kak Siti menjual pakaian kanak-kanak. Kalau secara 'online', kak Siti jual melalui medium media sosial facebook dan instagram. Anda boleh lawati facebook dan instagram kak Siti ya, kat sini https://m.facebook.com/ummiadawiyahkidsshoppe/ dan ummiadawiyah_kidsshope (instagram).

Okey, bukan itu topiknya ya. Itu sekadar selingan. He, he, he.

Tengah berniaga tadi, datang seorang kakak promoter bank, untuk edar risalah dan promosikan perkhidmatan bank tersebut. Sambil-sambil berbual, kakak itu (lupa pula hendak menanyakan namanya) meneliti pakaian kanak-kanak yang kak Siti jual.

Kemudian, kakak itu mula bertanya topik yang lari sikit dari tujuan asalnya iaitu promosi barang. Kakak tersebut bertanya tentang sumber dari mana pakaian yang kak Siti jual. Katanya dia rasa berminat untuk berniaga. Sudah bosan bekerja makan gaji katanya.

Anak-anaknya pun sudah makin membesar. Suami sudah meninggal. Jadi, anak-anak sedikit terabai akibat daripada kurang masa bersama anak-anak. Kakak itu bertanya pendapat kak Siti tentang hasratnya berhenti kerja dan mula berniaga. Sekurang-kurangnya dengan berniaga, dapat menambah masa bersama anak-anak. Tapi kakak itu zero ilmu tentang bisnes.

Kak Siti yang sebelum ini pernah bekerja makan gaji, kemudian berhenti kerja dan menceburi bidang perniagaan ini pun rasa terpanggil untuk memberi sedikit kata nasihat dan perangsang kepada kakak itu.

Rancak juga kami berbual. Bertanya dan bercerita itu ini. Secara ringkasnya, kak Siti berpesan kepada kakak itu supaya fikir betul-betul niat dan pelajari dulu cara berniaga yang betul sebelum berhenti kerja.

Untuk lebih mudah faham, cuba dahulu berniaga barangan dalam kuantiti yang kecil. Berjual beli dahulu dengan saudara mara dan jiran tetangga atau berurusniaga secara 'online' untuk mendapatkan permulaan pengalaman berniaga.

Jika tidak yakin untuk berniaga dengan barangan sendiri, cuba untuk berniaga barangan orang lain dahulu seperti menjadi agen dropship atau affiliate. Ini adalah salah satu cara jana pendapatan secara mudah tanpa perlu mengeluarkan modal besar dan menyimpan stok barangan. Di samping boleh mempelajari selok belok dunia bisnes.

Kak Siti juga berpesan kepada kakak itu supaya tidak tergesa-gesa untuk berhenti kerja semata-mata untuk menceburi bidang perniagaan. Lakukan bisnes secara sambilan di samping pekerjaan hakiki di bank tersebut. Bisnes boleh dilakukan ketika waktu rehat dan selepas habis waktu bekerja.

Teh O manis tanpa gula

Teh O manis tanpa gula

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum. Selamat pagi. Sudah sarapan belum? Apa menu anda pagi ini? Pagi ini kak Siti bersarapan dengan bihun goreng dan teh o panas sahaja.

Bihun goreng biasa-biasa saja. Tapi nak cerita sikit apa yang special sikit tentang teh o panas kak Siti ini. Hendak tahu tak,  teh O ini tidak guna gula tau tapi tetap manis. Rasanya tak ubah seperti ada gula malah lebih 'sweet' gitu. Hendak tahu apa rahsianya?

Ni haa, kak Siti guna pemanis stevia. Titiskan beberapa titik pemanis stevia ini kat dalam gelas teh o, kacau-kacau sikit sudah boleh minum dan nikmati keenakannya.

"Bahaya tak pemanis stevia ini?"

Jangan risau, pemanis stevia ini daripada ekstrak daun stevia. Daun stevia itu sendiri sudah manis tau. Jadi, ia tanpa gula dan tiada kolesterol tau. Kalau minum, tak perlu risau tentang kenaikan kandungan gula dan kolesterol dalam badan.

Kalau anda yang ada penyakit kencing manis tapi teringin nak minum teh o atau minuman lain yang manis-manis, boleh gunakan pemanis stevia tanpa was-was.

Hendak cuba pemanis stevia ini, boleh hubungi talian 011-25449849 atau 012-9636285 ya.

Cuba dulu baru tahu. Tak cuba tak tahu, betul tak?

Ogos tiba lagi

Ogos tiba lagi

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Pejam celik pejam celik sudah masuk bulan Ogos. Kita sudah pun berada di penghujung Syawal rupanya. Sekejap saja masa berlalu. Lama betul tak bersiaran di blog ini. Sudah bersarang sawang agaknya.

Jika entri-entri yang lepas, saya bahasakan kata diri 'saya', bila sudah lama tak ber'blog' ni, hendak menulis balik, terasa janggal pulak nak bahasakan 'saya'. Apa kata kalau kata ganti diri 'saya' tu ditukar ke 'kak Imah'? Okey tak? Rasa lebih mesra kan.

Memandangkan bulan Julai adalah bulan honeymoon, masing-masing masih lagi dalam mood raya, belum ada mood shopping, jadi kak Imah kurangkan sikit aktiviti bisnes dan boleh la rehat-rehat sikit.
Apabila sudah masuk bulan Ogos ni, banyak juga perancangannya.

Tambahan pula mood raya pun dah hujung-hujung. Sudah boleh panaskan 'enjin' untuk pecut berbisnes online dan offline.

Semalam aktiviti bisnes di hari pertama bulan Ogos adalah berjualan di satu program bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu (PPWNT) yakni pejabat lama kak Imah.

Sudah lama tidak ber'program', sesekali join rasa seronok pula. Walaupun bidang lain-lain. Jika dahulu, kak Imah jadi emcee program, sekarang kak Imah jadi usahawan pula. Bila melihat kawan-kawan lama sibuk menguruskan aktiviti program, teringat saat-saat suka duka semasa bersama mereka dahulu.

Sambil-sambil berjualan, sempat juga Timbalan Pengarah, Puan Rafiah Sulaiman berbisik mengajak kak Imah kembali semula bekerja di pejabat. Kak Imah tolak secara baik kerana hati ini sudah suka dengan kerjaya sekarang iaitu bisnes walaupun masih bertatih. Jerih perit dalam bisnes adalah adat.

Sambil berjualan, sempat juga kak Imah buat pemeriksaan kesihatan di booth LPPKN. Kak Imah buat pemeriksaan tekanan darah, ujian kencing manis dan kadar kolesterol dalam badan. Alhamdulillah, keputusannya bibir boleh terukir senyum. Semua masih terkawal. Cumanya BMI badan sahaja terlebih berat.

Perlu kawal diet pemakanan. Kebetulan sebelum itu kak Imah memang sudah berazam mahu berdiet bermula Ogos ini. Semoga Allah beri kekuatan untuk terus istiqamah dan dapatkan kurangkan beberapa kg dalam sebulan. Aminn. 

Okey, cukup dulu setakat ini. Nanti ada kesempatan kita bercerita lagi tentang perkembangan diet kak Imah ni ya.
Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com