May 2016 - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: May 2016
Selamat pagi

Selamat pagi

Assalamualaikum. Selamat pagi semua sahabat maya. Alhamdulillah Allah masih memberi kesempatan mencelikkan mata di pagi ini.

Meskipun betapa banyak dosa yang dilakukan, berkali-kali diulang. Tanpa sedar mahupun dalam kesedaran. Namun Allah tetap Maha Penyayang. Masih memberi kesempatan untuk kita bernafas. Masih cukup anggota badan setiap hari. Justeru, bagaimana selayaknya kita sebagai hamba yang hina mensyukuri nikmat pemberianNya?

Marilah kita mulakan dengan solat dhuha di awal pagi ini. Mulakan pagi dengan bersyukur atas segala nikmat Allah beri.  Dah ucap terima kasih, barulah minta lagi dimurahkan rezeki. Betul ke betul?

Ini tidak. Asyik minta, minta dimurahkan rezeki tapi yang dah ada, tak pula disyukuri.

Jom bersyukur..

ALHAMDULILLAH..

Sejuk perut ummi

Sejuk perut ummi

Alkisahnya, petang semalam, kami dalam perjalanan ke rumah emak menaiki kereta. Sambil-sambil berbual, kami memasang siaran radio ikim.fm. Saya memangku Adawiyah yang sedang menyusu badan manakala suami memandu kereta.

Sedang asyik berbual, tiba-tiba Adawiyah yang sedang menyusu mengangkat sebelah tangan (sebelah tangan lagi diselit di belakang badan saya ketika menyusu) seolah-olah sedang berdoa. Rupanya dalam siaran radio tersebut ustaz sedang membaca doa penutup slot rancangan. Saya tergamam, terkesima dengan reaksi spontan Adawiyah. Saya segera turut menadah tangan  mengaminkan doa sambil siku tangan menyiku lengan suami.

Suami yang baru perasan, secara automatik turut menadah sebelah tangan mengaminkan doa juga. Sebelah tangan lagi memegang stereng. Terdiam kami menahan malu (dengan senyum terukir di bibir) apabila melihat reaksi spontan anak solehah kami yang dengan sendirinya menadah doa tanpa disuruh.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. 

Malu kami dibuatnya. Asyik sangat berbual sehingga tidak sedar ustaz sedang membaca doa. Sudah menjadi kebiasaan kami mengajar Adawiyah menadah tangan berdoa tiap kali ingin melakukan sesuatu. Contohnya, doa makan, doa masuk tandas, doa keluar tandas, doa naik kenderaan, memberi salam lalui kawasan perkuburan (rumah kami berhampiran tanah perkuburan) dan sebagainya untuk mendidik tabiatnya. Alhamdulillah, Adawiyah nampaknya sudah semakin biasa.

Sejuk hati ummi bila tengok adik (Adawiyah) sudah faham apa itu doa ketika baru berusia 1 tahun 7 bulan. Ummi dan Abi berharap adik akan terus mendoakan ummi dan abi. In syaa Allah kami akan cuba sebaik yang mungkin dalam mendidikmu sayang. Moga Allah permudahkan urusan kami mendidik anak taat pada perintahNya. Aminn.

Kesian Adawiyah - Kudis Kenan

Kesian Adawiyah - Kudis Kenan

Sudah hampir masuk minggu ke-3 ada kudis kenan kat kepala anakanda Adawiyah. Sejak beberapa hari lepas nampak dah makin surut. Tapi bangun tidur pagi tadi keluar pula benjol-benjol merah bernanah pada kepala. Mungkin cuaca panas sekarang ni merangsang penghasilannya kot. Ibu kenan tu masih ada lagi di belakang kepala, tapi dah makin mengecil. Orang tua-tua cakap, selagi ada ibu kenan tu, selagi itu la kudis kenan akan ada.

Kesian anak ummi. Mesti sakit dan gatal kan. Sebelum ni saya tak pernah tahu tentang kudis kenan ni. Ingatkan kenan akibat daripada terkejut pada sesuatu semasa mengandung dan jadi kenan pada anak. Rupanya ni sekadar nama kudis kenan  tiada kaitan dengan kenan yang satu lagi tu. 

Dulu-dulu emak selalu pesan, jika ada biji kecil kat kulit belakang kepala anak, cepat-cepat gentel dengan air liur yang kat lelangit selepas bangun tidur menggunakan ibu jari. Gentel sampai biji tu hilang.

Sebelum ni saya selalu juga buat, tapi banyak juga terlupa. He,he,he. Akibatnya biji tu makin membesar. Patut la saya perasan sebelum keluar kudis kenan tu, Adawiyah selalu pegang-pegang kat belakang kepala dia. Mungkin dia rasa tidak selesa. Masa itu Adawiyah belum pandai cakap, belum dapat beritahu perasaan dia. Ummi pula tak faham apa yang anakanda rasa. Maafkan ummi ya anakku sayang.

Bila diimbas balik, kudis kenan ini terjadi lebih kurang 3 minggu lepas.  Kebetulan sekarang musim panas Elnino. Badan dan dahi Adawiyah naik ruam peluh. Kemudian tiba-tiba keluar benjol besar kat kepala bahagian depan. Saya ingatkan kesan daripada ruam peluh (orang Terengganu panggil 'cemar peluh'). Tapi bila ditanya dan tunjuk kat ma dan abah (mertua), mereka cakap tu nak jadi kudis kenan. Baunya pun dah mula hanyir.

Keesokan harinya, saya terus ajak emak ke rumah ustaz Haji Ngah untuk mendapatkan rawatan secara perubatan Islam. Rumah ustaz ni bersebelahan rumah emak sahaja. Keluarga kami pun sudah mesra dengan ustaz. Ustaz Haji Ngah ini juga merupakan jurunikah (tok kadi) masa saya kahwin dulu. He,he,he. Beliau juga pengamal perubatan Islam Darussyifa' dan turut mengiring jemaah haji dan umrah ke tanah suci Mekah. Amboi, panjang pula huraian.

Ustaz Haji Ngah membacakan ayat suci Al-Quran dan ditiup ke dalam air, bedak sejuk dan kepala Adawiyah. Beliau meminta untuk rendam bedak sejuk dengan air bacaan ayat tadi (juga dikenali dengan nama air tawar) dan disapu kat kudis kenan Adawiyah pada pagi dan petang. Nasib baik masa itu kudis masih lagi baru. Tidak la rumit untuk disapu kat kepala anakanda. Alhamdulillah, beberapa hari lepas, kudis makin kering dan surut.

Tapi sekarang timbul lagi kudis kenan yang baru. Nampaknya saya perlu lebih kerap menyapu bedak sejuk dan air tawar pada kepala Adawiyah supaya cepat kering dan pulih seperti sedia kala.

Ya Allah, Engkau permudahkanlah dan hilangkanlah kesakitan yang dihadapi oleh anakku. Berikanlah kesembuhan kepadanya Ya Allah.
Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com