Hari tanpa pampers - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Hari tanpa pampers

14 March 2017

Hari tanpa pampers

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
 Foto: Carian Google


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, hari ini sehari bersamaan 24 jam si Adawiyah tanpa lampin pakai buang (pampers). Hari ini ummi hendak ucapkan tahniah dan tepukan gemuruh untuk anakanda Adawiyah. Nak dijadikan cerita, semalam kami tidak keluar ke mana-mana, terperuk di rumah sahaja bersama Adawiyah melakukan tugasan harian.

Terdetik di hati, hendak menguji si anak. Sebelum ini ummi sudah ajar dia perlahan-lahan. Tapi dalam sehari akan pakai juga lampin walau sekali. Tapi semalam, ummi nak uji dia tanpa pampers selama 24 jam

Di siang hari, selepas bangun tidur dan bersiap mandi, ummi tidak bagi Adawiyah pakai lampin. Ummi pesan pada dia, kalau hendak buang air kena pergi bilik air. Tak boleh kencing merata-rata. dia angguk sahaja. Sambil melakukan kerja rumah, mulut ummi ni selalu pot pet bertanya Adawiyah sama ada nak membuang air atau tidak.

 Alhamdulillah, sepanjang siang hari, Adawiyah sudah pandai ke tandas kalau nak kencing. Ummi agak terkejut dengan perkembangan tersebut. Cuma hanya sekali dia terkucil juga, tidak sempat ke tandas, sebab berada jauh sangat dari tandas. Tapi bab buang air besar sahaja lagi perlu diajar lagi. Dua kali dia terbuang dalam seluar, baru beritahu ummi. Alahai, tidak mengapalah, dia belum biasa lagi. Belajar sedikit-sedikit. Tapi kan, nasib baiklah dia membuang dalam seluar, bolehlah ummi basuh terus saja. Kalaulah dia membuang merata, jawabnya jenuhlah si ummi ni nak menyental lantai rumah. 

Pada malamnya, sebelum tidur, Ummi tanya Adawiyah hendak pakai pampers atau tidak. Dijawabnya tidak mahu sebab dia sudah besar. Alahai, pandai pula dia menjawab. Okey, kita cuba tidur tanpa pampers. Ummi siap letak plastik di bawah cadar, bimbang basah tilam jika dia kencing. Punyalah panas tidur beralaskan plastik, walaupun plastik itu di bawah cadar. Tapi, hendak buat macam mana, bersabarlah demi anak.

Sepanjang malam ummi tidak dapat tidur lena. Asyik terbangun sahaja, tengok anak di sebelah. Sama ada basah atau tidak seluarnya. Sampaikan ummi termimpi yang bukan-bukan. Mungkin terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Sampai ke pagi ini, Ummi tengok kering sahaja seluar Adawiyah. Cadar pun kering. Tiada tanda-tanda kencing malam. Hai, rasa pelik pula, biasanya kalau pakai pampers, memang penuh pampers di pagi hari.

Lepas Adawiyah bangun tidur, terus dia beritahu nak kencing. Ummi tunggu dia membuang. Banyak juga kencingnya. Jadi, memang betul-betul tidak kencing malam la dia malam tadi, kalau dilihat pada kuantiti air kencing itu.

Alhamdulillah, lulus ujian tidur tanpa pampers Adawiyah untuk malam pertama. Kita tengok malam ini pula bagaimana keadaannya. Harap-harap berjalan lancar jugalah. Dapat la ummi jimat duit beli pampers. Kalau tidak lancar, alamatnya jenuhlah ummi hendak membasuh cadar tiap-tiap hari.

Tahniah anakku. 

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com