December 2015 - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: December 2015
Aktiviti Hujung Minggu

Aktiviti Hujung Minggu

Assalamu'alaikum.

Selamat pagi pengunjung blog. Hari ini lega sikit, boleh mengemas rumah di hujung minggu. Suami kerja, anak dah tidur, boleh la ummi buat apa yang patut. Kalau tidak, sudah macam tongkang pecah dah rumah ni di'kemas'kan oleh Adawiyah.

Sebelum kemas rumah, kena masak dulu. Nanti anak sudah bangun, perutnya minta diisi. Sudahnya, macam tangan sotong la ummi nak memasak nanti.

Hari ini terfikir nak masak bubur nasi untuk anak syurga ummi. Tambah-tambah musim hujan (tengkujuh) begini, sedap juga makan makanan panas-panas.

Campak-campak bahan dalam periuk, lepas itu didihkan. Ummi boleh buat kerja lain.

Nanti dah kembang, boleh tutup api dan makan.

Promosi Akhir Tahun 2015

Promosi Akhir Tahun 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Subhanallah, seronok betul melihat Adawiyah bermain-main bersama sepupunya hari ini. Sudah besar rupanya anak ummi. Sudah pandai belajar makan sendiri walaupun umur baru 14 bulan. Selera betul gaya makannya, ditambah dengan makan secara beramai-ramai bersama abang-abang dan kakak sepupunya.

Alhamdulillah selesai majlis bacaan Yasin petang tadi. Semua pinggan mangkuk pun sudah selesai dicuci. Usai solat Maghrib, kami beransur pulang ke rumah sewa memandangkan suami perlu bertugas di sekolah esok hari. Tidak sempat untuk bermalam di rumah tokma. Begitu juga dengan adik ipar, pulang ke Kelantan sejurus selepas Maghrib.

Dalam perjalanan, teringat pula tentang stok kain barut bayi sudah tinggal sedikit. Perlu ditambah. Tambahan pula ada pelanggan mahu menempah barut bayi. Sudah alang-alang pulang ke bandar, kami terus ke kedai kain Kamdar. Kebetulan mereka sedang jalankan promosi akhir tahun. Banyak pilihan corak  barut bayi yang cantik-cantik. Rambang mata jadinya. Sempat juga saya membeli 4 corak kain.

Esok bolehlah mulakan kerja menjahit barut bayi. Kita sudah masuk ke bulan terakhir untuk tahun 2015 kan. Sekejap sahaja masa berlalu. Tidak lama lagi masuk tahun baru 2016.

Sudah hujung-hujung tahun ini, terasa hendak buat promosi akhir tahun la.
Jom, sesiapa yang sedang mencari pakaian bayi dan kanak-kanak, boleh ringan-ringankan tangan menjenguk fanpage facebook ya. Tidak lupa juga di instagram. Atau boleh juga terus hubungi saya di talian 0105511909 (whatsapp/ telegram).

Saya hendak bagi harga murah-murah sahaja ni. Harga kasih sayang, harga Promosi Hujung Tahun. Jangan malu, jangan segan.
Pengalaman pertama

Pengalaman pertama

Assalamualaikum.

Alahai, sudah lewat malam baru sempat hendak menaip di blog. Hari ini  terlalu sibuk di kampung. Tidak sempat untuk mengarang di blog.

Minggu lepas, semasa berborak dengan ma (ibu mertua) di kampung, ma ada berpesan supaya pulang hujung minggu ini untuk membantu beliau menyediakan hidangan. Menjadi kebiasaan di kampung suami, setiap petang Jumaat diadakan majlis bacaan surah Yasin. Minggu ini, mengikut giliran, majlis tersebut diadakan rumah ibu mertua saya.

Perancangan asalnya ingin pulang pada petang semalam (Khamis), tetapi tidak sempat ekoran suami perlu menyiapkan pekerjaan pertaniannya. Oleh itu, kami bergegas pulang pagi tadi. Mujur kampung tidaklah begitu jauh, cuma 50 minit perjalanan dengan kereta.

Untuk majlis bacaan Yasin petang tadi, ma menyediakan hidangan Nasi Minyak. Sempat juga saya membantu mana yang patut di dapur bersama ma dan seorang adik ipar.

Semasa sedang rancak 'bersilat' menyiapkan hidangan di dapur, makcik yang biasa mengepalai majlis bacaan Yasin tersebut datang memberitahu bahawa beliau terpaksa datang lewat. Ma meminta saya mengepalai majlis tersebut. Alahai, hendak menolak, tidak sampai hati. Tetapi jika setuju, terasa diri ini tidak layak. Maklum la, saya tidak pernah menjadi ketua dalam majlis bacaan Yasin. Kebiasaannya sekadar mengikut dari belakang.

Selepas solat Jumaat, sekitar jam 3 petang, tetamu mulai datang memenuhi ruang tamu rumah ma. Debaran kian terasa, adakah diri ini akan menjadi ketua? Dalam hati mula berdoa moga makcik ketua itu dapat datang awal. Tapi ternyata meleset.

Selesai menyusu dan tidurkan Adawiyah, adik ipar mengetuk pintu bilik memaklumkan supaya saya menjadi ketua. Alahai. Terpaksa la mencuba.

Pada mulanya hati berdebar juga memikirkan perlu mengepalai majlis yang kebanyakan ahlinya sudah biasa, sedangkan saya orang baru yang jarang-jarang sekali dapat mengikuti majlis tersebut. Tapi redah sahajalah. Anggap sahaja saya sedang dalam kelas belajar mengaji.

Alhamdulillah, akhirnya selesai majlis bacaan Yasin yang diketuai oleh saya. Walaupun adalah sedikit gugup dan tersekat-sekat dalam bacaan doa Yasin. Maklum sahaja, bukan menjadi kebiasaan membaca doa secara berhadapan dengan khalayak.

Pengalaman pertama menjadi ketua dalam majlis keagamaan. Alhamdulillah diberi kesempatan. Allahuakbar, mungkin ada hikmah tersirat di sebaliknya. Nampaknya selepas ini, saya perlu lebih kerap membaca dan menghafal doa surah Yasin agar tidak tersekat-sekat jika diminta membacanya lain kali.
Selamat Datang Disember

Selamat Datang Disember

Bismillahhirrahmanirrahim.

Pejam celik pejam celik sudah masuk bulan Disember. Kita dah di penghujung tahun 2015 rupanya. Cepat betul masa berlalu. Maaf ya pembaca semua, sudah lama tidak 'update' blog akibat kekangan masa.
Sudah lama tidak menjenguk blog ni. Rasa rindu la pula. Alahai, apa khabar blog ku ini?. Dah bersepah bersawang agaknya. Seperti mana rumah yang sudah lama ditinggalkan, perlu la dibersihkan terlebih dahulu sebelum diduduki semula.

Jadi, mari sediakan alatan pembersihan. Jom kita 'clear'kan sawang-sawang dalam blog. Kita kasi nafas baru.

Semoga Disember ini jadi permulaan untuk Ummi berblog semula. Harap masuk tahun depan, blog Ummi ini berseri-seri la hendaknya.

Jom, kita mulakan. Ayuh.

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com