Pengalaman pertama - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Pengalaman pertama

04 December 2015

Pengalaman pertama

Assalamualaikum.

Alahai, sudah lewat malam baru sempat hendak menaip di blog. Hari ini  terlalu sibuk di kampung. Tidak sempat untuk mengarang di blog.

Minggu lepas, semasa berborak dengan ma (ibu mertua) di kampung, ma ada berpesan supaya pulang hujung minggu ini untuk membantu beliau menyediakan hidangan. Menjadi kebiasaan di kampung suami, setiap petang Jumaat diadakan majlis bacaan surah Yasin. Minggu ini, mengikut giliran, majlis tersebut diadakan rumah ibu mertua saya.

Perancangan asalnya ingin pulang pada petang semalam (Khamis), tetapi tidak sempat ekoran suami perlu menyiapkan pekerjaan pertaniannya. Oleh itu, kami bergegas pulang pagi tadi. Mujur kampung tidaklah begitu jauh, cuma 50 minit perjalanan dengan kereta.

Untuk majlis bacaan Yasin petang tadi, ma menyediakan hidangan Nasi Minyak. Sempat juga saya membantu mana yang patut di dapur bersama ma dan seorang adik ipar.

Semasa sedang rancak 'bersilat' menyiapkan hidangan di dapur, makcik yang biasa mengepalai majlis bacaan Yasin tersebut datang memberitahu bahawa beliau terpaksa datang lewat. Ma meminta saya mengepalai majlis tersebut. Alahai, hendak menolak, tidak sampai hati. Tetapi jika setuju, terasa diri ini tidak layak. Maklum la, saya tidak pernah menjadi ketua dalam majlis bacaan Yasin. Kebiasaannya sekadar mengikut dari belakang.

Selepas solat Jumaat, sekitar jam 3 petang, tetamu mulai datang memenuhi ruang tamu rumah ma. Debaran kian terasa, adakah diri ini akan menjadi ketua? Dalam hati mula berdoa moga makcik ketua itu dapat datang awal. Tapi ternyata meleset.

Selesai menyusu dan tidurkan Adawiyah, adik ipar mengetuk pintu bilik memaklumkan supaya saya menjadi ketua. Alahai. Terpaksa la mencuba.

Pada mulanya hati berdebar juga memikirkan perlu mengepalai majlis yang kebanyakan ahlinya sudah biasa, sedangkan saya orang baru yang jarang-jarang sekali dapat mengikuti majlis tersebut. Tapi redah sahajalah. Anggap sahaja saya sedang dalam kelas belajar mengaji.

Alhamdulillah, akhirnya selesai majlis bacaan Yasin yang diketuai oleh saya. Walaupun adalah sedikit gugup dan tersekat-sekat dalam bacaan doa Yasin. Maklum sahaja, bukan menjadi kebiasaan membaca doa secara berhadapan dengan khalayak.

Pengalaman pertama menjadi ketua dalam majlis keagamaan. Alhamdulillah diberi kesempatan. Allahuakbar, mungkin ada hikmah tersirat di sebaliknya. Nampaknya selepas ini, saya perlu lebih kerap membaca dan menghafal doa surah Yasin agar tidak tersekat-sekat jika diminta membacanya lain kali.

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com