2015 - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: 2015
Aktiviti Hujung Minggu

Aktiviti Hujung Minggu

Assalamu'alaikum.

Selamat pagi pengunjung blog. Hari ini lega sikit, boleh mengemas rumah di hujung minggu. Suami kerja, anak dah tidur, boleh la ummi buat apa yang patut. Kalau tidak, sudah macam tongkang pecah dah rumah ni di'kemas'kan oleh Adawiyah.

Sebelum kemas rumah, kena masak dulu. Nanti anak sudah bangun, perutnya minta diisi. Sudahnya, macam tangan sotong la ummi nak memasak nanti.

Hari ini terfikir nak masak bubur nasi untuk anak syurga ummi. Tambah-tambah musim hujan (tengkujuh) begini, sedap juga makan makanan panas-panas.

Campak-campak bahan dalam periuk, lepas itu didihkan. Ummi boleh buat kerja lain.

Nanti dah kembang, boleh tutup api dan makan.

Promosi Akhir Tahun 2015

Promosi Akhir Tahun 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Subhanallah, seronok betul melihat Adawiyah bermain-main bersama sepupunya hari ini. Sudah besar rupanya anak ummi. Sudah pandai belajar makan sendiri walaupun umur baru 14 bulan. Selera betul gaya makannya, ditambah dengan makan secara beramai-ramai bersama abang-abang dan kakak sepupunya.

Alhamdulillah selesai majlis bacaan Yasin petang tadi. Semua pinggan mangkuk pun sudah selesai dicuci. Usai solat Maghrib, kami beransur pulang ke rumah sewa memandangkan suami perlu bertugas di sekolah esok hari. Tidak sempat untuk bermalam di rumah tokma. Begitu juga dengan adik ipar, pulang ke Kelantan sejurus selepas Maghrib.

Dalam perjalanan, teringat pula tentang stok kain barut bayi sudah tinggal sedikit. Perlu ditambah. Tambahan pula ada pelanggan mahu menempah barut bayi. Sudah alang-alang pulang ke bandar, kami terus ke kedai kain Kamdar. Kebetulan mereka sedang jalankan promosi akhir tahun. Banyak pilihan corak  barut bayi yang cantik-cantik. Rambang mata jadinya. Sempat juga saya membeli 4 corak kain.

Esok bolehlah mulakan kerja menjahit barut bayi. Kita sudah masuk ke bulan terakhir untuk tahun 2015 kan. Sekejap sahaja masa berlalu. Tidak lama lagi masuk tahun baru 2016.

Sudah hujung-hujung tahun ini, terasa hendak buat promosi akhir tahun la.
Jom, sesiapa yang sedang mencari pakaian bayi dan kanak-kanak, boleh ringan-ringankan tangan menjenguk fanpage facebook ya. Tidak lupa juga di instagram. Atau boleh juga terus hubungi saya di talian 0105511909 (whatsapp/ telegram).

Saya hendak bagi harga murah-murah sahaja ni. Harga kasih sayang, harga Promosi Hujung Tahun. Jangan malu, jangan segan.
Pengalaman pertama

Pengalaman pertama

Assalamualaikum.

Alahai, sudah lewat malam baru sempat hendak menaip di blog. Hari ini  terlalu sibuk di kampung. Tidak sempat untuk mengarang di blog.

Minggu lepas, semasa berborak dengan ma (ibu mertua) di kampung, ma ada berpesan supaya pulang hujung minggu ini untuk membantu beliau menyediakan hidangan. Menjadi kebiasaan di kampung suami, setiap petang Jumaat diadakan majlis bacaan surah Yasin. Minggu ini, mengikut giliran, majlis tersebut diadakan rumah ibu mertua saya.

Perancangan asalnya ingin pulang pada petang semalam (Khamis), tetapi tidak sempat ekoran suami perlu menyiapkan pekerjaan pertaniannya. Oleh itu, kami bergegas pulang pagi tadi. Mujur kampung tidaklah begitu jauh, cuma 50 minit perjalanan dengan kereta.

Untuk majlis bacaan Yasin petang tadi, ma menyediakan hidangan Nasi Minyak. Sempat juga saya membantu mana yang patut di dapur bersama ma dan seorang adik ipar.

Semasa sedang rancak 'bersilat' menyiapkan hidangan di dapur, makcik yang biasa mengepalai majlis bacaan Yasin tersebut datang memberitahu bahawa beliau terpaksa datang lewat. Ma meminta saya mengepalai majlis tersebut. Alahai, hendak menolak, tidak sampai hati. Tetapi jika setuju, terasa diri ini tidak layak. Maklum la, saya tidak pernah menjadi ketua dalam majlis bacaan Yasin. Kebiasaannya sekadar mengikut dari belakang.

Selepas solat Jumaat, sekitar jam 3 petang, tetamu mulai datang memenuhi ruang tamu rumah ma. Debaran kian terasa, adakah diri ini akan menjadi ketua? Dalam hati mula berdoa moga makcik ketua itu dapat datang awal. Tapi ternyata meleset.

Selesai menyusu dan tidurkan Adawiyah, adik ipar mengetuk pintu bilik memaklumkan supaya saya menjadi ketua. Alahai. Terpaksa la mencuba.

Pada mulanya hati berdebar juga memikirkan perlu mengepalai majlis yang kebanyakan ahlinya sudah biasa, sedangkan saya orang baru yang jarang-jarang sekali dapat mengikuti majlis tersebut. Tapi redah sahajalah. Anggap sahaja saya sedang dalam kelas belajar mengaji.

Alhamdulillah, akhirnya selesai majlis bacaan Yasin yang diketuai oleh saya. Walaupun adalah sedikit gugup dan tersekat-sekat dalam bacaan doa Yasin. Maklum sahaja, bukan menjadi kebiasaan membaca doa secara berhadapan dengan khalayak.

Pengalaman pertama menjadi ketua dalam majlis keagamaan. Alhamdulillah diberi kesempatan. Allahuakbar, mungkin ada hikmah tersirat di sebaliknya. Nampaknya selepas ini, saya perlu lebih kerap membaca dan menghafal doa surah Yasin agar tidak tersekat-sekat jika diminta membacanya lain kali.
Selamat Datang Disember

Selamat Datang Disember

Bismillahhirrahmanirrahim.

Pejam celik pejam celik sudah masuk bulan Disember. Kita dah di penghujung tahun 2015 rupanya. Cepat betul masa berlalu. Maaf ya pembaca semua, sudah lama tidak 'update' blog akibat kekangan masa.
Sudah lama tidak menjenguk blog ni. Rasa rindu la pula. Alahai, apa khabar blog ku ini?. Dah bersepah bersawang agaknya. Seperti mana rumah yang sudah lama ditinggalkan, perlu la dibersihkan terlebih dahulu sebelum diduduki semula.

Jadi, mari sediakan alatan pembersihan. Jom kita 'clear'kan sawang-sawang dalam blog. Kita kasi nafas baru.

Semoga Disember ini jadi permulaan untuk Ummi berblog semula. Harap masuk tahun depan, blog Ummi ini berseri-seri la hendaknya.

Jom, kita mulakan. Ayuh.

Mengapa rezeki tidak datang

Mengapa rezeki tidak datang

Teks: Perkongsian dari group whatsapp.
Foto:

Mengapa rezeki tidak datang?

Sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa sebab. Bila bersebab, baru lah sesuatu akan terjadi. Sebab apa rezeki tidak datang?

1. Kerana…

kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Tidak kira kecil mana kelebihan yang kita ada, perlu tanamkan rasa kesyukuran atas rezeki yang kecil itu.

2. Kerana…

kita selalu dalam keadaan sedih, risau, takut dan perasaan-perasaan negatif lain. Perasaan ini akan memakan diri sendiri untuk terus diselubungi kegusaran fikiran. Bila minda tertutup, tindakan positif akan terhenti.

3. Kerana…

kita egokan diri kita dan fikirkan kita tidak mahu belajar dan terima teguran. Kita fikir kita telah tahu segalanya dan tidak perlu menambah ilmu. Rezeki tidak akan datang tanpa ilmu.

4. Kerana…

kita sombong pada manusia, dan makhluk Allah termasuk haiwan. Sifat sombong dan tidak menghormati yang lain tidak kira pangkat atau darjat.

5. Kerana…

kita enggan membantu mereka yang memerlukan tetapi mengharap orang laun membantu kita. Bila kita membantu seorang, sebenarnya 10 lagi akan membantu kita.

6. Kerana…

kita mempunyai rasa tamak dan fikirkan kita sahaja berhak untuk terima rezeki bukan orang lain. Perasaan dengki, iri hati dan benci melihat rezeki orang lain akan menutup rezeki kita.

7. Kerana…

kita sombong dan lupakan suruhan Allah swt dan tidak meminta dariNya, kerana Allah sahaja lah pemberi rezeki yang utama dan bukan manusia.

Pastinya ada sebab mengapa rezeki tidak datang kepada kita. Tanggungjawab diri adalah untuk sentiasa muhasabah diri sentiasa dan lihat bagaimana kita boleh perbaiki diri supaya mudah rezeki akan datang InshaaAllah!

Perkongsian dr Irfan Khairi

Yeay, bisnesku sudah ada kad pengenalan

Yeay, bisnesku sudah ada kad pengenalan

Teks dan gambar: Siti Rahimah Abu Bakar

Alhamdulillah, setelah beberapa menyimpan niat untuk mendaftar perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), akhirnya hari ini urusan tersebut selesai.

Jika diikutkan, saya lebih senang mendaftar melalui laman sesawang. Urusan hanya di hujung jari. Tidak perlu ambil nombor dan menunggu giliran. Namun, beberapa hari saya mencuba memasuki sistem e-Lodgement di laman SSM, tapi tidak dapat juga hendak mendaftar. Tidak tahu la kenapa. Lantas, alang-alang encik suami cuti hari ini, apa salahnya terus mendaftar di pejabat SSM sahaja la.

Rezeki Yang Tidak Disangka-sangka

Rezeki Yang Tidak Disangka-sangka

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar.

Benarlah janji Allah itu Pasti.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Limpahan syukur dipanjatkan atas rezeki yang tidak disangka-sangka yang dikurniakan.

Semalam, saya mendapat panggilan telefon daripada bekas rakan sekerja, Kak Ros bertanyakan mengenai bisnes yang sedang saya usahakan. Panggilan tersebut tidak sempat saya jawab dek kerana sibuk melayan karenah anak syurga, Adawiyah yang sedang aktif naik turun tangga dapur. Almaklum la, orang baru pandai panjat memanjat. Belum pun pandai jalan tapi sudah berani naik turun tangga sambil tersengih-sengih. Risau pula kita yang melihatnya.

Kak Ros kemudiannya menghantar pesanan melalui aplikasi Whatsapp. Beliau bertanya samada saya berminat atau tidak berniaga di pasar tani kerana katanya pejabat ada mengadakan satu program Bazar Wanita. Jika saya berminat, beliau minta saya untuk mendengar taklimat terperinci pada esok hari.

Dalam hati tertanya-tanya juga program apakah ia. Namun, timbul keinginan untuk turut serta walaupun belum tahu lebih lanjut. Kebiasaannya, seperti tahun-tahun semasa saya masih lagi bekerja, pejabat sentiasa menjalankan aktiviti untuk menjana pendapatan wanita-wanita secara jangka panjang dan juga aktivit ad-hoc.

Saya kira mungkin program yang disuarakan oleh Kak Ros ini program jangka pendek sahaja melibatkan program jualan selama separuh atau satu hari. Tak mengapa la, apa salahnya saya ikut serta. Sekiranya tidak menepati skop bisnes saya, sekurang-kurangnya saya telah hadir mendengar taklimat. Tambahan pula, sudah lama tidak bertemu sahabat-sahabat di pejabat, boleh juga bersua muka kembali.

Keesokan harinya (yakni hari ini), selepas mendapat keizinan suami, seperti dijanjikan saya pergi ke Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu. Saya hadir sedikit awal sepertimana dipesan oleh Kak Ros, kerana Pengarah ingin berjumpa terlebih dahulu. Setelah agak lama tidak menjejakkan kaki ke pejabat, terasa kekok pula ingin berhadapan dengan bekas bos.

Setelah Pengarah menjelaskan serba sedikit tentang program, taklimat penuh dimulakan di dewan Anjung Wanita. Rupa-rupanya program yang akan dijalankan ini merupakan program jangka panjang. Saya dipanggil sebagai calon simpanan sekiranya terdapat peserta yang tidak hadir atau tarik diri.

Saya tidak meletakkan harapan untuk mendapat tempat kerana sememangnya sudah penuh kuota seramai 20 orang peserta. Namun, hendak dijadikan rezeki saya, terdapat seorang peserta yang tidak dapat hadir kerana baru menjalani pembedahan di hospital. Jadi, saya diberikan peluang untuk menyertai program Bazar Wanita ini.

Alhamdulillah, Allah telah membuka hati Kak Ros untuk menghubungi saya. Hendak dijadikan rezeki saya. Berdasarkan taklimat yang diberikan oleh pegawai dari FAMA dan Persatuan Pasar Tani, mereka membuka peluang kepada peniaga wanita untuk berniaga di tapak Pasar Tani dengan kerjasama bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu. Operasi Pasar Tani adalah pada setiap hari Khamis dan Sabtu, bermula 7.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Maka bermulalah perniagaan pakaian kanak-kanak yang saya usahakan ini secara rasmi. Sebelum ini, bisnes hanyalah di atas talian (online). Alhamdulillah, syukur rezeki yang tidak disangka-sangka, peluang berbisnes di luar talian (offline) pula. Maka, bermulalah juga misi mendapatkan peralatan-peralatan yang diperlukan untuk berniaga, kerana bisnes di Pasar Tani ini akan bermula pada 3 September 2015. Sudah dekat tarikhnya. Lagi pula, saya orang baru dalam bidang ini, terasa sedikit debarnya.

Kepada pembaca yang berada di Terengganu yang ingin mendapatkan pakaian kanak-kanak cantik dengan harga yang berpatutan, bolehlah berkunjung ke gerai jualan UmmiAdawiyah Kidswear di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu setiap Khamis dan Sabtu bermula 3 September 2015 ya. =D

Salam 6 Ramadhan - Bihun Goreng Ringkas

Salam 6 Ramadhan - Bihun Goreng Ringkas

Teks dan gambar: Siti Rahimah Abu Bakar

Semalam encik suami, cikgu Azizan sudah maklumkan awal-awal mengenai perancangannya berbuka puasa bersama rakan-rakan sekerjanya. Jadi, petang ini saya di'hantar' pulang ke rumah emak untuk berbuka bersama emak, ayah serta abang dan adik lelaki. Berbuka puasa hari ini sedikit meriah kerana abang sulung anak beranak turut sama iftar di rumah emak. Suasana serta merta bertukar meriah apabila adanya kanak-kanak.

Sebelum berangkat ke tempat kerja pagi tadi, suami ada berpesan supaya memasak untuk dibawa berbuka nanti. Tujuannya untuk berjimat. Jika membeli di bazar Ramadhan agak mahal harganya, namun belum tentu sedap rasanya.

Tetapi menjelang tengahari, suami terasa mahu makan bihun goreng pula. Alahai, layankan je la. Jadinya, petang ini kita berbuka dengan bihun goreng ringkas-ringkas sahaja la. Kutip sahaja mana-mana bahan yang sedia ada di dapur.

Jom kita layan resipi ringkas saya untuk bekalan suami berbuka di pantai bersama kawan-kawannya. Nanti ada kesempatan saya pun mahu berbuka di pantai juga la. Seronok. Iftar beramai-ramai di taman atau pantai. Tambah-tambah tahun ini sudah bertambah anggota keluarga.

BIHUN GORENG RINGKAS

1/2 bungkus bihun (direndam air panas)
2 ketul isi ayam (potong kecil)
Daging (dipotong kecil)
1 biji telur
4 biji bawang merah (dikisar)
2 biji bawang putih (dikisar)
2 sb cili boh
Nisan kerek/ gula melaka (secukup rasa)
garam secukup rasa
Sawi (dipotong)
Kicap manis
Sedikit air  (jika perlu)

Cara penyediaan:
1) Tumis bahan yang dikisar sehingga kekuningan dan naik bau wangi. Masukkan cili boh. Kacau sehingga pecah minyak.
2) Masukkan daging dan ayam. Kacau sebati. Jika agak kering, masukkan sedikit air supaya ayam dan daging masak dan empuk.
3) Masukkan nisan kerek (gula melaka). Gaul sebati. Biarkan sedikit kering, masukkan sawi dan perasakan garam.
4) Masukkan bihun dan kacau rata. Masukkan kicap. Kacau.
5) Buat sedikit ruang/ lubang di tengah bihun dan pecahkan telur. Kacau rata.
6) Siap dihidangkan. Tabur sedikit hirisan daun sup sebagai hiasan.

~Selamat berbuka~

Aktiviti Rangsang Minda Anak

Aktiviti Rangsang Minda Anak

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto:

Pada zaman teknologi kini, manusia dan gajet tidak dapat dipisahkan. Malahan anak-anak seawal usia beberapa bulan sudah dikenalkan dengan gajet. Bagi sesetengah ibu bapa, mereka sengaja menghadiahkan gajet seperti telefon dan tablet kepada anak-anak bagi mengurangkan rasa bosan anak-anak.

Pada entri kali ini, saya ingin berkongsi satu link blog, UmmuAyyashDotCom yang saya peroleh daripada perkongsian di laman facebook. Saya merasakan bahawa perkongsian ini amat berguna untuk saya dan ibu-ibu di luar sana yang menghadapi masalah tidak tahu aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak yang boleh merangsang perkembangan mindanya.

Anak saya, Adawiyah baru berusia 8 bulan setengah, kini nampaknya menunjukkan minat terhadap telefon pintar walaupun saya dan suami tidak pernah memperkenalkan kepadanya. Mungkin dia kerap melihat kami memegang dan menggunakan telefon, maka dia beranggapan bahawa dia juga perlu berbuat demikian.

Saya mula risau. Kalau boleh kami tidak mahu Adawiyah didedahkan dengan gajet terlalu awal. Perkongsian yang saya dapat daripada laman facebook ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada saya supaya lebih kreatif dalam mempelbagaikan aktiviti bersama anak. Tidak semua aktiviti boleh saya praktikkan kerana usia Adawiyah yang tidak membolehkan saya menggunakan teknik tersebut, namun ia sedikit sebanyak memberi ilham kepada saya.

Terdapat beberapa cara bagaimana mempelbagaikan aktiviti yang merangsang perkembangan minda anak-anak. Antara contoh aktiviti merangsang minda anak yang ditonjolkan adalah seperti berikut:

1) Aktiviti Memperkenalkan Warna


2) Aktiviti Kenalkan Nombor


3) Aktiviti Kenalkan Bentuk


4) Aktiviti Padankan



Penggunaan bahan-bahan yang digunakan pun ringkas dan mudah serta kos yang murah. Anda pun boleh mencubanya. Mudah bukan? Cuma kita perlu lebih kreatif dalam mencipta aktiviti bersama anak-anak.  Jom kita rangsang minda anak-anak kita supaya sel-sel otaknya sentiasa berhubung. (Macam iklan susu di televisyen pula bunyinya, he,he,he)
Menunggu Ketibaan Tetamu Ramadhan

Menunggu Ketibaan Tetamu Ramadhan

#Entri

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Kurang lebih tinggal 3 hari lagi tetamu penting akan tiba. Ramadhan Al Mubarak. Hati risau, persiapan belum cukup. Tetamu nak datang, tapi rumah belum berkemas, belum dihias cantik, hati belum dipersiapkan.

Jika di negara Arab, masyarakatnya menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al Mubarak dengan meriah melebihi sambutan hari raya Aidilfitri. Jika kita lihat di negara kita, sambutan Ramadhan juga meriah tetapi meriahnya lebih di bazar Ramadhan. Mengapa tidak rumah kita dihias dengan cantik bagi sambutan Ramadhan sepertimana secantik kita menyambut Syawal?

Ramadhan bulan barakah..Kedatangannya setahun sekali tetapi membawa seribu rahmat. Sepatutnya wajarlah kita menyambutnya dengan meriah menunjukkan kita gembira dengan ketibaannya. Apabila rumah kita hias cantik menunjukkan semangat kita menyambut Ramadhan, kita pasti akan rasa lebih bersemangat untuk berpuasa, melaksanakan ibadah dan menggandakan pahala.

Tertangkap Jua Akhirnya

Tertangkap Jua Akhirnya

c#Entri
Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto:
Assalamu'laikum. Pada entri yang lepas, saya ada bercerita mengenai kejutan pagi yang telah menyebabkan saya terlompat dan meremang bulu roma. Selepas 2 hari, akhirnya 'suspek'  berjaya ditangkap. Alhamdulillah, lega. Hari ini saya akan kongsikan kisah bagaimana ianya ditangkap.
Pada malam 'kejadian', kami telah membeli perangkap tikus dan mengumpannya dengan ikan goreng. Namun, pada malam itu tangkapan tidak berhasil. Terasa agak hampa.
Pada keesokannya, suami mengajak kami pulang ke kampung selama satu hari satu malam kerana katanya mahu belajar memancing dari seorang kawan sekampung. Jarak rumah sewa saya daripada kampung mertua lebih kurang 50 minit perjalanan sahaja. Jadi, tidak menjadi masala besar bagi kami untuk berulang alik.
Sebelum pulang ke kampung, saya telah membersihkan segala peralatan dapur dan menyimpan semua makanan-makanan ke dalam peti sejuk serta membuang saki baki makanan supaya tiada sebarang makanan untuk 'penjaga' baru rumah sewa kami itu. Yang tinggal hanyalah kepingan ikan goreng sebagai umpan di dalam perangkap tikus.
Setelah diyakini segalanya bersih, kami pun pulang ke kampung. Setelah satu hari satu malam di kampung, tibalah masanya kami kembali semula ke rumah sewa.
Dalam perjalanan, sempat juga kami singgah di rumah seorang sahabat yang saya kenali sewaktu di universiti dahulu untuk menghantar romper baju kurung yang dibeli daripada saya. Alhamdulillah, rezeki hari ini.
Sesampainya di rumah sewa, menjejakkan kaki ke dalam rumah, suami mengintai-intai jejak si tikus. Saya terus ke dapur di mana lokasi perangkap tikus yang dipasang. Tatkala melihat perangkap tersebut, secara automatik senyuman terukir di bibir apabila melihat terdapat hasil tangkapan. Alhamdulillah. Saya tidak mampu untuk melihat secara teliti kerana geli, cukuplah sekadar mengerling dengan ekor mata sahaja.
Lantas, saya memanggil suami untuk menguruskan semua urusan berkaitan 'pesalah' yang berada di dalam sangkar tersebut. Saya hanya mampu memberi sokongan daripada belakang. he,he,he
Encik suamilah yang menguruskan semua daripada membuang tikus tersebut dan mencuci kesan- kesan yang ditinggalkan. Rupa-rupanya si tikus tersebut telah kencing di dalam mesin basuh tempat di mana ia 'melahirkan' sebelum ini. Mungkin ia mahu mencari jejak anaknya yang ditinggalkan sebelum ini dan meninggalkan air kencing supaya dapat dijejaki oleh anaknya. Barangkali.
Jenuh juga suami saya membasuh semula ruangan dalam mesin basuh tersebut. Tapi tidak mengapa, kerana si 'dia' yang dikehendaki telah ditangkap. Alhamdulillah. Kini, sudah tiada lagi bunyi-bunyi kehadiran tikus di dalam rumah. Harap-harapnya begitulah. 
KEJUTAN PAGI

KEJUTAN PAGI

Alkisahnya pagi tadi seusainya solat subuh, saya mahu menjemur pakaian. Malam sebelumnya saya ada membasuh pakaian menggunakan mesin basuh automatik. Niat hati mahu menjemur terus di bilik belakang selepas siap dibasuh, tetapi bantal memanggil-manggil supaya tidur. Mata memang sudah mengantuk, bantal pula minta disorong, jadi saya pun tidur terus dan sudah pasang niat di hati mahu jemur kain baju sebaik bangun tidur.

Sesudah solat subuh saya pun terus ke mesin basuh untuk mengambil baju yang siap dicuci malam tadi. Alangkah terkejutnya, selepas dibuka penutup mesin basuh, seekor tikus keluar daripada mesin basuh tersebut. Astagfirullahal'azim..terlompat kecil saya. Mak Oi, meremang bulu roma saya.

Saya terus memanggil suami supaya melihat-lihat keadaan sekeliling. Tikus tersebut masuk ke bilik belakang di mana tempat saya menjemur pakaian. Alahai, tak pasal-pasal kena basuh balik kain baju. Saya sudah melompat menjauhkan diri dari mesin basuh. Geli.

Terdetik dalam hati, sejak bila ada tikus dalam rumah ni? Sebelum ni tak pernah nampak pula kelibatnya.
Suami kemudiannya ingin mengambil pakaian di dalam mesin untuk dibasuh semula. Sekali lagi alangkah terkejutnya saya apabila suami memberitahu ada anak tikus di dalam mesin basuh, di atas kain baju yang saya basuh malam tadi.

MasyaAllah. Kali ini berganda-ganda gelinya saya. Serta merta bulu roma berdiri tegak. Lagi jauh saya melompat ke ruang tamu. Saya memang tidak suka dan amat geli akan anak tikus yang merah pink itu. Sebut sahaja perkataan anak tikus, sudah terasa gelinya. Apatah lagi melihat dan mahu mengalihkannya.

Rupanya si tikus ini masuk ke dalam mesin basuh untuk beranak. Saya pun tidak tahu dari arah mana ianya masuk kerana mesin basuh tersebut bertutup rapat.

Nasib baik encik suami ada di rumah. Jika tidak, tidak tahu la apa akan jadi.

Tips Ibu Hamil dan Menyusu di Bulan Puasa

Tips Ibu Hamil dan Menyusu di Bulan Puasa

#Entri 

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Carian Google



Assalamu'alaikum. Kurang lebih tinggal 8 hari lagi kita akan menyambut bulan penuh keberkatan Ramadhan Al Mubarak. Ya Allah, cepat betul masa berlalu. Sudah setahun Ramadhan meninggalkan kita, kini 'dia' datang kembali. Eh, jangan salah faham. Saya bukan ingin menidakkan kedatangan Ramadhan tetapi ingin mengenangkan betapa cepatnya masa berlalu sehinggakan tidak terasa sudah setahun lamanya.

 Bersediakah kita untuk menjadi tetamunya Ramadhan?

Alhamdulillah jika dipanjangkan usia, tahun ini saya akan menyambut Ramadhan sebagai seorang ibu. Pada tahun lepas, Ramadhan dilalui sebagai bakal ibu, yakni semasa saya sedang 7 bulan mengandungkan anak sulung saya, Nur Rabi'atul Adawiyah.

Pertama kali berpuasa ketika hamil, sungguh mencabar rasanya. Tetapi alhamdulillah Allah kuatkan semangat saya untuk meneruskan ibadat puasa. Masih lagi saya ingat, 2 hari saya terpaksa mengorbankan puasa di waktu lewat petang, sudah hampir waktu berbuka sebenar akibat terlalu lapar dan letih. Saya terpaksa berbuka pada pukul 5 petang dan satu hari lagi berbuka pada pukul 6 petang. Jika diikutkan, terasa sayang untuk menyentuh makanan ke mulut, tetapi apabila difikirkan tentang anak di dalam kandungan, terpaksalah dikorbankan. Lebur niat hati ingin berpuasa penuh pada tahun lepas.

Pada tahun ini, saya sekali lagi akan diuji dengan berpuasa sebagai seorang ibu yang menyusukan bayi. Di hati mula terasa risau, mampukah saya menghadapi hari-hari berpuasa sambil menyusukan anak. Saya mulai risau akan penghasilan susu  Masih ingat lagi, beberapa bulan lepas ketika sedang berpuasa ganti, menjelang petang, perut mula terasa amat lapar sehinggakan badan menggigil. Namun digagahi jua sehingga masuk waktu berbuka. Baru saya sedar rupanya sukar juga berpuasa bagi seorang ibu yang menyusukan anak. Pada hari kedua berpuasa ganti, tidak terasa lapar sangat kerana saya telah membuat persediaan pada malam sebelumnya dengan meminum air secukupnya serta memakan kurma ketika sahur. Semoga Allah kuatkan semangat saya lagi untuk berpuasa penuh pada tahun ini. InsyaAllah.

Anda pula bagaimana? Sudahkah anda bersedia untuk menerima kehadiran Ramadhan?

Disebabkan risau akan kesukaran berpuasa sebagai seorang ibu yang menyusukan bayi, saya ada membuat sedikit carian tentang persediaan ibu hamil dan ibu menyusu supaya bertenaga ketika berpuasa. Di sini saya kongsikan juga secara ringkas perkongsian daripada Coretan Ros Ahmad dan Mothers First Choice.

Ibu hamil dan menyusu perlu mengambil makanan yang seimbang dan sihat semasa berpuasa. Bagi ibu hamil, anda tidak semestinya perlu makan berlebihan (dengan kata lain makan untuk dua orang). Jika anda makan dalam kuantiti yang betul, anda akan dapat bertahan hingga ke petang.

Jika anda ibu menyusu pula, pemakanan yang betul dapat memberikan anda tenaga dan dapat memastikan penghasilan susu tidak terjejas. Walau bagaimanapun, rutin mengepam hendaklah dilakukan seperti biasa.

Tips Ibu Hamil dan Menyusu di bulan puasa

1) Minum air secukupnya

Minum air yang secukupnya ketika sahur dan berbuka bagi mengelakkan dehidrasi yang boleh menjejaskan penghasilan susu. Seeloknya minum dua liter atau lebih air sehari (bersamaan dengan lapan gelas air atau lebih).

2) Jangan Abaikan Sahur

Jangan sesekali meninggalkan waktu sahur. Namun, anda digalakkan untuk melambatkan makan sahur.  

3) Makan kurma ketika bersahur dan berbuka

Seperti yang disarankan oleh nabi, ibu hamil dan ibu menyusu digalakkan makan kurma untuk tenaga berterusan semasa berpuasa. Bersahur dan berbukalah dengan memakan kurma terlebih dahulu sekurang-kurangnya 3 biji. Amalan ini dapat membekalkan tenaga segera sepanjang hari.

Kurma juga antara milkbooster terbaik untuk ibu menyusu dalam memastikan kuantiti susu tetap seperti biasa walaupun berpuasa.

Hari pertama puasa, kuantiti susu mungkin akan berkurang sedikit. Kebiasaannya hari kedua dan seterusnya hasil perahan akan jadi seperti biasa.

4) Makanan berprotein tinggi

Makanan berprotein tinggi seperti ayam, daging, kekacang dan telur dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama berbanding karbohidrat. Oleh itu, lebihkan pengambilan makanan berprotein berbanding nasi dan mee semasa berbuka dan bersahur.

5) Makanan berserat

Makanan berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan turut memberi rasa kenyang yang lebih lama. Ia juga bagus untuk mengelakkan sembelit yang kerap dialami oleh ibu hamil.

6) Makanan berkarbohidrat

Makanan berkarbohidrat seperti nasi, mee dan bihun hendaklah diambil dalam kuantiti yang sederhana.

Makan dengan berlebihan akan menyebabkan anda rasa mengantuk ketika terawih dan juga selepas bersahur.

7) Ambil lebih lemak sihat

Jumlah lemak di dalam susu ibu berkurangan apabila anda berpuasa. Untuk itu, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi lemak sihat yang mencukupi. Lemak sihat boleh diperolehi dengan mengambil susu dan produk tenusu seperti keju, susu dan sebagainya.

8) Kurangkan pengambilan makanan bergoreng dan berminyak

Pengambilan makanan bergoreng dan berminyak boleh mengurangkan nutrisi makanan yang dimakan. Oleh itu, anda perlu kurangkan pengambilannya.

Lebihkan makanan yang kaya dengan protein dan apa sahaja makanan berbentuk sup.

9) Amalkan Madu

Anda sangat digalakkan untuk memakan madu setiap hari sepanjang berpuasa kerana ia merupakan sumber tenaga semula jadi. Selain daripada menambah stamina, ia mampu meningkatkan kadar serapan kalsium dalam tubuh.

10) Elakkan minuman bikarbonat

Anda memang digalakkan untuk minum banyak air ketika berpuasa tetapi hindari pengambilan minuman yang mengandungi banyak gula seperti air bikarbonat. Sama juga halnya dengan minuman berkafein. Kandungan gula dan kafein boleh mengganggu penghasilan susu ibu jika diambil berlebihan.

~SELAMAT BERPUASA~




Ulasan Buku Bekerja & Berniaga

Ulasan Buku Bekerja & Berniaga

#Entri 31

Teks: IydaJuhar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar


Saya dipertemukan dengan salah sebuah buku ketika mengunjungi MPH Bookstore. Pada mulanya, saya tidak mengenali siapa Penulis tersebut. Tapi buku ini telah menarik hati saya dengan 'cover' depannya dan tagline nya "Panduan Kejayaan Untuk Suri". Tanpa berfikir panjang lagi saya telah membelinya.
Pembacaan saya bertambah rancak apabila mengetahui Penulis ini merupakan salah seorang 'blogger' tegar dan telah membabitkan diri di tapak maya beberapa tahun sudah.
Wah!!! Bukan senang, nak senang. Azura Abdullah .


Perkongsian yang diberikan dalam buku ini sangat santai berdasarkan pengalaman dilalui oleh Penulis sendiri. Manusia seperti saya, memang suka membaca pengalaman mereka untuk mendapatkan inspirasi. Kisah benar adalah kisah yang paling mahal apabila dikongsikan. Garapan yang diberikan oleh Penulis pula sangat mudah difahami.

Buku ini mengandungi 14 bab yang tersusun dan santai. Bab 1, sudah pun membuat saya teruja iaitu tentang Niat. Apa yang menarik lagi, pembaca diberi pendedahan untuk memulakan perniagaan sebelum berhenti kerja. Mulakan sesuatu didalam keadaan yang selesa dan bukan terdesak. Penulis juga banyak menekankan tentang memulakan bisnes dengan kaedah 'lean' iaitu bermula dengan apa yang ada. Elakkan daripada berhutang.

Bekerja & Berniaga Panduan Kejayaan Untuk Suri merupakan salah satu buku motivasi bisnes yang "MUST HAVE & MUST READ" bagi mereka yang sedang mencari-cari bagaiman untuk bermula dalam bisnes.

Alhamdulillah!! Terima kasih atas perkongsian ilmu yang diberikan. Semoga Puan Azura Abdullah terus maju dan hasilkan lebih banyak buku berbentuk motivasi begini.

Buku yang sangat bermanfaat untuk suri bekerjaya ini boleh didapati dengan menghubungi saya di talian 012-9636285 (WhatsApp atau Telegram) dan emel sitirahimahabubakar@gmail.com.


Kisah Seram

Kisah Seram

#Entri 30

Teks dan Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Awas, kisah seram.

.

Saya baru sahaja berpindah rumah.
Dan saya agak pelik melihat beberapa tampalan kertas A4 nama Allah dalam setiap bilik dan dalam bilik yang saya duduki siap ada satu rantai ukiran Allah diletakkan di tombol pintu.
.
Tapi saya tak bertanya lebih. Rupanya malam itu barulah penghuni seorang ini beritahu dia pernah diganggu dan pintu bilik saya itu terbuka dengan sendirinya walaupun sudah ditutup dengan rapat.
.
Saya secara jujurnya pernah sahaja beberapa kali diganggu ketika di asrama dll semasa kecil. Tapi semakin dewasa saya makin mengerti jikalau Allah tidak mengizinkan tiada satu kuasa yang lebih berkuasa utk melawanNya.
.
Dan bagi saya, perlindungan Allah bukan tampalan di dinding atau rantai ukiran Allah. Ia datang dari hati yang dekat dgn Allah.
Ia datang drpd hati yang bersih jauh daripada keladak-keladak yang kotor.
.
Seorang kawan saya siap berkata "Ni (tunjuk tampalan A4 di dinding) kalau hantu tengok pun dia gelak kot"
.
Secara senyap saya setuju dengan statement beliau.
.
*Mahu tahu bagaimana untuk mendapatkan hati yang bersih dan suci daripada keladak, jom baca lebih banyak kupasan dalam Buku Hidup Luar Biasa mengupas 21 formula asas dan praktikal dalam kehidupan.





Boleh dapatkannya di sini. Hubungi saya Rahimah di talian 012-9636285 atau emel sitirahimahabubakar@gmail.com.
KIT SERONOKNYA RAMADHAN

KIT SERONOKNYA RAMADHAN

#Entri 29

Teks dan Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Adakah anda tercari-cari jawapan bagi salah satu persoalan daripada berikut :

 Kaedah paling mudah untuk menggalakkan anak berpuasa di bulan ramadhan nanti tanpa perlu memaksa mereka.


 Keinginan anak untuk berpuasa dengan sendiri di bulan ramadhan nanti tanpa merasakan amalan puasa merupakan beban.


 Anda ingin memberikan hadiah untuk anak yang berpuasa tetapi tidak tahu apa hadiah yang sesuai.

Bagaimana nak selesaikan masalah ini?


Anda berada di tempat yang betul bagi semua persoalan diatas. Teruskan membaca.





Kit Seronoknya Ramadhan ini mengandungi 10 item:

 Buku Jurnal Ramadhan Saya
 Buku Aktiviti Ramadhan

 Carta Motivasi Ibadah Saya
 Pelekat Motivasi
 Bunting Pesta Ramadhan dan Syawal
 Tabung Sedekah
 Angpau Sedekah
Ramadhan Door Knob
Ramadhan
Fail Kit


Apakah Objektif Penerbitan Kit Seronoknya Ramadhan?

Objektif yang ingin dicapai dengan penghasilan kit seronoknya ramadhan ini adalah:


Bagi menyampaikan mesej Ramadhan kepada anak-anak, ibu bapa dan guru dari peringkat awal.


 Menerapkan latihan amali solat, puasa, akhlak mulia dan pengetahuan berkaitan Ramadhan secara santai, menarik dan menyeronokkan.


 Ibu bapa menjadi ketua yang mencipta kesedaran menghayati Ramadhan kepada anak-anak dan ahli keluarga di rumah.


 Anak-anak dapat merasai kemanisan bulan Ramadhan melalui bahan KSR.


 Guru dapat menyemarakkan suasana dan penghayatan Ramadhan yang menyeronokkan di tadika dan sekolah.


Untuk Siapakah Kit Seronoknya Ramadhan?


Anak-anak syurga yang sudah sedia untuk belajar berpuasa, dalam lingkungan umur 5, hingga tahun.


Ingin memiliki set Kit Seronoknya Ramadhan ini, boleh dapatkan di sini. Hubungi saya di talian 012-9636285 (WhatsApp/ Telegram) dan emel sitirahimahabubakar@gmail.com. 
Promosi Wall Deco Hijaiyyah

Promosi Wall Deco Hijaiyyah

#Entri 17

Teks dan foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Wall Deco Hijaiyyah boleh ditampal di dinding sebagai hiasan dinding sekaligus mendedahkan anak anda kepada pengenalan huruf-huruf Al-Quran.


Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar bagi guru-guru j-Qaf dan KAFA.
Material daripada felt; tidak mudah koyak, boleh dibasuh dan tahan lama.



5 kombinasi warna untuk Wall Deco Hijaiyyah.
- sky blue - Oren
- dark yellow - black
- sweet pink - ocean blue
- apple green - electric blue
- red chilli - off white

Promosi bersempena dengan 1st Anniversary My Baby Can Read.
Jualan Wall Deco Hijaiyyah dengan harga RM50 sahaja.
Harga asal RM60.Jimat RM10.

Promosi berlangsung selama sebulan dari 20 Mei sehingga 20 Jun 2015.

[Update] Maaf, Wall Deco Hijaiyah ini sudah tidak dikeluarkan lagi. Terima kasih. 
Homeschooling

Homeschooling

#Entri 16

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamu'alaikum. Hari ini saya ada terbaca perkongsian daripada seorang sahabat di laman sosial facebook berkenaan topik homeschooling. Terdetik di hati, menarik topik ini. Terus saya membuat sedikit kajiselidik tentang homeschooling. Memang niat saya dan suami untuk mendedahkan anak kami, Nur Rabi'atul Adawiyah dengan pendidikan seawal mungkin dari rumah. Cuma tidak pasti bagaimana pendekatan yang sebenarnya.

Jika diikutkan kami sudah mulakan pendidikan seawal sejak Adawiyah dalam kandungan lagi. Apabila saya disahkan hamil, suami sudah melarang saya memasang siaran radio di dalam kereta kecuali ikim.fm. Kemudian, suami belikan CD alunan bacaan surah Al-Quran untuk dipasang dalam kereta. Sejak itu, saya langsung tidak mendengar muzik selain bacaan Al-Quran dan lagu-lagu nasyid sahaja. Suami amat menekankan aspek hiburan islamik semasa saya hamil dahulu.

Selepas kelahiran, Adawiyah kami dedahkan dengan flash card hijaiyyah seawal usianya 3 bulan. Ketika itu, agak sukar untuk mendapatkan flash card hijaiyyah di kedai-kedai buku. Lantas, saya mengambil inisiatif membuat flash card sendiri dengan mencetak huruf  dan kemudian dilaminate. Alhamdulillah, Adawiyah menunjukkan minat terhadap flash card tersebut. Tetapi menjadi masalah apabila Adawiyah ingin memegang dan memasukkan flash card ke dalam mulut. Saya khuatir keselamatan Adawiyah kerana flash card yang telah dilaminate tersebut tajam pada hujung card.

Kemudian saya diperkenalkan dengan flash felt hijaiyyah. Pertama kali melihatnya, saya jatuh hati kerana sifat flash felt ini yang mesra bayi. Anak-anak kecil boleh mengenali huruf-huruf hiyaiyyah, secara tidak langsung boleh memegang serta memasukkan flash felt ke dalam mulut. Jadi, ia amat sesuai untuk bayi yang memang bersifat meneroka perkara baru dengan deria sentuhan. Adawiyah pun saya lihat suka dengan flash felt yang diberikan.

Flash felt hijaiyyah yang dihadiahkan kepada Adawiyah. Warna warni gitu. 

Flash felt Hijaiyyah diperbuat daripada kain felt. Ianya sesuai untuk anak-anak kecil.

Selain itu, di rumah saya juga menampal kad imbas di dinding rumah untuk merangsang penglihatan Adawiyah supaya sentiasa melihat huruf-huruf hijaiyyah. Suamilah yang selalu memainkan peranan mengajar Adawiyah mengenal huruf-huruf tersebut secara nyanyian lagu alif baa taa. Sekarang saya dapat lihat perkembangannya. Adawiyah akan berpaling ke arah huruf-huruf pada dinding apabila kami menyanyikan lagu alif baa taa. 

Dinding ruangan sudut pembelajaran Adawiyah. Huruf-huruf kami tampal pada ketinggian yang sesuai yang boleh dicapai oleh Adawiyah yang sedang merangkak. Hal ini supaya Adawiyah dapat menyentuh kad-kad tersebut.

Selain kad imbas, boleh juga menggunakan pendekatan home deco hijaiyyah yang berwarna-warni untuk menarik minat anak-anak. Dekorasi yang menarik boleh merangsang imaginasi anak-anak. Lagi menarik jika ada penglibatan anak-anak dalam mendekorasikan hiasan dinding bilik masing-masing. 

  Hiasan dinding daripada dekorasi Wall Deco Hijaiyyah menjadi lagi menarik apabila ditambah dengan hiasan tambahan pelangi dan kumbang. Menarik perhatian dan imaginasi kanak-kanak.

P/S: Berminat dengan Flash Felt dan Wall Deco Hijaiyyah [update: Wall Deco Hijaiyyah ini sudah tidak dikeluarkan lagi], boleh hubungi saya di talian 010-5511909 (aplikasi Whatsapp/Telegram). 


Kisahku Di Sabasun

Kisahku Di Sabasun

#Entri 14

Teks dan Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Beberapa hari yang lepas saya, suami serta anak kami singgah di Sabasun HyperRuncit, Kuala Terengganu untuk membeli belah keperluan dapur. Niat asalnya ingin mencari air zamzam untuk diberikan kepada anakanda, Adawiyah. Namun, tidak ditemui pula air zamzam tersebut di Sabasun.

Mungkin sudah habis stok agaknya. Alang-alang sudah menjejakkan kaki di Sabasun ini, apa salahnya terus membeli keperluan dapur mana-mana yang sudah hampir habis kan? Si suami pula mendapat apa yang dihajatinya iaitu sotong. Katanya mahu dibuat Ketupat Sotong.



Sebenarnya saya suka membeli belah di Sabasun ini kerana suasananya yang tenang dan damai. Sabasun merupakan salah satu pasaraya milik bumiputera Melayu sepenuhnya, anak jati Terengganu. Pekerja-pekerjanya pula semuanya Melayu Islam, tiada seorang pun bangla mahupun warga asing. Tidak seperti kebanyakan pusat beli belah lain yang dipenuhi warga asing yang diambil bekerja.

Menurut sumber laman web Sabasun, secara ringkasnya Sabasun ditubuhkan pada 2 April 1995 dengan nama Sabasun Sdn Bhd. Pada awal operasi, hanya 8 orang pekerja yang bertugas dan terdiri daripada ahli keluarga terdekat. Namun kini, Sabasun sudah mempunyai cawangan baru dan pekerjanya melebihi 200 orang. Satu pencapaian yang sangat baik bagi peniaga Bumiputera, Melayu Muslim yang berniaga berkonsepkan islamik.

 Sabasun HyperRuncit Kuala Terengganu


Gambar kedai Sabasun sebelum berkembang menjadi HyperRuncit. 

 Menjengah masuk ke dalam Sabasun, hati terasa sungguh tenang dek alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan alunan zikir memuji kebesaran Allah. Sedikit sebanyak bibir ini turut sama berzikir. Itulah kelebihan Sabasun HyperRuncit berbanding pasaraya atau pusat beli belah lain.

Teringat lagi di awal usia perkahwinan kami dahulu, kami pernah singgah di Sabasun untuk membeli sedikit barangan di waktu lewat petang. Sudah hendak masuk waktu Maghrib sebenarnya. Saya dan suami baru selesai aktiviti jogging di Bukit Panorama berhampiran Sabasun HyperRuncit dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Sudah alang-alang, kami singgah membeli sedikit barang keperluan. Melangkah masuk ke dalam pasaraya, azan Maghrib berkumandang. Kaki tiba-tiba terasa berat untuk melangkah masuk kerana pasaraya lengang, cuma terdapat beberapa orang pembeli sahaja. Jelas kelihatan pekerja lebih ramai berbanding pengunjung. Tidak seperti waktu-waktu lain yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

Serta merta malu menghimpit kami. Malu kepada pekerja Sabasun kerana memikirkan di waktu azan Maghrib berkumandang, kami masih di jalanan (di dalam pasaraya beli belah sebenarnya). Kami tidak menunggu lama, cepat-cepat kami mengambil apa-apa barangan yang diperlukan dan terus membuat pembayaran. Semasa di kaunter pembayaran, jelas kami lihat pekerja-pekerja di kaunter bangun bergilir-gilir menuju ke ruang surau untuk solat. Lagi sekali kami merasa malu.

Semasa di kaunter pembayaran, sempat juga saya melihat terdapat nota yang dilekatkan di setiap kaunter yang menyatakan hadis tentang kewajipan bersolat. Mungkin pesanan itu daripada pemilik atau pengurus pasaraya untuk peringatan pekerja-pekerja. Subhanallah, indahnya apabila berniaga mengikut syariat Islam.

Waktu-waktu  begini berbeza suasananya jika dilihat di pasaraya atau pusat beli belah lain. Kebanyakkannya dipenuhi pengunjung terutamanya di waktu Maghrib. Tidak dinafikan, di pusat membeli belah kebiasaannya terdapat surau untuk kemudahan bersolat. Namun, belum tentu ianya dimanfaatkan oleh semua orang.

Sejak dari peristiwa malu di waktu Maghrib itu, kami tidak lagi menjejakkan kaki di Sabasun pada waktu Maghrib. Kami akan pergi pada siang hari ataupun selepas Isyak.
Selamat Hai Guru

Selamat Hai Guru

#Entri 13

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image



Tema sambutan Hari Guru tahun 2015: Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. Tema yang menyentuh naluri kecilku.

Apabila disebut mengenai Hari Guru, ramai di kalangan kita, (termasuk saya) yang mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru yang mengajar kita di sekolah. Namun, sedarkah kita bahawa guru pertama kita adalah ibu bapa atau penjaga kita.

Justeru, sempena Hari Guru ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Guru terutamanya kepada ibu dan bapa saya yang merupakan insan pertama yang mendidik saya dan adik-beradik. Tanpa mereka, siapalah kami hari ini. Tidak lupa juga dititipkan bacaan Al-Fatihah kepada guru mengaji saya iaitu datuk saya, Almarhum Mat bin Ali. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama insan soleh.

Selamat Hari Guru juga diucapkan buat semua guru-guru yang pernah mengajar dan mendidik saya sejak Tadika KEMAS Gelugor Kedai, Sekolah Kebangsaan Gelugor, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin dan Pusat Pengajian Yayasan Islam Terengganu.

Tidak lupa juga Selamat Hari Pendidik buat semua pensyarah yang merupakan guru saya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Selamat Hari Guru juga buat kakak ipar saya yang cantik manis, Ustazah Mazlina Abdul Wahab serta semua rakan-rakan di bidang perguruan.

Dan tidak dilupakan insan yang paling penting dalam hidup saya, Selamat Hari Guru diucapkan buat suami tercinta, Cikgu Mohd Azizan Mohamad Pawi. Semoga menjadi guru yang dapat mencurahkan ilmu dan menyempurnakan akhlak anak didikmu. Dan yang paling penting semoga berjaya menjadi guru dan memberi didikan yang terbaik untuk anakanda tersayang. Eh, terlupa pula. Selamat Hari Guru juga buat diri sendiri yang kini menjadi guru sepenuh masa mendidik anakanda buah hati pengarang jantung.

SELAMAT HARI GURU.

Tabung Subuh

Tabung Subuh

#Entri 12

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar / Carian Google


Assalamu'alaikum.

The Power of Sedekah. Pernahkah anda mendengar ayat ini?. Bagi yang pernah membaca buku daripada Dr. Azizan Osman bertajuk '21 Formula Hidup Luar Biasa' pasti tahu mengenai ayat tersebut. Untuk entri ini saya tidak mahu mengulas mengenai isi kandungan buku tersebut, tetapi saya ingin berkongsi satu cara yang boleh kita praktikkan untuk menjadikan kita 'ringan tangan' untuk bersedekah. InsyaAllah ulasan buku tersebut akan saya bincangkan pada entri yang akan datang. Atau sesiapa yang berminat untuk memiliki buku tersebut boleh dapatkannya di sini.



Mari kita ingat-ingat kembali berapa ringgitkah duit yang selalu kita sumbangkan kepada tabung masjid setiap kali kita bersolat di masjid? Atau berapakah jumlah duit yang kita berikan kepada peminta sedekah yang meminta di tepi jalan? Kebiasaannya tidak lebih RM10, bukan? Malah, kadang kala kita merasakan menderma RM1 sudah cukup. Mengapa tidak kita sedekahkan RM50 atau RM100 setiap kali bersolat di masjid? Jawapannya, kita rasa sayang akan duit tersebut. Kita merasakan bahawa kita akan kehabisan duit apabila kita menderma sejumlah besar duit. Sedangkan Allah telah menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda kepada yang bersedekah.

Salah satu cara membuatkan kita tidak lokek bersedekah adalah dengan mewujudkan Tabung Subuh. Tahukah anda apa itu Tabung Subuh? Tabung Subuh adalah tabung yang kita sediakan khas untuk menyimpan duit untuk disedekahkan, dan ianya dikumpul pada waktu subuh.

Kenapa waktu Subuh? Bukan Zohor, Asar, Maghrib atau Isyak?











Tips Surirumah Profesional

Tips Surirumah Profesional

#Entri 12

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Carian Google


Sejak bergelar surirumah, baru saya tahu betapa susahnya menjadi seorang surirumah.
Ramai yang beranggapan surirumah jarang keluar rumah, tidak bekerja 8 pagi hingga 5 petang dan mempunyai banyak masa terluang seharian. Ada yang berkata surirumah hanya goyang kaki, tunggu hujung bulan suami bagi duit, kemudian shopping.

Hakikat sebenarnya, menjadi surirumah bukan semudah yang disangka. Bermula bangun pagi, celik mata terus ada sahaja tugasan perlu disiapkan dan tugasan akan berakhir apabila pejam mata untuk tidur di waktu malam. Itu pun belum tentu tugasan dapat disiapkan sepenuhnya. Dan tugasan yang sama akan kembali semula keesokannya, hari berikutnya, minggu seterusnya selama 365 hari setahun. Rutin ini akan berulang untuk tahun seterusnya.

Tambahan lagi jika surirumah yang berbisnes. Lagi la haru biru jadinya. Semasa saya baru mula berjinak-jinak dalam bisnes menjual pakaian kanak-kanak online beberapa bulan dahulu, saya pernah mengalami situasi yang amat memenatkan bagi seorang surirumah. Rumah sudah seperti kapal pecah. Dengan keadaan longgokan kain di dalam bakul yang tidak berlipat, pinggan mangkuk di sinki, pakaian belum bergosok dan sebagainya. Tambahan anak yang masih kecil dan bisnes online yang perlu diuruskan. Terasa sangat penat dan tidak cukup rehat.

Kemudian, saya mula terfikir bagaimana surirumah lain menjalankan bisnes tetapi rumahtangga tetap terjaga. Rupanya sebagai seorang surirumah pun kita perlu bersikap profesional. Istilah profesional bukan hanya di pejabat, malah ianya turut digalakkan untuk dipraktikkan di rumah. Cuba kita bayangkan seharian kita berada di rumah, kerja rumah sentiasa ada. Jika kita tidak profesional, sudah tentu kelam kabut jadinya.

Jawatan suri rumah ini saya lebih gemar gelarkan sebagai jawatan Pengurus Rumahtangga. Bunyinya lebih baik dan hebat kan.

Bagaimana mahu jadi Pengurus Rumahtangga yang profesional? (Wah, macam best sahaja bunyinya kan).

1) Pengurusan Masa Yang Bijak

Untuk menjadi Pengurus Rumahtangga yang profesional memerlukan pengurusan masa yang sangat bijak. Sangat perlu untuk kita tetapkan waktu untuk melakukan sesuatu pekerjaan walaupun ianya sekecil-kecil kerja. Tetapkan tempoh waktu untuk membersihkan sesuatu kawasan rumah. Jika tempoh waktu yang kita tetapkan itu telah habis, jangan cuba tangguhkan waktu itu. Beralih ke pekerjaan yang lain pula, mengikut keutamaan pekerjaan. Contohnya, jika kita tetapkan waktu 5-10 minit waktu untuk melipat kain baju, gunakan waktu 5-10 minit tersebut dengan semaksima mungkin. Jika masa sudah tamat, tapi belum siap melipat baju, hentikan dahulu pekerjaan itu dan teruskan dengan pekerjaan lain. tetapkan waktu lain untuk sambung melipat pakaian tersebut. Hal ini adalah untuk mengelakkan kita tertumpu hanya pada melipat pakaian itu sehingga boleh memakan waktu sehingga 1 jam. Kan membazir waktu namanya tu.    

2) Perlunya Ada Senarai Perjalanan Aktiviti Harian.

Untuk mendisiplinkan diri kita menguruskan masa dengan  bijak, kita perlu ada senarai aktiviti harian kita. Senarai ini boleh dicatat dalam bentuk jadual (atau mengikut kesesuaian masing-masing) dan ia sebagai rekod catatan untuk kita lebih tumpu pekerjaan mana yang lebih utama dan perlu didahulukan dan yang mana boleh dikemudiankan. Catat setiap aktiviti pekerjaan harian rumah yang perlu diselesaikan dan kemudian buat senarai keutamaan. Lakukan pekerjaan tersebut mengikut senarai keutamaan. Jangan lupa tetapkan tempoh masa melakukan setiap pekerjaan (seperti di tips no. 1), agar tiada pekerjaan yang tercicir mahupun 'tercuri' masa mana-mana pekerjaan.

3) Menggunakan media sosial Dengan Sebaiknya.

Bagi Pengurus Rumahtangga yang juga menceburi bidang bisnes secara online, tentu sekali anda perlu sentiasa memaparkan iklan pada laman sosial seperti facebook dan instagram bukan? Apabila anda online untuk berbisnes, anda perlu ingat yang anda harus disiplinkan diri supaya tetapkan hati buka laman sosial hanya untuk berbisnes dan share ilmu sahaja. Jangan terlalu leka dalam scroll wall page laman sosial anda dan ambil masa yang lama membaca posting sahabat-sahabat anda. Saya bukan bertujuan untuk menyekat anda bersosial dengan rakan laman sosial. Tetapi anda harus ingat, anda telah memperuntukkan tempoh masa tersebut untuk berbisnes di online. Jika anda mahu melihat perkembangan rakan-rakan anda, peruntukkan tempoh masa lain yang tidak menganggu masa pekerjaan seharian anda sebagai Pengurus Rumahtangga. Anda boleh bertanya khabar rakan-rakan anda semasa berehat atau selepas selesai semua pekerjaan.

Baiklah, rasanya sekadar itu dahulu tips untuk hari ini. Tips-tips seterusnya insya Allah akan datang kita kongsikan lagi ya. Semoga kita menjadi surirumah a.k.a Pengurus Rumahtangga yang profesional dan hebat. Aminn.





Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com