Salam 6 Ramadhan - Bihun Goreng Ringkas - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Salam 6 Ramadhan - Bihun Goreng Ringkas

23 June 2015

Salam 6 Ramadhan - Bihun Goreng Ringkas

Teks dan gambar: Siti Rahimah Abu Bakar

Semalam encik suami, cikgu Azizan sudah maklumkan awal-awal mengenai perancangannya berbuka puasa bersama rakan-rakan sekerjanya. Jadi, petang ini saya di'hantar' pulang ke rumah emak untuk berbuka bersama emak, ayah serta abang dan adik lelaki. Berbuka puasa hari ini sedikit meriah kerana abang sulung anak beranak turut sama iftar di rumah emak. Suasana serta merta bertukar meriah apabila adanya kanak-kanak.

Sebelum berangkat ke tempat kerja pagi tadi, suami ada berpesan supaya memasak untuk dibawa berbuka nanti. Tujuannya untuk berjimat. Jika membeli di bazar Ramadhan agak mahal harganya, namun belum tentu sedap rasanya.

Tetapi menjelang tengahari, suami terasa mahu makan bihun goreng pula. Alahai, layankan je la. Jadinya, petang ini kita berbuka dengan bihun goreng ringkas-ringkas sahaja la. Kutip sahaja mana-mana bahan yang sedia ada di dapur.

Jom kita layan resipi ringkas saya untuk bekalan suami berbuka di pantai bersama kawan-kawannya. Nanti ada kesempatan saya pun mahu berbuka di pantai juga la. Seronok. Iftar beramai-ramai di taman atau pantai. Tambah-tambah tahun ini sudah bertambah anggota keluarga.

BIHUN GORENG RINGKAS

1/2 bungkus bihun (direndam air panas)
2 ketul isi ayam (potong kecil)
Daging (dipotong kecil)
1 biji telur
4 biji bawang merah (dikisar)
2 biji bawang putih (dikisar)
2 sb cili boh
Nisan kerek/ gula melaka (secukup rasa)
garam secukup rasa
Sawi (dipotong)
Kicap manis
Sedikit air  (jika perlu)

Cara penyediaan:
1) Tumis bahan yang dikisar sehingga kekuningan dan naik bau wangi. Masukkan cili boh. Kacau sehingga pecah minyak.
2) Masukkan daging dan ayam. Kacau sebati. Jika agak kering, masukkan sedikit air supaya ayam dan daging masak dan empuk.
3) Masukkan nisan kerek (gula melaka). Gaul sebati. Biarkan sedikit kering, masukkan sawi dan perasakan garam.
4) Masukkan bihun dan kacau rata. Masukkan kicap. Kacau.
5) Buat sedikit ruang/ lubang di tengah bihun dan pecahkan telur. Kacau rata.
6) Siap dihidangkan. Tabur sedikit hirisan daun sup sebagai hiasan.

~Selamat berbuka~

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com