c#Entri
Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto:
Foto:
Assalamu'laikum. Pada entri yang lepas, saya ada bercerita mengenai kejutan pagi yang telah menyebabkan saya terlompat dan meremang bulu roma. Selepas 2 hari, akhirnya 'suspek' berjaya ditangkap. Alhamdulillah, lega. Hari ini saya akan kongsikan kisah bagaimana ianya ditangkap.
Pada malam 'kejadian', kami telah membeli perangkap tikus dan mengumpannya dengan ikan goreng. Namun, pada malam itu tangkapan tidak berhasil. Terasa agak hampa.
Pada keesokannya, suami mengajak kami pulang ke kampung selama satu hari satu malam kerana katanya mahu belajar memancing dari seorang kawan sekampung. Jarak rumah sewa saya daripada kampung mertua lebih kurang 50 minit perjalanan sahaja. Jadi, tidak menjadi masala besar bagi kami untuk berulang alik.
Sebelum pulang ke kampung, saya telah membersihkan segala peralatan dapur dan menyimpan semua makanan-makanan ke dalam peti sejuk serta membuang saki baki makanan supaya tiada sebarang makanan untuk 'penjaga' baru rumah sewa kami itu. Yang tinggal hanyalah kepingan ikan goreng sebagai umpan di dalam perangkap tikus.
Setelah diyakini segalanya bersih, kami pun pulang ke kampung. Setelah satu hari satu malam di kampung, tibalah masanya kami kembali semula ke rumah sewa.
Dalam perjalanan, sempat juga kami singgah di rumah seorang sahabat yang saya kenali sewaktu di universiti dahulu untuk menghantar romper baju kurung yang dibeli daripada saya. Alhamdulillah, rezeki hari ini.
Sesampainya di rumah sewa, menjejakkan kaki ke dalam rumah, suami mengintai-intai jejak si tikus. Saya terus ke dapur di mana lokasi perangkap tikus yang dipasang. Tatkala melihat perangkap tersebut, secara automatik senyuman terukir di bibir apabila melihat terdapat hasil tangkapan. Alhamdulillah. Saya tidak mampu untuk melihat secara teliti kerana geli, cukuplah sekadar mengerling dengan ekor mata sahaja.
Lantas, saya memanggil suami untuk menguruskan semua urusan berkaitan 'pesalah' yang berada di dalam sangkar tersebut. Saya hanya mampu memberi sokongan daripada belakang. he,he,he
Encik suamilah yang menguruskan semua daripada membuang tikus tersebut dan mencuci kesan- kesan yang ditinggalkan. Rupa-rupanya si tikus tersebut telah kencing di dalam mesin basuh tempat di mana ia 'melahirkan' sebelum ini. Mungkin ia mahu mencari jejak anaknya yang ditinggalkan sebelum ini dan meninggalkan air kencing supaya dapat dijejaki oleh anaknya. Barangkali.
Jenuh juga suami saya membasuh semula ruangan dalam mesin basuh tersebut. Tapi tidak mengapa, kerana si 'dia' yang dikehendaki telah ditangkap. Alhamdulillah. Kini, sudah tiada lagi bunyi-bunyi kehadiran tikus di dalam rumah. Harap-harapnya begitulah.
No comments:
Post a Comment