KEJUTAN PAGI - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: KEJUTAN PAGI

11 June 2015

KEJUTAN PAGI

Alkisahnya pagi tadi seusainya solat subuh, saya mahu menjemur pakaian. Malam sebelumnya saya ada membasuh pakaian menggunakan mesin basuh automatik. Niat hati mahu menjemur terus di bilik belakang selepas siap dibasuh, tetapi bantal memanggil-manggil supaya tidur. Mata memang sudah mengantuk, bantal pula minta disorong, jadi saya pun tidur terus dan sudah pasang niat di hati mahu jemur kain baju sebaik bangun tidur.

Sesudah solat subuh saya pun terus ke mesin basuh untuk mengambil baju yang siap dicuci malam tadi. Alangkah terkejutnya, selepas dibuka penutup mesin basuh, seekor tikus keluar daripada mesin basuh tersebut. Astagfirullahal'azim..terlompat kecil saya. Mak Oi, meremang bulu roma saya.

Saya terus memanggil suami supaya melihat-lihat keadaan sekeliling. Tikus tersebut masuk ke bilik belakang di mana tempat saya menjemur pakaian. Alahai, tak pasal-pasal kena basuh balik kain baju. Saya sudah melompat menjauhkan diri dari mesin basuh. Geli.

Terdetik dalam hati, sejak bila ada tikus dalam rumah ni? Sebelum ni tak pernah nampak pula kelibatnya.
Suami kemudiannya ingin mengambil pakaian di dalam mesin untuk dibasuh semula. Sekali lagi alangkah terkejutnya saya apabila suami memberitahu ada anak tikus di dalam mesin basuh, di atas kain baju yang saya basuh malam tadi.

MasyaAllah. Kali ini berganda-ganda gelinya saya. Serta merta bulu roma berdiri tegak. Lagi jauh saya melompat ke ruang tamu. Saya memang tidak suka dan amat geli akan anak tikus yang merah pink itu. Sebut sahaja perkataan anak tikus, sudah terasa gelinya. Apatah lagi melihat dan mahu mengalihkannya.

Rupanya si tikus ini masuk ke dalam mesin basuh untuk beranak. Saya pun tidak tahu dari arah mana ianya masuk kerana mesin basuh tersebut bertutup rapat.

Nasib baik encik suami ada di rumah. Jika tidak, tidak tahu la apa akan jadi.

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com