#Entri 11
Teks: Siti Rahimah Abu Bakar (sumber: buku 'Istikharah Cinta')
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar
Tanggal 20 Rejab 1436H, genap 2 tahun usia perkahwinan kami. Masih terkenang akan detik ijab dan kabul itu. Pejam celik pejam celik sudah 2 tahun berlalu. Rasanya cepat benar putaran masa. Dari hidup bujang, kemudian berdua, kini sudah bertiga. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah mengurniakan seorang cahaya mata penyeri alam rumahtangga.
Ketika sedang mengemas bilik tadi, saya terjumpa sebuah buku karangan Ummu Anas bertajuk 'Istikharah Cinta'. Buku ini saya beli 3 tahun lepas sejurus sebelum perkenalan dengan encik suami. Buku yang banyak membantu saya dalam memahami erti sebenar istikharah. Jika sebelum ini saya tahu mengenai solat istikharah ini dilakukan untuk membuat keputusan dalam hal berkaitan jodoh sahaja. Sebenarnya saya salah.
Solat istikharah bukan hanya bertujuan dalam hal jodoh, malahan ianya sepatutnya dilakukan dalam setiap keadaan yang memerlukan kita membuat keputusan dalam hidup seharian. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai topik istikharah.
APA ITU ISTIKHARAH
Istikharah bermaksud memohon petunjuk daripada Allah bagi menentukan pilihan dan keputusan yang terbaik. Kita perlu mendirikan solat sunat istikharah apabila berada dalam keadaan buntu untuk membuat keputusan.
Lazimnya, solat istikharah dilakukan dalam urusan menentukan jodoh. Namun sebenarnya solat istikharah perlu ditunaikan merangkumi apa sahaja urusan penting dalam kehidupan kita seperti berpindah kolej atau bertukar tempat kerja. Jika diteliti, dalam apa juga urusan hidup pun memerlukan kita untuk membuat pilihan yang terbaik dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Kita tidak mengetahui sebenar-benarnya apa yang terbaik untuk kita. Mungkin apa yang kita fikir baik, belum tentu terbaik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Justeru, dalam hal ini memohon petunjuk Allah adalah jalan terbaik. Dengan menunaikan solat istikharah, Allah akan melimpahkan petunjuk, ketenangan dan kesejahteraan kepada kita. Hati kita akan menjadi tabah dan teguh dalam menghadapi apa sahaja cabaran hidup. Kita akan rasa kehadiran Allah bersama-sama kita, walaupun di mana kita berada dan dalam apa jua situasi yang kita hadapi.
WAKTU SOLAT SUNAT ISTIKHARAH
Solat sunat istikharah boleh ditunaikan pada bila-bila masa sahaja yang diharuskan bersolat, sama ada pada waktu siang atau malam. Namun, masa yang terbaik adalah pada dua per tiga malam. Sekiranya tidak berupaya untuk tunaikan pada lewat malam, kita boleh mendirikannya selepas solat maghrib atau solat isyak.
terima kasih diatas perkongsian info ini
ReplyDeletesama-sama puan Hamidah Burhan. Sekadar berkongsi sedikit ilmu yang diperoleh.
DeleteTerima kasih kerana sudi menjenguh dan meninggalkan komen di ruang blog saya ini. Saya amat menghargainya. (^_^)
ReplyDelete