Kisah Pertunangan Ringkas Tapi Bersyariat - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Kisah Pertunangan Ringkas Tapi Bersyariat

02 May 2015

Kisah Pertunangan Ringkas Tapi Bersyariat

#Entri 9

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image

"Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau merebut yang empunya agama nescaya kamu berhajat padanya (agama)". (Muttafaq'alaih)


Tarikh 1 Mei pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis kenduri sementelah cuti umum di hujung minggu. Hari ini, dua orang sepupu saya melangsungkan majlis pertunangan di dua majlis berbeza. Seorang sepupu saya sebelah emak dan seorang lagi sepupu suami. Kedua-duanya melangsungkan majlis selepas solat Jumaat. Hajat di hati hendak meraikan majlis sepupu sendiri tapi disebabkan suami sudah berjanji dengan ibu mertua, kami menghadirkan diri ke majlis pertunangan sepupunya di Kg Bukit Bading, HuluTerengganu.

Di sini saya ingin kongsikan sedikit coretan tentang majlis pertunangan tersebut. Majlis berlangsung secara sangat sederhana, sekadar mengikut adat tanpa melanggar syariat. Sepupunya yang dipanggil dengan gelaran kak long mengenakan persalinan pertunangan jubah berwarna krim yang dibeli sendiri (mungkin selepas ini jubah tersebut boleh dipakai lagi) dan wajah dicalit sedikit solekan hasil tangan sepupunya (sekadar untuk elok dipandang). Semasa sedang disolek, sempat juga ditanyakan kepada kak long mengenai bakal tunangannya. Kak long baru berumur 21 tahun manakala bakal tunangnya berumur 24 tahun. Usia yang sesuai (produktif bagi wanita) untuk melayari rumahtangga.

Terdapat sedikit hiasan dinding di ruang tamu yang akan dijadikan ruang menyarung cincin. Hiasan dinding ini digubah oleh ibu mertua saya sehari sebelum majlis. Terdetik di hati bagaimana sesi sarung cincin nanti, kerana bapa saudara suami seorang yang kuat pegangan agama. Tentu sahaja ada mata-mata lelaki bukan muhrim yang akan memandang semasa sesi sarung cincin nanti.

Majlis bermula dengan perbincangan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan. Usai perbincangan, majlis disudahi dengan bacaan doa daripada bapa saudara suami. Hadirin lelaki dijemput makan di ruang halaman rumah, manakala hadirin perempuan meneruskan sesi sarungan cincin. Setelah semua hadirin lelaki turun untuk makan, kak long pun keluar untuk disarungkan cincin di ruangan tersebut disaksikan oleh hadirin wanita sahaja.

Kemudian, sedikit sesi bergambar kenangan kak long dan saudara mara. Kemudian, tetamu wanita dijemput makan di ruang tamu rumah sambil berkenalan dengan tuan rumah. Kak long kemudian masuk semula ke bilik. Usai makan, tetamu pun pulang, majlis pertunangan pun selesai.

Pertama kali saya melihat majlis pertunangan yang dijalankan secara terbuka (cincin disarung di khalayak ramai) tetapi ringkas dan tidak melanggar syariat (tetamu lelaki tidak terlibat semasa sarung cincin yang mana boleh mendatangkan fitnah). Majlis berlangsung dengan lancar

Subhanallah, indahnya Islam. Persiapan majlis pun diadakan dalam tempoh yang singkat iaitu seminggu. Pihak lelaki telah datang merisik 2 minggu yang lepas dan menyatakan hajat untuk datang meminang pada hari ini.

Melihatkan majlis pertunangan kak long itu tadi, teringat kembali detik pertunangan saya dahulu. Dua majlis pertunangan dalam satu hari. Juga pada hari Jumaat. Majlis pertunangan adik saya pada sebelah pagi manakala majlis saya pada petang hari, selepas solat Jumaat. Majlis menggunakan 'pelamin' pertunangan, pakaian persalinan dan mekap yang disewa. Apabila difikirkan, terasa membazir pula menyewa set majlis pertunangan, memakan kos sedangkan ianya boleh diringkaskan. Namun, perkara yang lepas jadikan pengajaran.

Sempat juga saya rakamkan beberapa keping gambar kenangan pada majlis kak long itu tadi. Namun, maaf ya, gambar-gambar majlis tersebut tidak dapat dikongsikan di sini.Tapi insyaAllah konsep dan cara majlis kak long itu boleh dijadikan inspirasi untuk dipraktikkan pada mana-mana majlis pertunangan akan datang. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com