Tips Surirumah Profesional - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Tips Surirumah Profesional

13 May 2015

Tips Surirumah Profesional

#Entri 12

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Carian Google


Sejak bergelar surirumah, baru saya tahu betapa susahnya menjadi seorang surirumah.
Ramai yang beranggapan surirumah jarang keluar rumah, tidak bekerja 8 pagi hingga 5 petang dan mempunyai banyak masa terluang seharian. Ada yang berkata surirumah hanya goyang kaki, tunggu hujung bulan suami bagi duit, kemudian shopping.

Hakikat sebenarnya, menjadi surirumah bukan semudah yang disangka. Bermula bangun pagi, celik mata terus ada sahaja tugasan perlu disiapkan dan tugasan akan berakhir apabila pejam mata untuk tidur di waktu malam. Itu pun belum tentu tugasan dapat disiapkan sepenuhnya. Dan tugasan yang sama akan kembali semula keesokannya, hari berikutnya, minggu seterusnya selama 365 hari setahun. Rutin ini akan berulang untuk tahun seterusnya.

Tambahan lagi jika surirumah yang berbisnes. Lagi la haru biru jadinya. Semasa saya baru mula berjinak-jinak dalam bisnes menjual pakaian kanak-kanak online beberapa bulan dahulu, saya pernah mengalami situasi yang amat memenatkan bagi seorang surirumah. Rumah sudah seperti kapal pecah. Dengan keadaan longgokan kain di dalam bakul yang tidak berlipat, pinggan mangkuk di sinki, pakaian belum bergosok dan sebagainya. Tambahan anak yang masih kecil dan bisnes online yang perlu diuruskan. Terasa sangat penat dan tidak cukup rehat.

Kemudian, saya mula terfikir bagaimana surirumah lain menjalankan bisnes tetapi rumahtangga tetap terjaga. Rupanya sebagai seorang surirumah pun kita perlu bersikap profesional. Istilah profesional bukan hanya di pejabat, malah ianya turut digalakkan untuk dipraktikkan di rumah. Cuba kita bayangkan seharian kita berada di rumah, kerja rumah sentiasa ada. Jika kita tidak profesional, sudah tentu kelam kabut jadinya.

Jawatan suri rumah ini saya lebih gemar gelarkan sebagai jawatan Pengurus Rumahtangga. Bunyinya lebih baik dan hebat kan.

Bagaimana mahu jadi Pengurus Rumahtangga yang profesional? (Wah, macam best sahaja bunyinya kan).

1) Pengurusan Masa Yang Bijak

Untuk menjadi Pengurus Rumahtangga yang profesional memerlukan pengurusan masa yang sangat bijak. Sangat perlu untuk kita tetapkan waktu untuk melakukan sesuatu pekerjaan walaupun ianya sekecil-kecil kerja. Tetapkan tempoh waktu untuk membersihkan sesuatu kawasan rumah. Jika tempoh waktu yang kita tetapkan itu telah habis, jangan cuba tangguhkan waktu itu. Beralih ke pekerjaan yang lain pula, mengikut keutamaan pekerjaan. Contohnya, jika kita tetapkan waktu 5-10 minit waktu untuk melipat kain baju, gunakan waktu 5-10 minit tersebut dengan semaksima mungkin. Jika masa sudah tamat, tapi belum siap melipat baju, hentikan dahulu pekerjaan itu dan teruskan dengan pekerjaan lain. tetapkan waktu lain untuk sambung melipat pakaian tersebut. Hal ini adalah untuk mengelakkan kita tertumpu hanya pada melipat pakaian itu sehingga boleh memakan waktu sehingga 1 jam. Kan membazir waktu namanya tu.    

2) Perlunya Ada Senarai Perjalanan Aktiviti Harian.

Untuk mendisiplinkan diri kita menguruskan masa dengan  bijak, kita perlu ada senarai aktiviti harian kita. Senarai ini boleh dicatat dalam bentuk jadual (atau mengikut kesesuaian masing-masing) dan ia sebagai rekod catatan untuk kita lebih tumpu pekerjaan mana yang lebih utama dan perlu didahulukan dan yang mana boleh dikemudiankan. Catat setiap aktiviti pekerjaan harian rumah yang perlu diselesaikan dan kemudian buat senarai keutamaan. Lakukan pekerjaan tersebut mengikut senarai keutamaan. Jangan lupa tetapkan tempoh masa melakukan setiap pekerjaan (seperti di tips no. 1), agar tiada pekerjaan yang tercicir mahupun 'tercuri' masa mana-mana pekerjaan.

3) Menggunakan media sosial Dengan Sebaiknya.

Bagi Pengurus Rumahtangga yang juga menceburi bidang bisnes secara online, tentu sekali anda perlu sentiasa memaparkan iklan pada laman sosial seperti facebook dan instagram bukan? Apabila anda online untuk berbisnes, anda perlu ingat yang anda harus disiplinkan diri supaya tetapkan hati buka laman sosial hanya untuk berbisnes dan share ilmu sahaja. Jangan terlalu leka dalam scroll wall page laman sosial anda dan ambil masa yang lama membaca posting sahabat-sahabat anda. Saya bukan bertujuan untuk menyekat anda bersosial dengan rakan laman sosial. Tetapi anda harus ingat, anda telah memperuntukkan tempoh masa tersebut untuk berbisnes di online. Jika anda mahu melihat perkembangan rakan-rakan anda, peruntukkan tempoh masa lain yang tidak menganggu masa pekerjaan seharian anda sebagai Pengurus Rumahtangga. Anda boleh bertanya khabar rakan-rakan anda semasa berehat atau selepas selesai semua pekerjaan.

Baiklah, rasanya sekadar itu dahulu tips untuk hari ini. Tips-tips seterusnya insya Allah akan datang kita kongsikan lagi ya. Semoga kita menjadi surirumah a.k.a Pengurus Rumahtangga yang profesional dan hebat. Aminn.





No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com