Teks dan Foto: Siti Rahimah Abu Bakar
Beberapa hari yang lepas saya, suami serta anak kami singgah di Sabasun HyperRuncit, Kuala Terengganu untuk membeli belah keperluan dapur. Niat asalnya ingin mencari air zamzam untuk diberikan kepada anakanda, Adawiyah. Namun, tidak ditemui pula air zamzam tersebut di Sabasun.
Mungkin sudah habis stok agaknya. Alang-alang sudah menjejakkan kaki di Sabasun ini, apa salahnya terus membeli keperluan dapur mana-mana yang sudah hampir habis kan? Si suami pula mendapat apa yang dihajatinya iaitu sotong. Katanya mahu dibuat Ketupat Sotong.
Sebenarnya saya suka membeli belah di Sabasun ini kerana suasananya yang tenang dan damai. Sabasun merupakan salah satu pasaraya milik bumiputera Melayu sepenuhnya, anak jati Terengganu. Pekerja-pekerjanya pula semuanya Melayu Islam, tiada seorang pun bangla mahupun warga asing. Tidak seperti kebanyakan pusat beli belah lain yang dipenuhi warga asing yang diambil bekerja.
Menurut sumber laman web Sabasun, secara ringkasnya Sabasun ditubuhkan pada 2 April 1995 dengan nama Sabasun Sdn Bhd. Pada awal operasi, hanya 8 orang pekerja yang bertugas dan terdiri daripada ahli keluarga terdekat. Namun kini, Sabasun sudah mempunyai cawangan baru dan pekerjanya melebihi 200 orang. Satu pencapaian yang sangat baik bagi peniaga Bumiputera, Melayu Muslim yang berniaga berkonsepkan islamik.
Sabasun HyperRuncit Kuala Terengganu
Gambar kedai Sabasun sebelum berkembang menjadi HyperRuncit.
Menjengah masuk ke dalam Sabasun, hati terasa sungguh tenang dek alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan alunan zikir memuji kebesaran Allah. Sedikit sebanyak bibir ini turut sama berzikir. Itulah kelebihan Sabasun HyperRuncit berbanding pasaraya atau pusat beli belah lain.
Teringat lagi di awal usia perkahwinan kami dahulu, kami pernah singgah di Sabasun untuk membeli sedikit barangan di waktu lewat petang. Sudah hendak masuk waktu Maghrib sebenarnya. Saya dan suami baru selesai aktiviti jogging di Bukit Panorama berhampiran Sabasun HyperRuncit dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Sudah alang-alang, kami singgah membeli sedikit barang keperluan. Melangkah masuk ke dalam pasaraya, azan Maghrib berkumandang. Kaki tiba-tiba terasa berat untuk melangkah masuk kerana pasaraya lengang, cuma terdapat beberapa orang pembeli sahaja. Jelas kelihatan pekerja lebih ramai berbanding pengunjung. Tidak seperti waktu-waktu lain yang sentiasa dipenuhi pengunjung.
Serta merta malu menghimpit kami. Malu kepada pekerja Sabasun kerana memikirkan di waktu azan Maghrib berkumandang, kami masih di jalanan (di dalam pasaraya beli belah sebenarnya). Kami tidak menunggu lama, cepat-cepat kami mengambil apa-apa barangan yang diperlukan dan terus membuat pembayaran. Semasa di kaunter pembayaran, jelas kami lihat pekerja-pekerja di kaunter bangun bergilir-gilir menuju ke ruang surau untuk solat. Lagi sekali kami merasa malu.
Semasa di kaunter pembayaran, sempat juga saya melihat terdapat nota yang dilekatkan di setiap kaunter yang menyatakan hadis tentang kewajipan bersolat. Mungkin pesanan itu daripada pemilik atau pengurus pasaraya untuk peringatan pekerja-pekerja. Subhanallah, indahnya apabila berniaga mengikut syariat Islam.
Waktu-waktu begini berbeza suasananya jika dilihat di pasaraya atau pusat beli belah lain. Kebanyakkannya dipenuhi pengunjung terutamanya di waktu Maghrib. Tidak dinafikan, di pusat membeli belah kebiasaannya terdapat surau untuk kemudahan bersolat. Namun, belum tentu ianya dimanfaatkan oleh semua orang.
Sejak dari peristiwa malu di waktu Maghrib itu, kami tidak lagi menjejakkan kaki di Sabasun pada waktu Maghrib. Kami akan pergi pada siang hari ataupun selepas Isyak.
No comments:
Post a Comment