Teks: Siti Rahimah Abu Bakar.
Benarlah janji Allah itu Pasti.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Limpahan syukur dipanjatkan atas rezeki yang tidak disangka-sangka yang dikurniakan.
Semalam, saya mendapat panggilan telefon daripada bekas rakan sekerja, Kak Ros bertanyakan mengenai bisnes yang sedang saya usahakan. Panggilan tersebut tidak sempat saya jawab dek kerana sibuk melayan karenah anak syurga, Adawiyah yang sedang aktif naik turun tangga dapur. Almaklum la, orang baru pandai panjat memanjat. Belum pun pandai jalan tapi sudah berani naik turun tangga sambil tersengih-sengih. Risau pula kita yang melihatnya.
Kak Ros kemudiannya menghantar pesanan melalui aplikasi Whatsapp. Beliau bertanya samada saya berminat atau tidak berniaga di pasar tani kerana katanya pejabat ada mengadakan satu program Bazar Wanita. Jika saya berminat, beliau minta saya untuk mendengar taklimat terperinci pada esok hari.
Dalam hati tertanya-tanya juga program apakah ia. Namun, timbul keinginan untuk turut serta walaupun belum tahu lebih lanjut. Kebiasaannya, seperti tahun-tahun semasa saya masih lagi bekerja, pejabat sentiasa menjalankan aktiviti untuk menjana pendapatan wanita-wanita secara jangka panjang dan juga aktivit ad-hoc.
Saya kira mungkin program yang disuarakan oleh Kak Ros ini program jangka pendek sahaja melibatkan program jualan selama separuh atau satu hari. Tak mengapa la, apa salahnya saya ikut serta. Sekiranya tidak menepati skop bisnes saya, sekurang-kurangnya saya telah hadir mendengar taklimat. Tambahan pula, sudah lama tidak bertemu sahabat-sahabat di pejabat, boleh juga bersua muka kembali.
Keesokan harinya (yakni hari ini), selepas mendapat keizinan suami, seperti dijanjikan saya pergi ke Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu. Saya hadir sedikit awal sepertimana dipesan oleh Kak Ros, kerana Pengarah ingin berjumpa terlebih dahulu. Setelah agak lama tidak menjejakkan kaki ke pejabat, terasa kekok pula ingin berhadapan dengan bekas bos.
Setelah Pengarah menjelaskan serba sedikit tentang program, taklimat penuh dimulakan di dewan Anjung Wanita. Rupa-rupanya program yang akan dijalankan ini merupakan program jangka panjang. Saya dipanggil sebagai calon simpanan sekiranya terdapat peserta yang tidak hadir atau tarik diri.
Saya tidak meletakkan harapan untuk mendapat tempat kerana sememangnya sudah penuh kuota seramai 20 orang peserta. Namun, hendak dijadikan rezeki saya, terdapat seorang peserta yang tidak dapat hadir kerana baru menjalani pembedahan di hospital. Jadi, saya diberikan peluang untuk menyertai program Bazar Wanita ini.
Alhamdulillah, Allah telah membuka hati Kak Ros untuk menghubungi saya. Hendak dijadikan rezeki saya. Berdasarkan taklimat yang diberikan oleh pegawai dari FAMA dan Persatuan Pasar Tani, mereka membuka peluang kepada peniaga wanita untuk berniaga di tapak Pasar Tani dengan kerjasama bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu. Operasi Pasar Tani adalah pada setiap hari Khamis dan Sabtu, bermula 7.00 pagi sehingga 2.00 petang.
Maka bermulalah perniagaan pakaian kanak-kanak yang saya usahakan ini secara rasmi. Sebelum ini, bisnes hanyalah di atas talian (online). Alhamdulillah, syukur rezeki yang tidak disangka-sangka, peluang berbisnes di luar talian (offline) pula. Maka, bermulalah juga misi mendapatkan peralatan-peralatan yang diperlukan untuk berniaga, kerana bisnes di Pasar Tani ini akan bermula pada 3 September 2015. Sudah dekat tarikhnya. Lagi pula, saya orang baru dalam bidang ini, terasa sedikit debarnya.
Kepada pembaca yang berada di Terengganu yang ingin mendapatkan pakaian kanak-kanak cantik dengan harga yang berpatutan, bolehlah berkunjung ke gerai jualan UmmiAdawiyah Kidswear di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu setiap Khamis dan Sabtu bermula 3 September 2015 ya. =D
No comments:
Post a Comment