#entri 56
Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Sesungguhnya diri kita ini milik Allah. Jasad dan nyawa kita di dunia ini hanya pinjaman sementara sahaja.
Malam tadi kira-kira jam 11 malam ketika Kak Siti sedang lena diulit tidur, encik suami kejutkan dan beritahu perkhabaran kematian seorang jiran di kampung. Arwah merupakan sahabat baik tokma (mak mertua) yang Kak Siti kenali dengan nama Mok Yah.
Innalillahi wa innailaihirojiun. Serta merta cerah biji mata Kak Siti, terkejut dengan perkhabaran itu. Manakan tidak, baru minggu lepas Kak Siti bertemu arwah semasa tokma mengadakan majlis kesyukuran. Kak Siti sempat juga berbual dan bergurau dengan Mok Yah. Ketika itu arwah kelihatan agak kurang sihat. Mungkin itu salah satu tanda beliau akan pergi meninggalkan dunia.
Mok Yah merupakan sahabat tokma pertama yang Kak Siti kenali, sebelum Kak Siti mendirikan rumahtangga lagi. Kak Siti mengenali beliau ketika sama-sama dalam satu rombongan lawatan ke Melaka 4 tahun yang lepas.
Tidak disangka, beliau telah kembali ke rahmatullah pada malam Jumaat yang penuh barokah. Semoga rohnya dicucuri rahmat, dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Aminn.
Kelahiran itu sesuatu yang tidak diduga tarikhnya. Kematian itu pula tidak dapat ditunda tarikhnya. Ianya akan menjemput kita tepat pada masanya. Tidak awal atau lewat walau sesaat. Sama-samalah kita beringat dan saling berbuat kebaikan sebagai bekalan kita di sana nanti.
No comments:
Post a Comment