#entri 63
Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Hari ni hari sukan negara ya? Siti ingatkan hari sukan sekolah saja. He,he,he.
Pagi tadi Siti bersama suami dan anak keluar bersarapan di kedai makan dalam bandar Kuala Terengganu. Dalam perjalanan Siti perasan banyak kenderaan di setiap sekolah. Kalau diikutkan hari ini cuti hari minggu. Kakak ipar dan adik ipar Siti ada beritahu bahawa hari ini Hari Sukan. Siti ingatkan Hari Sukan Sekolah sahaja. Rupanya ia Hari Sukan Negara.
Patutlah sini sana ada saja orang bersukan. Di setiap sekolah penuh padang dengan aktiviti sukan pelajar-pelajar. Apabila melalui depan balai polis pun rasa pelik, anggota-anggota polis sedang bersukan di padang. Apabila kami melaui pantai Batu Burok semasa dalam perjalanan pulang, jalan di hadapan dataran ditutup kerana ada aktiviti sukan. Melepasi jalan ke Kuala Ibai pun polis trafik jaga jalan kerana ada larian.
Siti ingatkan kawasan bandar saja yang ada aktiviti bersukan. Rupanya di kawasan kampung pun tidak kurang juga. Kami melalui jalan kampung di Kampung Sungai Derhaka (kampung sebelah) pun belia-belia dan orang kampung sedang bermain bola di padang. Mungkin di peringkat JKKK. Meriah betul suasana perjalanan pagi ini. Kita yang hanya melihat suasananya pun turut sama rasa sihat.
Rupanya Siti ini sudah ketinggalan dalam info semasa. Almaklumlah, sudah lama tidak menonton siaran berita di televisyen. Bermedia sosial pun sekadar mengemaskini status dan berbisnes sahaja.
Tengah hari tadi kami ke Pasaraya Nirwana untuk membeli barangan keperluan. Semasa mencari barang, suami bertanya tentang tali 'skipping'. Sudah lama Siti berniat hendak membelinya tapi selalu lupa. Alang-alang suami dah bertanya dan kebetulan hari ini Hari Sukan Negara, apa kata belikan sajalah. Jika ada masa bolehlah lompat-lompat tali skipping tu dalam rumah. Nak main di luar rumah, rasanya jauh sekali. Malu pula, melompat-lompat dengan badan yang 'sado' ni. He, he, he. Tapi masalahnya bilalah boleh dimulakan lompatan tali 'skipping' itu. Badan terasa berat untuk melompat. Agak lama sudah tidak bersenam.
Apa-apa pun, Siti nak ucapkan Selamat Hari Sukan untuk semua..
Majulah Sukan Untuk Sihat..😁😁😂
No comments:
Post a Comment