Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Carian Google

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, hari ini sehari bersamaan 24 jam si
Adawiyah tanpa lampin pakai buang (pampers). Hari ini ummi
hendak ucapkan tahniah dan tepukan gemuruh untuk anakanda Adawiyah. Nak
dijadikan cerita, semalam kami tidak keluar ke mana-mana, terperuk di rumah
sahaja bersama Adawiyah melakukan tugasan harian.
Terdetik di hati, hendak menguji
si anak. Sebelum ini ummi sudah ajar dia perlahan-lahan. Tapi dalam sehari
akan pakai juga lampin walau sekali. Tapi semalam, ummi nak uji dia tanpa pampers selama 24 jam.
Di siang hari, selepas bangun
tidur dan bersiap mandi, ummi tidak bagi Adawiyah pakai lampin. Ummi pesan
pada dia, kalau hendak buang air kena pergi bilik air. Tak boleh kencing
merata-rata. dia angguk sahaja. Sambil melakukan kerja rumah, mulut ummi ni
selalu pot pet bertanya Adawiyah sama ada nak membuang air atau tidak.
Alhamdulillah, sepanjang
siang hari, Adawiyah sudah pandai ke tandas kalau nak kencing. Ummi agak
terkejut dengan perkembangan tersebut. Cuma hanya sekali dia terkucil juga,
tidak sempat ke tandas, sebab berada jauh sangat dari tandas. Tapi bab buang
air besar sahaja lagi perlu diajar lagi. Dua kali dia terbuang dalam seluar,
baru beritahu ummi. Alahai, tidak mengapalah, dia belum biasa lagi. Belajar
sedikit-sedikit. Tapi kan, nasib baiklah dia membuang dalam seluar, bolehlah
ummi basuh terus saja. Kalaulah dia membuang merata, jawabnya jenuhlah si ummi
ni nak menyental lantai rumah.
Pada malamnya, sebelum tidur, Ummi tanya Adawiyah
hendak pakai pampers atau
tidak. Dijawabnya tidak mahu sebab dia sudah besar. Alahai, pandai pula dia menjawab.
Okey, kita cuba tidur tanpa pampers.
Ummi siap letak plastik di bawah cadar, bimbang basah tilam jika dia kencing.
Punyalah panas tidur beralaskan plastik, walaupun plastik itu di bawah cadar.
Tapi, hendak buat macam mana, bersabarlah demi anak.
Sepanjang malam ummi tidak dapat tidur lena. Asyik
terbangun sahaja, tengok anak di sebelah. Sama ada basah atau tidak seluarnya.
Sampaikan ummi termimpi yang bukan-bukan. Mungkin terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Sampai ke pagi ini, Ummi tengok kering sahaja seluar
Adawiyah. Cadar pun kering. Tiada tanda-tanda kencing malam. Hai, rasa pelik
pula, biasanya kalau pakai pampers,
memang penuh pampers di pagi hari.
Lepas Adawiyah bangun tidur, terus dia beritahu nak
kencing. Ummi tunggu dia membuang. Banyak juga kencingnya. Jadi, memang
betul-betul tidak kencing malam la dia malam tadi, kalau dilihat pada kuantiti
air kencing itu.
Alhamdulillah, lulus ujian tidur tanpa pampers Adawiyah untuk malam pertama. Kita
tengok malam ini pula bagaimana keadaannya. Harap-harap berjalan lancar
jugalah. Dapat la ummi jimat duit beli pampers.
Kalau tidak lancar, alamatnya jenuhlah ummi hendak membasuh cadar tiap-tiap
hari.
Tahniah anakku.
No comments:
Post a Comment