Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat
Istikharah: Allah Tempat Memohon Petunjuk

Istikharah: Allah Tempat Memohon Petunjuk

#Entri 11

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar (sumber: buku 'Istikharah Cinta')
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar



Tanggal 20 Rejab 1436H, genap 2 tahun usia perkahwinan kami. Masih terkenang akan detik ijab dan kabul itu. Pejam celik pejam celik sudah 2 tahun berlalu. Rasanya cepat benar putaran masa. Dari hidup bujang, kemudian berdua, kini sudah bertiga. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah mengurniakan seorang cahaya mata penyeri alam rumahtangga.

Ketika sedang mengemas bilik tadi, saya terjumpa sebuah buku karangan Ummu Anas bertajuk 'Istikharah Cinta'. Buku ini saya beli 3 tahun lepas sejurus sebelum perkenalan dengan encik suami. Buku yang banyak membantu saya dalam memahami erti sebenar istikharah. Jika sebelum ini saya tahu mengenai solat istikharah ini dilakukan untuk membuat keputusan dalam hal berkaitan jodoh sahaja. Sebenarnya saya salah.

Solat istikharah bukan hanya bertujuan dalam hal jodoh, malahan ianya sepatutnya dilakukan dalam setiap keadaan yang memerlukan kita membuat keputusan dalam hidup seharian. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai topik istikharah.


APA ITU ISTIKHARAH

Istikharah bermaksud memohon petunjuk daripada Allah bagi menentukan pilihan dan keputusan yang terbaik. Kita perlu mendirikan solat sunat istikharah apabila berada dalam keadaan buntu untuk membuat keputusan.

Lazimnya, solat istikharah dilakukan dalam urusan menentukan jodoh. Namun sebenarnya solat istikharah perlu ditunaikan merangkumi apa sahaja urusan penting dalam kehidupan kita seperti berpindah kolej atau bertukar tempat kerja. Jika diteliti, dalam apa juga urusan hidup  pun memerlukan kita untuk membuat pilihan yang terbaik dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Kita tidak mengetahui sebenar-benarnya apa yang terbaik untuk kita. Mungkin apa yang kita fikir baik, belum tentu terbaik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Justeru, dalam hal ini memohon petunjuk Allah adalah jalan terbaik. Dengan menunaikan solat istikharah, Allah akan melimpahkan petunjuk, ketenangan dan kesejahteraan kepada kita. Hati kita akan menjadi tabah dan teguh dalam menghadapi apa sahaja cabaran hidup. Kita akan rasa kehadiran Allah bersama-sama kita, walaupun di mana kita berada dan dalam apa jua situasi yang kita hadapi.


WAKTU SOLAT SUNAT ISTIKHARAH

Solat sunat istikharah boleh ditunaikan pada bila-bila masa sahaja yang diharuskan  bersolat, sama ada pada waktu siang atau malam. Namun, masa yang terbaik adalah pada dua per tiga malam. Sekiranya tidak berupaya untuk tunaikan pada lewat malam, kita boleh mendirikannya selepas solat maghrib atau solat isyak.
JUALAN BUKU: BIG BAD WOLF

JUALAN BUKU: BIG BAD WOLF

#Entri 10

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Semalam beberapa orang rakan di laman sosial facebook ada menceritakan tentang satu jualan buku "The Big Bad Wolf Book Sale Terengganu" yang diadakan di Pusat Gymnasium Unisza Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu. Rasa hati ingin juga pergi meninjau-ninjau. Mana la tahu kalau-kalau ada buku yang diingini. 

Petang tadi, selepas suami pulang dari mengajar, kami terus ke jualan buku tersebut. Boleh tahan juga ramai pengunjung yang hadir. Suasana pun meriah, banyak buku yang dijual. Namun, agak mendukacitakan kerana tiada buku yang berkenan di hati untuk dibawa pulang. Cuma dapat membeli satu set buku My First Learning Library untuk Adawiyah. Terdapat 3 buah buku asas ABC, 123, dan Words. Tidak mengapalah. sekurang-kurangnya ada juga buah tangan yang boleh dibawa pulang untuk si manja Adawiyah ini.


Satu set buku untuk Adawiyah. Salah satu cara untuk mendekatkan Adawiyah kepada buku.

 Kisah Pertunangan Ringkas Tapi Bersyariat

Kisah Pertunangan Ringkas Tapi Bersyariat

#Entri 9

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image

"Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau merebut yang empunya agama nescaya kamu berhajat padanya (agama)". (Muttafaq'alaih)


Tarikh 1 Mei pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis kenduri sementelah cuti umum di hujung minggu. Hari ini, dua orang sepupu saya melangsungkan majlis pertunangan di dua majlis berbeza. Seorang sepupu saya sebelah emak dan seorang lagi sepupu suami. Kedua-duanya melangsungkan majlis selepas solat Jumaat. Hajat di hati hendak meraikan majlis sepupu sendiri tapi disebabkan suami sudah berjanji dengan ibu mertua, kami menghadirkan diri ke majlis pertunangan sepupunya di Kg Bukit Bading, HuluTerengganu.

Di sini saya ingin kongsikan sedikit coretan tentang majlis pertunangan tersebut. Majlis berlangsung secara sangat sederhana, sekadar mengikut adat tanpa melanggar syariat. Sepupunya yang dipanggil dengan gelaran kak long mengenakan persalinan pertunangan jubah berwarna krim yang dibeli sendiri (mungkin selepas ini jubah tersebut boleh dipakai lagi) dan wajah dicalit sedikit solekan hasil tangan sepupunya (sekadar untuk elok dipandang). Semasa sedang disolek, sempat juga ditanyakan kepada kak long mengenai bakal tunangannya. Kak long baru berumur 21 tahun manakala bakal tunangnya berumur 24 tahun. Usia yang sesuai (produktif bagi wanita) untuk melayari rumahtangga.

Terdapat sedikit hiasan dinding di ruang tamu yang akan dijadikan ruang menyarung cincin. Hiasan dinding ini digubah oleh ibu mertua saya sehari sebelum majlis. Terdetik di hati bagaimana sesi sarung cincin nanti, kerana bapa saudara suami seorang yang kuat pegangan agama. Tentu sahaja ada mata-mata lelaki bukan muhrim yang akan memandang semasa sesi sarung cincin nanti.

Majlis bermula dengan perbincangan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan. Usai perbincangan, majlis disudahi dengan bacaan doa daripada bapa saudara suami. Hadirin lelaki dijemput makan di ruang halaman rumah, manakala hadirin perempuan meneruskan sesi sarungan cincin. Setelah semua hadirin lelaki turun untuk makan, kak long pun keluar untuk disarungkan cincin di ruangan tersebut disaksikan oleh hadirin wanita sahaja.

Kemudian, sedikit sesi bergambar kenangan kak long dan saudara mara. Kemudian, tetamu wanita dijemput makan di ruang tamu rumah sambil berkenalan dengan tuan rumah. Kak long kemudian masuk semula ke bilik. Usai makan, tetamu pun pulang, majlis pertunangan pun selesai.

Pertama kali saya melihat majlis pertunangan yang dijalankan secara terbuka (cincin disarung di khalayak ramai) tetapi ringkas dan tidak melanggar syariat (tetamu lelaki tidak terlibat semasa sarung cincin yang mana boleh mendatangkan fitnah). Majlis berlangsung dengan lancar

Subhanallah, indahnya Islam. Persiapan majlis pun diadakan dalam tempoh yang singkat iaitu seminggu. Pihak lelaki telah datang merisik 2 minggu yang lepas dan menyatakan hajat untuk datang meminang pada hari ini.

Melihatkan majlis pertunangan kak long itu tadi, teringat kembali detik pertunangan saya dahulu. Dua majlis pertunangan dalam satu hari. Juga pada hari Jumaat. Majlis pertunangan adik saya pada sebelah pagi manakala majlis saya pada petang hari, selepas solat Jumaat. Majlis menggunakan 'pelamin' pertunangan, pakaian persalinan dan mekap yang disewa. Apabila difikirkan, terasa membazir pula menyewa set majlis pertunangan, memakan kos sedangkan ianya boleh diringkaskan. Namun, perkara yang lepas jadikan pengajaran.

Sempat juga saya rakamkan beberapa keping gambar kenangan pada majlis kak long itu tadi. Namun, maaf ya, gambar-gambar majlis tersebut tidak dapat dikongsikan di sini.Tapi insyaAllah konsep dan cara majlis kak long itu boleh dijadikan inspirasi untuk dipraktikkan pada mana-mana majlis pertunangan akan datang. InsyaAllah..
Durian Oh Durian

Durian Oh Durian

#Entri 8

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Entri yang tertunggak. Sudah lama peram, hari ini baru dapat dikongsikan. Kisahnya, minggu lepas selepas pulang dari kerja, suami mengajak kami pusing-pusing kampung. Hendak bawa Adawiyah jalan-jalan katanya. Pusing punya pusing, hati terasa ingin masuk bandaraya Kuala Terengganu. Lalu, kami pun meredah kesibukan jalanraya  memasuki pusat bandaraya. Nasib baik waktu itu sudah jam 6 petang, keadaan jalanraya di pusat bandar sudah agak lengang kerana kebanyakan pekerja waktu pejabat sudah mulai pulang ke rumah masing-masing.

Ketika melalui Pasar Payang, deria hidung mulai menghidu bau durian dari gerai-gerai di tepi jalan. Alahai menggoda iman betul. Tapi disebabkan tiada parking, kami tak jadi beli. Sesampainya di rumah, encik suami masih terkenang-kenang akan buah durian.

Salah satu gerai buah durian di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Maka, pada petang keesokan harinya sekali lagi kami pergi ke Pasar Payang untuk membeli durian. Rata-rata gerai yang dikunjungi menjual durian dari Thailand. Pelbagai jenis nama durian yang ada seperti Musang King, Kancing Baju, Telur Buaya dan sebagainya yang sebelum ini tidak pernah didengari. Agak lucu nama-nama durian yang ada di situ. Kalau ikutkan, saya ini tahu makan saja durian, jika ditanya nama, memang tidak tahu. Asal rasanya sedap, tak kisah la namanya apa.

Setelah meninjau beberapa gerai dan dikenalpasti gerai yang paling murah dan isi durian nampak cantik, kami pun memilih 2 biji durian jenis Kancing Baju. Harga yang dipaparkan RM15 sekilogram. Bila ditimbang, 2 biji durian saiz sederhana yang kami pilih melebihi 2 kilogram. Harganya RM37. Alahai mahalnya, 2 biji RM37. Sangat berbeza harganya, tidak seperti tahun lepas, beberapa biji durian dibeli dengan harganya tidak sampai RM20. Tapi disebabkan si suami tersayang mahu makan pengat durian, terpaksa la membelinya walaupun harga tidak munasabah. Tambahan pula saya pun sudah lama tidak menjamah buah durian.

Dua biji durian saiz sederhana yang kami beli. Sebiji dibuat pengat, sebiji lagi masuk mulut terus selepas dikopek.

Pulang sahaja ke rumah, saya terus bergegas ke dapur. Lagi cepat masak, lagi cepat boleh makan pengat durian. Cara penyediaannya sangat mudah dan rasanya sudah pasti sedap, lemak manis tambah dimakan bersama pulut. Tidak kisah la pulut dimasak secara kukus atau ditanak. Siap memasak, encik suami terus makan. Jilat jari dibuatnya. Selebihnya disimpan dalam peti sejuk untuk disejukkan. Kata suami, lagi sedap dimakan apabila disejukkan.

Panjang la pula ceritanya. Jom la kita jengah resipinya.



PENGAT DURIAN BERSAMA PULUT

Bahan-bahan;

Untuk pulut:
- 1 gelas beras pulut - dibasuh 3 kali dan ditoskan
- 3/4 gelas air
- 2-3 titik minyak

Untuk pengat:
- 5-6 ulas buah durian
- santan
- nisan kerek/ gula melaka
- secubit garam
- gula (jika perlu - ikut tahap kemanisan diingini)
-  daun pandan (disimpul)

Cara penyediaan:
1) Untuk memasak pulut, tanak beras pulut bersama air dan masukkan 2-3 titis minyak. Minyak digunakan supaya nasi tidak melekat pada senduk ketika menceduk nanti. Tapi jangan terlalu banyak ya.
2) Untuk penyediaan pengat, satukan santan, nisan kerek, garam dan daun pandan. Masak sehingga nisan kerek hancur. Kemudian masukkan isi durian, kacau sehingga isi durian agak lembut dan kuah pekat sedikit (jika ingin sedikit manis, boleh tambahkan gula).
3) Tutup api dan hidangkan pengat bersama pulut.

*Sedap dimakan panas-panas mahupun disejukkan terlebih dahulu.
Tips Untuk Sihat: Minum Air Putih

Tips Untuk Sihat: Minum Air Putih

#Entri 7

Teks:Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image

Setiap manusia terutamanya kaum wanita ingin kelihatan cantik kan?. Pernah atau tidak anda dengar ungkapan kecantikan seorang wanita bermula dari dalaman, bukan sekadar kecantikan luaran, yang kebanyakannya diselaputi mekap tebal. Hari ini saya ingin kongsikan salah satu tips untuk cantik dan sihat. 

Dalam cuaca yang tersangat panas sekarang, badan kita mudah untuk kehilangan bendalir dalam badan. Kehilangan bendalir badan menyebabkan kulit cepat kering dan badan kita menjadi lesu. Justeru, kita perlu untuk top up bendalir dalam badan dengan minum air bagi menggantikan air yang telah hilang.


Tahukah anda keperluan air seseorang bergantung kepada berat badan seseorang individu. Namun, kebiasaannya seorang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Tetapi, bagi sesetengah individu, boleh jadi sesuatu yang mustahil untuk minum air sebanyak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Lagi-lagi bagi mereka yang bekerja di dalam pejabat yang mana tidak menggunakan kudrat 4 kerat yang kuat.

Sebenarnya terdapat beberapa cara yang boleh dipraktikkan untuk memastikan kita dapat minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Di sini saya kongsikan bagaimana cara yang saya gunakan setiap hari.

1) Kenalpasti berapa gelas atau berapa liter air yang diperlukan oleh badan kita setiap hari.

2) Mulakan minum segelas air putih selepas bangun tidur iaitu sebelum ke bilik air untuk cuci muka dan berus gigi.

Jika difikirkan memang terasa agak menggelikan untuk minum air sebelum menggosok gigi. Namun, hakikatnya ia baik untuk sistem perkumuhan badan kita.

3) Amalkan minum segelas air setiap jam iaitu lebih kurang 300ml. Secara automatik, dalam masa 8 jam kita sudah minum sekurang-kurangnya 8 gelas air bersamaan 2.4 liter air;

4) Atau kita boleh juga menggunakan botol air besar. Biasakan diri dengan membawa botol air besar 1 liter atau 2 liter dan habiskan air tersebut dalam sehari. Jika anda menggunakan botol air 1 liter, pastikan anda menambah kuantiti air dalam botol tersebut yakni bersamaan sekurang-kurangnya 2 botol tersebut setiap hari.

5) Biasakan diri untuk tidak terus minum air sejurus selepas makan. Tunggu sekurang-kurangnya 30 minit selepas makan barulah minum air untuk memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan rasa mengantuk selepas makan. Apabila kita minum air sejurus selepas makan, perut akan penuh dan sukar untuk kita minum air pada jam berikutnya.

6) Amalkan minum segelas atau dua gelas air putih sebelum tidur untuk proses pembuangan toksin semasa tidur.

** Ibu yang menyusukan bayi dengan susu badan (ASI) perlu mengambil air putih sekurang-kurangnya 3 liter sehari.

Jika anda rasa air putih itu tawar dan tiada rasa, apa kata kita cuba maniskan air tersebut tanpa menggunakan gula yang mana kita tahu bahaya untuk badan. Jom saya kongsikan bagaimana mahu sedapkan air putih tanpa kalori.

Titiskan satu atau dua titik pemanis stevia ke dalam air putih dan minum. Pemanis stevia ini estrak daripada daun stevia. Bukan campuran bahan-bahan kimia. ia tiada kalori dan bebas dari unsur gula. Daun stevia itu sendiri memamg sudah manis rasanya.

Sihat itu cantik.
Cantik tapi tidak sihat itu penyakit.

Kalau ada yang ingin mencuba pemanis stevia ini, jangan segan silu boleh hubungi saya 012-9636285.

Resipi Tempe Goreng Bersama Kentang

Resipi Tempe Goreng Bersama Kentang

#Entri 6

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Selepas beberapa bulan, akhirnya Adawiyah dapat bertemu sepupunya, Zahra yang pulang bercuti di kampung. Pertama kali bertemu Zahra selepas pantang dahulu tapi ketika itu Adawiyah dan Zahra kecil lagi. Tak pandai nak main-main lagi. Sekarang Adawiyah sudah 7 bulan lebih, dan Zahra pun sudah 6 bulan. Boleh la main cuit-cuit, tepuk-tepuk, mandi dalam besen sama-sama. Seronok Adawiyah ada kawan bermain.


Mama Zahra pun ada membawa pulang tempe dari Johor. Agaknya apa la nak dimasak dengan tempe ni ya? Sudah agak lama tidak makan tempe. Pertama kali makan semasa belajar di universiti dahulu. Itupun selepas kawan yang kenalkan dengan makanan yang bernama tempe ini, dibeli di cafe asrama. Rasa tidak sedap langsung. Tidak kena dengan selera tekak. Kemudian, apabila kerap kali makan, terasa sedap la pula hai tempe ni. Dan sekarang tempe ni dah jadi makanan kegemaran pula.

Teringat pula pada masakan tempe yang pernah dimakan sewaktu belajar dahulu. Hari ini kita masak Tempe Goreng Kering bersama Kentang la. Makan dengan nasi putih panas-panas memang sedap. Jom kita terus ke resipinya.

Terlupa pula nak snap gambar selepas siap memasak. Yang ni sahaja yang tinggal dan sempat dirakam gambarnya. 


TEMPE GORENG KERING BERSAMA KENTANG

Bahan-bahan:
1 paket tempe (dipotong panjang kira-kira 4cm)
2 biji ubi kentang (dihiris nipis)
Semangkuk kecil ikan bilis (dibasuh dan toskan)
3 sudu cili kisar
3 biji bawang merah - ditumbuk halus
2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa

Cara Penyediaan:
1) Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ubi kentang hingga garing. Angkat dan toskan minyak. Kemudian, goreng Tempe hingga garing dan toskan. Kemudian goreng ikan bilis sehingga garing dan toskan.
2) Kurangkan kuantiti minyak dalam kuali dan tumis cili kisar hingga masak. Kemudian masukkan bahan yang ditumbuk halus. Tumis sehingga wangi.
3) Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian masukkan semua bahan yang digoreng tadi (tempe, ubi kentang dan ikan bilis). Kacau sebati.
4) Angkat dan hidangkan. Enak dimakan panas-panas kerana rangup.

Tips:
* Untuk mengelakkan ubi tentang menjadi hitam selepas dipotong, segera rendam ubi kentang di dalam air selepas dikupas.

~SELAMAT MENCUBA~
Stress - Manfaat dan Mudarat

Stress - Manfaat dan Mudarat

#Entri 5

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
(Sumber - Majalah Solusi Isu No 39)

Foto: Siti Rahinah Abu Bakar


Setiap manusia yang waras akal fikiran pernah mengalami stres. Cuma bezanya tingkat stres yang dihadapi dan bagaimana mereka mengatasi stres tersebut.

Stres adalah fitrah manusia. Ia merupakan reaksi tabii tubuh badan kita terhadap rangsangan fizikal dan emosi. Stres bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus. Stres boleh memberi manfaat dan juga mudarat. Dalam beberapa keadaan, manusia memerlukan stres. Sedikit stres diperlukan untuk menghasilkan kerja yang berkualiti dan produktif. Namun, stres tidak boleh berlebihan kerana boleh mengundang pelbagai masalah.

Jom kita selidik apa manfaat dan mudarat stress kepada manusia.


MANFAAT STRES

1) Stres akibat takut gagal, menyebabkan kita bangun berusaha dengan lebih gigih.

2) Stres akibat hubungan yang tidak mesra dengan manusia lain terutamanya ibu bapa, menyebabkan kita bertindak meminta maaf, berterus terang dan melakukan tindakan-tindakan positif bagi membetulkan keadaan.

3) Stres kerana jahil, akan mendorong kita untuk bangun menimba ilmu bagi mengatasi kekurangan yang ada.

4) Stres kerana merasakan diri berdosa, akan mendorong orang yang masih mempunyai sekelumit iman untuk beristighfar dan bertaubat di atas kesilapan diri.

5) Stres kerana merasakan diri tiada pencapaian, akan memotivasikan diri untuk berusaha meraih kejayaan dalam hidup.

6) Stres kerana melihat perbuatan mungkar, akan menyebabkan jiwa memberontak ingin melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

7) Stres kerana masalah kesihatan, akan menyebabkan pesakit lebih kuat dan berusaha menjaga diri dalam usaha untuk menyembuhkan.


MUDARAT STRES

1) Apabila stres yang dialami sudah mencapai tahap melampau akan menimbulkan keletihan bagi jiwa. Jiwa yang letih tetapi tidak dirawat dengan istirehat, akan menyebabkan jiwa lemah dan kemudian mati. Pada tahap ini, manusia yang hilang pedoman boleh melakukan perkara di luar kewarasan akal seperti mengambil dadah, arak, dan pelbagai cara penyelesaian yang menyimpang yang mungkin boleh mencederakan diri.

2) Akibat stres yang berlebihan, manusia bertukar dari ceria, bertenaga dan bersemangat menjadi individu yang lemah, murung, dan putus asa. Hinggalah pada tahap yang kronik boleh membawa kepada sakit jiwa, malah ada yang membunuh diri. Na'uzubillah.

3) Stres penyebab penyakit kronik. 70% pesakit yang mengunjungi hospital berpunca daripada stres.
Masalah stres adalah masalah biasa. Setiap orang pernah menghadapinya. Saya pun sama, stres akan datang apabila banyak pekerjaan yang perlu diselesaikan dalam satu masa dan berlaku konflik untuk menyiapkan tugasan pekerjaan tersebut. Namun, masalah stres boleh diatasi sekiranya kita pandai menggunakan akal fikiran dan panduan agama sebagai asasnya.


Di sini, saya kongsikan sedikit tips bagaimana saya menghadapi stres seharian.

1) Dekatkan diri dengan sang Pencipta

Fitrah manusia, memerlukan tuhan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang terdesak. Kita perlu sentiasa tanamkan dalam diri bahawa Allah itu sentiasa ada dan mendengar rintihan hambaNya.
Apabila stres, minda kita akan rasa serabut dan gelisah. Apabila berada dalam keadaan ini, berwuduklah dan solat. Dalam solat, biasanya semasa sujud berdoalah kepada Allah. Saat yang paling dekat manusia dengan Allah adalah ketika waktu sujud di dalam solatnya. Begitu juga selepas solat, angkatlah tangan berdoa, merintih dan luahkan segala perasaan duka kepada Allah. Sebagaimana firmanNya, "Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang".
Allah rindukan hambaNya dan inginkan kita supaya mengingatiNya.

2) Ambil iktibar kisah-kisah nabi dan para sahabat atau kisah insan yang lebih susah dari kita.

Setelah solat, insyaAllah hati kita akan lebih tenang. Dalam keadaan ini, bayangkan situasi orang yang lebih susah yang mendapat ujian yang lebih hebat dari kita. Dengan itu, kita akan rasa lebih bersyukur dan berusaha untuk mengatasi masalah stres tersebut.

3) Stres merupakan tanda ujian Allah. Yakinkan diri dan bersangka baik kepada Allah.

Allah menguji hambaNya mengikut kadar kemampuan manusia.
Firman Allah;
" Allah tidak menguji manusia melainkan sepadan dengan keupayaan mereka menghadapinya". (surah Al-Baqarah, 2:286)

4) Rehatkan diri.

Semasa dalam keadaan stres yang melampau, minda kita berada dalam keadaan celaru dan letih. Apa jua pekerjaan yang dilakukan pasti tidak akan membuahkan hasil yang diingini. Apa kata, kita rehatkan minda kita. Salah satu caranya adalah dengan tidur, walaupun sekejap tapi puas. Apabila bangun tidur, minda akan lebih segar.
Selain itu, keluar sebentar dari persekitaran stres dengan menghirup udara segar boleh mengurangkan stres. Contohnya, bersiar-siar di pesisir pantai, berehat atau jogging di taman rekreasi, atau melakukan aktiviti luar yang kita gemari.

5) Hiburan Islam

Hiburan sangat diperlukan oleh jiwa untuk kembali segar dan bertenaga. Dalam Islam, erti hiburan itu sangat luas, bukan sekadar apa yang dikategorikan seperti lagu, muzik, filem dan sebagainya. Tetapi apa-apa sahaja aktiviti yang dapat mententeramkan hati dan fikiran boleh dianggap hiburan. Sebagai contoh, riadah, zikir, rehlah, melancong dan sebagainya. 
Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com