Stress - Manfaat dan Mudarat - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Stress - Manfaat dan Mudarat

20 April 2015

Stress - Manfaat dan Mudarat

#Entri 5

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
(Sumber - Majalah Solusi Isu No 39)

Foto: Siti Rahinah Abu Bakar


Setiap manusia yang waras akal fikiran pernah mengalami stres. Cuma bezanya tingkat stres yang dihadapi dan bagaimana mereka mengatasi stres tersebut.

Stres adalah fitrah manusia. Ia merupakan reaksi tabii tubuh badan kita terhadap rangsangan fizikal dan emosi. Stres bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus. Stres boleh memberi manfaat dan juga mudarat. Dalam beberapa keadaan, manusia memerlukan stres. Sedikit stres diperlukan untuk menghasilkan kerja yang berkualiti dan produktif. Namun, stres tidak boleh berlebihan kerana boleh mengundang pelbagai masalah.

Jom kita selidik apa manfaat dan mudarat stress kepada manusia.


MANFAAT STRES

1) Stres akibat takut gagal, menyebabkan kita bangun berusaha dengan lebih gigih.

2) Stres akibat hubungan yang tidak mesra dengan manusia lain terutamanya ibu bapa, menyebabkan kita bertindak meminta maaf, berterus terang dan melakukan tindakan-tindakan positif bagi membetulkan keadaan.

3) Stres kerana jahil, akan mendorong kita untuk bangun menimba ilmu bagi mengatasi kekurangan yang ada.

4) Stres kerana merasakan diri berdosa, akan mendorong orang yang masih mempunyai sekelumit iman untuk beristighfar dan bertaubat di atas kesilapan diri.

5) Stres kerana merasakan diri tiada pencapaian, akan memotivasikan diri untuk berusaha meraih kejayaan dalam hidup.

6) Stres kerana melihat perbuatan mungkar, akan menyebabkan jiwa memberontak ingin melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

7) Stres kerana masalah kesihatan, akan menyebabkan pesakit lebih kuat dan berusaha menjaga diri dalam usaha untuk menyembuhkan.


MUDARAT STRES

1) Apabila stres yang dialami sudah mencapai tahap melampau akan menimbulkan keletihan bagi jiwa. Jiwa yang letih tetapi tidak dirawat dengan istirehat, akan menyebabkan jiwa lemah dan kemudian mati. Pada tahap ini, manusia yang hilang pedoman boleh melakukan perkara di luar kewarasan akal seperti mengambil dadah, arak, dan pelbagai cara penyelesaian yang menyimpang yang mungkin boleh mencederakan diri.

2) Akibat stres yang berlebihan, manusia bertukar dari ceria, bertenaga dan bersemangat menjadi individu yang lemah, murung, dan putus asa. Hinggalah pada tahap yang kronik boleh membawa kepada sakit jiwa, malah ada yang membunuh diri. Na'uzubillah.

3) Stres penyebab penyakit kronik. 70% pesakit yang mengunjungi hospital berpunca daripada stres.
Masalah stres adalah masalah biasa. Setiap orang pernah menghadapinya. Saya pun sama, stres akan datang apabila banyak pekerjaan yang perlu diselesaikan dalam satu masa dan berlaku konflik untuk menyiapkan tugasan pekerjaan tersebut. Namun, masalah stres boleh diatasi sekiranya kita pandai menggunakan akal fikiran dan panduan agama sebagai asasnya.


Di sini, saya kongsikan sedikit tips bagaimana saya menghadapi stres seharian.

1) Dekatkan diri dengan sang Pencipta

Fitrah manusia, memerlukan tuhan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang terdesak. Kita perlu sentiasa tanamkan dalam diri bahawa Allah itu sentiasa ada dan mendengar rintihan hambaNya.
Apabila stres, minda kita akan rasa serabut dan gelisah. Apabila berada dalam keadaan ini, berwuduklah dan solat. Dalam solat, biasanya semasa sujud berdoalah kepada Allah. Saat yang paling dekat manusia dengan Allah adalah ketika waktu sujud di dalam solatnya. Begitu juga selepas solat, angkatlah tangan berdoa, merintih dan luahkan segala perasaan duka kepada Allah. Sebagaimana firmanNya, "Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang".
Allah rindukan hambaNya dan inginkan kita supaya mengingatiNya.

2) Ambil iktibar kisah-kisah nabi dan para sahabat atau kisah insan yang lebih susah dari kita.

Setelah solat, insyaAllah hati kita akan lebih tenang. Dalam keadaan ini, bayangkan situasi orang yang lebih susah yang mendapat ujian yang lebih hebat dari kita. Dengan itu, kita akan rasa lebih bersyukur dan berusaha untuk mengatasi masalah stres tersebut.

3) Stres merupakan tanda ujian Allah. Yakinkan diri dan bersangka baik kepada Allah.

Allah menguji hambaNya mengikut kadar kemampuan manusia.
Firman Allah;
" Allah tidak menguji manusia melainkan sepadan dengan keupayaan mereka menghadapinya". (surah Al-Baqarah, 2:286)

4) Rehatkan diri.

Semasa dalam keadaan stres yang melampau, minda kita berada dalam keadaan celaru dan letih. Apa jua pekerjaan yang dilakukan pasti tidak akan membuahkan hasil yang diingini. Apa kata, kita rehatkan minda kita. Salah satu caranya adalah dengan tidur, walaupun sekejap tapi puas. Apabila bangun tidur, minda akan lebih segar.
Selain itu, keluar sebentar dari persekitaran stres dengan menghirup udara segar boleh mengurangkan stres. Contohnya, bersiar-siar di pesisir pantai, berehat atau jogging di taman rekreasi, atau melakukan aktiviti luar yang kita gemari.

5) Hiburan Islam

Hiburan sangat diperlukan oleh jiwa untuk kembali segar dan bertenaga. Dalam Islam, erti hiburan itu sangat luas, bukan sekadar apa yang dikategorikan seperti lagu, muzik, filem dan sebagainya. Tetapi apa-apa sahaja aktiviti yang dapat mententeramkan hati dan fikiran boleh dianggap hiburan. Sebagai contoh, riadah, zikir, rehlah, melancong dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com