BUBUR NASI DENGAN LABU MANIS - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: BUBUR NASI DENGAN LABU MANIS

14 April 2015

BUBUR NASI DENGAN LABU MANIS

# Entri 2

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar

Assalamualaikum w.b.t.

Bagi entri kali ini, saya ingin kongsikan cara penyediaan bubur nasi dengan labu manis yang saya hidangkan untuk si manja saya hari ini. Sebelum kita ke resipinya, ingin saya kongsikan peristiwa di sebalik resipi ini. Hendak dijadikan cerita, rumah saya telah terputus bekalan elektrik. Begitu juga dengan rumah jiran-jiran sebelah. Mungkin disebabkan terdapat kerosakan di mana-mana pencawang dan dalam proses baikpulih. Saya fikir tidak mengapalah jika bekalan terputus seketika.

Namun, kemudian baru saya teringatkan bayi comel saya perlu makanan untuk dimakan. Sedangkan kebiasaannya saya menggunakan pengisar makanan untuk mengisar bubur nasinya. Lalu, teringatlah saya akan satu tips daripada Kak Ros, bekas kawan pejabat saya dahulu iaitu dengan mengisar beras terlebih dahulu sebelum dimasak.

Tetapi masalahnya sekarang, tiada bekalan elektrik untuk mengisar beras. Apa nak buat, saya mengambil inisiatif menumbuk beras sehingga lumat menggunakan lesung batu. Malas hendak membebel panjang, jom kita terus ke resipinya.

BUBUR NASI DENGAN LABU MANIS

Bahan-bahan:

- Segenggam beras
- Labu manis (dipotong dadu)
- Air secukupnya


Cara penyediaan:

1) Beras ditumbuk lumat (disebabkan pengisar tidak dapat digunakan). Kemudian dibasuh bersih. Toskan airnya.
2) Masakkan beras hancur tadi bersama labu manis dan air secukupnya.
3) Masak sehingga beras sudah betul-betul kembang menjadi nasi dan labu sudah empuk.
4) Sebelum dihidaangkan kepada bayi, penyek-penyekkan labu dahulu hingga hancur dan gaul bersama nasi.

Anakanda saya suka betul dengan bubur nasi labu manis ni. Mungkin kerana rasa manis daripada labu itu sendiri.

Selamat mencuba ya.

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com