#Entri 3
Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar
Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Siti Rahimah Abu Bakar
Assalamualaikum w.b.t.. Untuk entri kali ini, saya ingin menceritakan mengenai pengalaman pertama saya menghadapi situasi anak demam panas. Hendak dijadikan cerita, di hari Jumaat penuh barokah ini, buat pertama kalinya si comel Adawiyah demam panas. Agak kalut juga kami memikirkan apa yang harus dilakukan. Almaklumlah, pertama kali berada dalam situasi ini sejak 6 bulan setengah Adawiyah dilahirkan. Patut la malam tadi Adawiyah tidur tidak lena. Asyik terbangun dan seolah-olah merengek saja.
Apabila bangun pagi tadi, saya dapati suhu badannya agak panas. Lantas dicapai termometer yang sememangnya telah disediakan sejak Adawiyah dilahirkan (termometer ini sebenarnya milik adik ipar saya dan dipinjamkan kepada kami untuk persediaan sekiranya demam). Saya meletakkan termometer di celah ketiak Adawiyah. Suhu 36.8°C. Macam tinggi je suhu ini.
Termometer untuk sukat suhu badan anak.
Pernah saya baca menerusi laman sosial facebook mengenai tips apabila anak demam. Walaupun demam, bayi tetap perlu dimandikan sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Justeru, saya mandikan Adawiyah kira-kira jam 8 pagi. Dia kelihatan masih ceria dan aktif. Saya tinggalkan Adawiyah bermain bersama abinya. Saya terus ke dapur menyiapkan hidangan makan tengahari. Saya jeling-jeling Adawiyah dari dapur. Risau akan tahap kesihatannya. Dia kelihatan makin kuat merengek. Apabila diperiksa, suhu badannya naik lagi, 37.5°C. Risau pula jadinya tapi saya tenangkan hati, berusaha untuk berfikir positif supaya tidak panik. Usai urusan di dapur, saya mandikan Adawiyah sekali lagi jam 11 pagi. Bila diperiksa, suhunya naik lagi 38.1°C.
Encik suami mulai risau dan mula bertanya rakan-rakan yang lebih berpengalaman, dan dinasihatkan supaya dirujuk ke klinik. Lantas, kemudian kami mengambil keputusan membawa Adawiyah ke Pusat Perubatan Intan, Kuala Terengganu memandangkan klinik yang berdekatan dengan rumah saya semuanya tutup pada hari ini, hari Jumaat. Untuk pengetahuan pembaca, kebanyakan pejabat, kedai-kedai dan klinik-klinik di Terengganu tidak beroperasi pada hari Jumaat. Jadi, agak sukar la jika ingin mendapatkan barangan dan perkhidmatan pada hari Jumaat melainkan ke pasaraya.
Apabila sampai di Pusat Perubatan Intan, kelihatan agak ramai pesakit yang ingin mendapatkan rawatan. Mungkin disebabkan kesukaran mendapatkan rawatan di klinik lain pada hari Jumaat, mereka ke sini seperti saya juga. Setelah menunggu giliran selama 1 jam lebih, akhirnya tiba giliran Adawiyah menerima rawatan. Doktor memeriksa Adawiyah, didapati suhu badan tinggi (38°C). Adawiyah diberikan ubat menerusi punggung. Kata doktor, ubat tersebut akan larut apabila masuk ke dalam badan.
Doktor memberi nasihat supaya memandikan anak sekerap yang mungkin dan tidak memakaikan pakaian kepada Adawiyah melainkan pampers atau sekadar pakaian nipis (jika perlu). Setelah selesai berurusan dengan doktor, suami mengambil ubat di kaunter farmasi. Bayaran dikenakan sebanyak RM27 sahaja. Berbaloi sangat la dengan rawatan yang diterima. Adawiyah diberikan ubat demam (paracetamol) dalam bentuk syrup dan ubat yang dimasukkan melalui dubur (bertujuan mempercepatkan penurunan suhu) sekiranya suhu badan terlalu tinggi.
Preskripsi ubat yang diberikan. Adawiyah tidak gemar ubat jenis syrup. Asyik muntahkan balik selepas minum. Kesian anak ummi.
Alhmdulillah, pulang ke rumah suhu badan Adawiyah beransur turun. Lega rasa hati. Saya memberikan ubat kepada Adawiyah sepertimana nasihat doktor. Di samping itu, saya juga sentiasa memastikan badannya sejuk dengan mengelap badannya dengan tuala basah dan menjerlung bahagian kepala Adawiyah dengan air daun bunga raya yang telah diramas. Ini merupakan petua tradisional orang tua-tua dahulu yang sering digunakan oleh ibu saya sejak dahulu. Alhamdulillah, suhu badan Adawiyah turun.
Pada malamnya, Adawiyah tidur tanpa pakaian melainkan pampers. Suhu badannya tidaklah terlalu panas. Namun, apabila menjelang awal pagi kira-kira pukul 4.00 pagi, didapati suhu badannya kembali panas. Sepanjang hari kedua, suhunya naik turun. Namun, dalam keadaan tidak bermaya kerana demam, Adawiyah cuba gagahkan diri bermain dan tersenyum. Sempat dia meniarap dan mengangkat punggung seolah-olah pumping. Saya agak kemungkinan dia demam nak dapat lutut (merangkak) agaknya.
Saya sentiasa pastikan Adawiyah kerap dimandikan dan dilapkan badannya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, pada malam keduanya, kelihatan suhu badan Adawiyah kembali normal. Pada hari ketiga, suhu kembali tidak stabil, naik turun. Saya sentiasa memantau keadaan suhu badannya dari semasa ke semasa. Sehinggalah pada sebelah petangnya, kemuncaknya suhu naik mendadak hingga 38.5°C dan terpaksa dimasukkan ubat melalui punggung.
Alhamdulillah, kemudian suhu kembali normal dan demamnya kebah. Keesokannya muncul pula bintik-bintik merah pada mukanya. Alahai, kenapa pula naik bintik-bintik merah ni..?
..bersambung bahagian 2
No comments:
Post a Comment