Salam Perkenalan - Vitamin Cantik Sihat Vitamin Cantik Sihat: Salam Perkenalan

14 April 2015

Salam Perkenalan

# Entri 1

Teks: Siti Rahimah Abu Bakar
Foto: Google Image

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum w.b.t.



Salam perkenalan. Nama saya Siti Rahimah binti Abu Bakar. Berumur 30 tahun dan merupakan anak ketiga daripada 7 adik beradik (3 lelaki 4 perempuan). Bila ditanya mengenai bilangan adik beradik, saya selalu teringatkan lagu kanak-kanak yang selalu didendangkan sewaktu zaman kanak-kanak dahulu iaitu lagu 'Anak Nabi Kita'.. (Anak nabi kita ada tujuh orang, tiga lelaki empat perempuan..). Saya merupakan isteri kepada seorang suami mithali (insya Allah) dan ummi kepada seorang puteri yang kini berusia 6 bulan setengah.

Saya lahir dan dibesarkan di Terengganu. Saya mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Terengganu. Tamat persekolahan, saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selepas tamat pengajian di UMT, saya memasuki Terengganu Graduate Attachment Scheme (T-GAS) iaitu satu skim latihan yang dikhaskan untuk graduan lepasan diploma atau ijazah, di bawah program pembangunan kemahiran kerajaan negeri Terengganu. Menerusi skim latihan ini, saya ditempatkan di kedai serbaneka (24 jam), T'shoppe iaitu kedai di bawah pemantauan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu. Dari sini sedikit demi sedikit saya mula menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang perniagaan.

Setelah tamat latihan, saya mula bekerja sebagai pembantu akademik di sebuah pusat tahfiz swasta. Di sini saya menimba satu lagi cabang ilmu dan pengalaman dalam bidang pengurusan taska dan tadika. Kemudian, saya bekerja sebagai kerani akaun/jualan di sebuah kedai/butik batik, sebelum mendapat tawaran pekerjaan sebagai Pekerja Sambilan Harian di Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu.

Jika dihitung kembali, saya boleh dikatakan sebagai anak jati Terengganu kerana selama 30 tahun bernafas, saya tidak pernah berhijrah keluar dari Terengganu. Sesekali ada juga melawat negeri orang, itu pun sekadar berkunjung melawat saudara mara dan kawan-kawan serta makan angin.

Walaupun setiap pekerjaan yang pernah saya lakukan mempunyai skop bidang yang berbeza daripada bidang pengajian saya dahulu, namun saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Ternyata, Allah sebaik-baik perancang. Jika difikirkan semula, saya banyak menimba ilmu dan pengalaman tentang pengurusan perniagaan selama ini yang boleh saya gunakan sekarang. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

Saya mendirikan rumahtangga pada tahun 2013 dengan seorang guru maahad tahfiz. Walaupun tempoh perkenalan yang singkat, hanya beberapa bulan, kami disatukan. Semuanya ketentuan Tuhan, jodoh datang tanpa diduga. Selepas beberapa bulan melayari bahtera rumahtangga, saya disahkan hamil. Setelah beristikharah dan berbincang dengan suami, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya tekad untuk memegang jawatan surirumah sepenuh masa apabila memikirkan tentang kualiti masa bersama suami dan anak. Tambahan pula status jawatan pekerjaan sedia ada hanyalah kontrak singkat.

Walaupun hati berat untuk meninggalkan pejabat, kawan-kawan sekerja yang sangat baik, namun saya tekad demi keluarga. Kini saya sudah menjadi Work At Home Mom (WAHM) dan  baru memulakan perniagaan pakaian kanak-kanak secara online. Jemput la berkunjung ke fanpage saya https://m.facebook.com/ummiadawiyahkidswear.

Alhamdulillah, saya bersyukur Allah izinkan saya menjaga anak sepenuh masa. Saya rasa bertuah kerana dapat melihat setiap perkembangannya dengan mata sendiri. Malah anak membesar di bawah didikan umminya. Walaupun sesekali perasaan rindu pada suasana kerja dan kawan-kawan sekerja itu datang menjelma.

Sebenarnya keinginan saya untuk berniaga telah lama terpendam di hati. Namun, baru kini hajat tersebut dapat dikotakan. Itu pun selepas saya melahirkan anak, saya sedar saya perlu lakukan sesuatu pekerjaan sampingan bagi membantu suami. Tambahan pula kos sara hidup sekarang yang makin meningkat.

Pada asalnya, saya tidak tahu perniagaan apa yang patut saya lakukan. Pelbagai bidang bisnes berlegar di dalam minda saya. Sehinggalah saya melihat status seorang rakan facebook yang menjual pakaian kanak-kanak terpakai (bundle). Terdetik di hati apalah salahnya mencuba bisnes pakaian bundle kanak-kanak. Kos modalnya pun tidaklah terlalu besar. Justeru, saya mula mencari pembekal pakaian bundle kanak-kanak. Setelah terlibat dengan perniagaan ini beberapa ketika, barulah saya sedar yang sebenarnya banyak cabang bisnes yang boleh saya ceburi yang berkaitan dengan produk kanak-kanak. Begitulah kisahnya saya dan perniagaan buat masa ini. Banyak lagi ilmu perniagaan yang perlu saya timba.

Saya bertemu dengan kelas ABDR ini pun secara tidak sengaja. Detik mulanya adalah semasa saya membuat carian google mengenai tips penyusuan semasa pantang. Saya terbaca satu blog yang mana penulisnya ada menyebut mengenai WAHM. Saya rasa berminat ingin mengetahui lebih lanjut mengenai WAHM. Bermula dari situ saya mula menyelidik dan menjejak maklumat mengenai WAHM sehinggalah saya menjumpai fanpages WAHM dan like fanpages tersebut. Melalui fanpagesWAHM, saya mula mengenali dan mengikuti perkembangan insan-insan hebat termasuk Puan Masayu Ahmad dan Puan Anys Idayu Zakaria. Dan kemudian saya sedar akan kewujudan kelas ABDR. Pada awalnya saya masih ragu-ragu untuk menyertai kelas ABDR ini. Namun, apabila memikirkan yang saya perlu lakukan sesuatu untuk meningkatkan kaedah promosi produk saya, saya nekad menyertai kelas ABDR ini. Dengan penerangan daripada cikgu Anys Idayu Zakaria medorong saya mengorak langkah pertama ini.

Dengan memasuki kelas ABDR ini, saya berharap matlamat saya melalui penulisan blog ini dapat dimanfaatkan oleh pembaca di samping matlamat asal untuk mempromosikan perniagaan saya. Sekian dahulu coretan pertama saya. Insya Allah entri selanjutnya akan menyusul nanti.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Vitamin Cantik Sihat © . Designed by MaisarahSidi.com